Hel!O mY DarLing!

Sabtu, 20 Jun 2015

Jajans Cerpen - Kasih Di Balik Awan



PENYEMBUH derita ialah kekuatan
Penghilang kesakitan ialah tangisan
Penghapus kedukaan ialah pengertian
Pengubat kesedihan ialah pasangan

- Tetaplah jadi rusuk kiriku, walaupun ada yang mengatakan jangan - Ahmad Rafiq

“EH, dah ada isi belum?”

“Bila nak ada anak?”

Suara Mak Lang Leha bertingkah kuat dengan suara Mak Teh Kiah. Masing-masing memandang wajah dia dengan pertanyaan yang bertalu muntah dari bibir.

Hayati tersenyum. Kebas dirasa bibir bila mengukir senyuman paksa. Ya Allah… kenapa wanita sendiri tidak pernah mahu faham hati seorang wanita?

Tiada wanita di dalam dunia yang selamanya hanya ingin hidup berdua bersama pasangan. Dia juga mahu ‘cahaya penyeri’ di dalam hidup. Insan bergelar anak yang mampu mendoakan kesejahteraan dia suatu hari nanti.

“Tak ada rezeki Yati lagi mak lang, mak teh.” Dia pandang kedua wajah wanita separuh baya itu. Setiap kali ternampak wajah dia, tiada benda lain yang ditanya. Anak! Anak! Anak!

Kalaulah mampu dibutakan mata, dipekakkan telinga dan dikeraskan hati dari melayan pertanyaan-pertanyaan itu, pastinya sudah lama dia lakukan. Cuma rasa hormat yang kejap bertapak di dalam diri sahaja yang menahan dia dari melakukan perkara biadap.

“Rezeki tu kita kena cari. Tak usaha ke?”

“Segala macam usaha dah Yati dengan Rafiq buat mak lang. Tak apa… Yati dengan Rafiq boleh sambung lagi bulan madu kami.” Hayati gelak kecil. Cuba menutup rasa pedih.

“Kau jangan Yati… karang bulan madu ke mana, madu lain pulak yang kau dapat.” Mak Teh Kiah herot mulut.

Hayati tersentak. Doa ‘madu’ itu dikeluarkan lagi. Penat bahankan dia pasal anak, pastinya akan dipakej kan sekali dengan doa ‘payung emas.’

Mungkin dia bukan jenis melawan, tetapi tidak bermakna dia pasrah. Dia sedar dia belum mampu berikan Rafiq zuriat, tapi dia bukanlah terlalu berhati mulia sampaikan sanggup melelong kasih sayang suami pada orang lain.

Kalau nak dicerita pasal usaha, berapa banyak kampung yang dia tidak jelajah? Pantang didengar ada bidan yang mampu menolong dia mendapatkan zuriat, diseretnya tangan si suami. Tak kira sejauh atau sedalam mana sekalipun jarak yang perlu dirempuh, tak pernah dia ambil kisah.

Tidak cukup cara kampung, cara moden juga dia buru. Berapa banyak hospital yang tidak dia menapak? Semuanya demi satu tujuan. ANAK!

Dia yakin, cepat atau lambat, ada atau tidak… Allah itu lebih tahu apa yang terbaik untuk dia dan Rafiq.

Kalaulah sudah ditulis untuk mereka hidup  berdua sahaja, dia akan terima. Dia yakin, Rafiq juga begitu.

“Yati, tolong mak hantar air bagi dekat abah. Bising dah tu, air kopi dia tak sampai-sampai.” Mak Piah tepuk perlahan bahu menantunya. Diangguk sedikit kepala bila mata itu berkaca memandang wajah dia.

Lengan baju yang basah terkena air, disinsing sedikit naik ke lengan. Dilabuhkan tubuh di sebelah adik-adiknya.

“Kak Piah tak teringin ke nak ada cucu? Lama sangat dah Rafiq kawin dengan budak Yati tu. Tak jugak ada-ada isi. Katanya kerja doktor, tak kan tak reti nak cari ubat.” Mak Lang Leha bertanya kuat. Sengaja mahu membakar hati isteri anak saudaranya.

Hayati diam. Pegang kuat dulang sebelum berlalu. Cuba memujuk hati jangan terbuai dengan kata-kata ibu saudara suaminya itu. Bukan tak pernah dia terima kata sinis, lebih dari itu juga pernah membelah masuk ke dalam telingannya.

“Cucu aku dah ada berbelas orang dah Leha oi. Nak teringin apanya lagi?” Mak Piah tergeleng. Tak faham sungguh dia. Dia yang mertua tak kalut, mak saudara pulak yang lebih sudu pada kuah. Menyondol sahaja kerjanya.

Dah itu diungkit pulak kerja menantunya. Apa doktor tu bukan manusia ke? Tak boleh nak ada kekurangan? Tak boleh nak ada silap? Tak boleh nak ada dosa? Hai… dangkal sungguh permikiran.

 “Itu Leha tahulah Kak Piah… yang Leha tanya ni anak si Rafiq. Tak kan Kak Piah tak teringin langsung?”

“Kalau niat kau nak suruh aku desak si Rafiq terima Iklima anak saudara suami kau tu, baik kau lupakan aje Leha.” Tak ada tapis-tapis, terus Mak Piah ‘kecaikan’ harapan adiknya. Intro yang satu itu dia tahu sangat.

Mula-mula buat tanya pasal cucu. Kemudian mulalah pasang jaring. Cuba sauk hati dia dengan tawaran yang kononya lumayan. Huh!

Dia bukannya kelam hati sangat. Kun fayakun! Itu yang dia pegang. Dia siapa nak menidak rezeki tuhan? Hayati itu menantu kesayangannya. Menantu yang sentiasa letakkan perasaan dia melebihi perasaan sendiri.

Kalaulah disebabkan satu kekurangan, dia sanggup lupakan sepuluh kelebihan, memanglah layak dia jadi makhluk yang kufur pada nikmat yang Allah beri. Tak mustahil kalau dia buang permata, dia terkutip pula kaca yang boleh membuatkan hati tertusuk dan bernanah.

Baik disimpan sahaja permata yang ada dari dia kalut mengejar intan yang belum tentu asli dan tulen isi di dalamnya.

“Iklima tu baik budaknya kak.”

“Balik nanti kau bagitahu Rahmat menantu kau tu. Kalau dia teringin nak nikah lain, boleh dia ambik budak Iklima tu. Kau pun suka sangat dengan budak tu kan?” Gelas berisi teh o panas ditarik dan dihirup perlahan. Sambil itu mata tak lepas memandang wajah adiknya.

“Isy apa cakap macam tu kak? Mintak simpang anak saya nak bermadu. Mahunya saya parangkan si Rahmat tu.” Terjegil sedikit mata Mak Lang Leha. Panas hati dia mendengar kata-kata kakaknya tadi.

“Tahu pulak kau tak suka anak kena madu. Habis tu kau ingat mak si Yati tu nak biar sahaja anak aku Rafiq tu kahwin lain?” Puas hatinya bila mulut murai adik-adik kesayangannya itu terkunci terus.

Mulut-mulut ‘puaka’ seperti itulah yang banyak jadi peruntuh rumah tangga orang. Niat yang kononnya baik disulam dengan lafas keji. Entah di manalah naluri belas kasihan adik-adiknya itu tercampak.

Hal rumah tangga orang kalut nak diselak, padahal rumahtangga sendiri sudah senget nak terpeluk bumi.



RAFIQ tersenyum. Bergerak perlahan sebelum disauk pinggang ramping isteri kesayangannya ke dalam pelukan.

“Ya Allah, abang… terkejut Yati.” Lengan suaminya ditampar perlahan. Rasa nak gugur jantung bila tangan yang terasa dingin itu menempel kuat di pinggangnya.

“Menung apa tu?” dagu disangkutkan pada bahu isterinya. Sebelum keluar dari bilik, isterinya termenung di tepi tingkap. Masuk kembali ke dalam bilik, keadaan isterinya masih sama.

Hayati mengeluh. Lambat-lambat digeleng perlahan kepalanya.

“Pasal petang tadi?” Kening dijongket.

Hayati pantas toleh ke sisi. Cuba mencari wajah suaminya.

“Abang dengar?” Argh! Air mata tiba-tiba sahaja galak mahu membasahi kolam matanya. Dia jadi sensetif tiba-tiba.

Rafiq diam. Diusap perlahan rambut Hayati. Kemudian kucupan hangatnya turut singgah di situ.  

“Jangan layan kata-kata mak saudara abang tu. Yati bukannya tak tahu mulut dia orang macam mana.” Niat hati dia tadi, mahu bertegur sapa. Tapi terbantut bila terdengar pertanyaan Mak Lang Leha.

Rasa sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Apatah lagi bila wajah mendung isterinya menyapa pandangan mata.

Kalau ikutkan rasa marah, pasti sudah disemburnya habis-habisan. Cuma yang menahan ialah ketenangan isterinya semasa membalas kata-kata ibu saudaranya. Hayati sentiasa mahu mendahulukan perasaan orang lain dari perasaan sendiri.

Itu yang membuatkan dia sentiasa berdoa mintak ditahankan diri dari memikirkan yang tidak-tidak. Lukakan hati Hayati, itu perkara terakhir yang dia mahu lakukan.

“Dah nak dekat lima tahun Yati kenal dia orang, abang.” Hayati gelak kecil. Lima tahun, perangainya masih juga sama. Langsung tak berubah.

“Lain kali, Yati jangan bagi muka. Dah naik lemak dah abang tengok mak lang dengan mak teh tu.”

“Hai… abang nak ajar isteri abang jadi kurang ajar ke ni?” Pinggang suaminya dicucuk-cucuk. Tergelak dia bila lelaki itu melarikan sedikit tubuh.

“Bukan kurang ajar, tapi tak salah kalau kita tegur yang mana kita tak berkenan. Yati ikut sangat rentak dia orang, itu yang sampai dah tak reti nak jaga air muka orang.” Tubuh Hayati dipusing mengadap ke arah dia.

Diusap lembut wajah yang tak pernah kering dengan senyuman. Farhat Hayati…

Farhat itu maksudnya kegembiraan. Hayati pula ialah jiwa dan hidup. Lima tahun Hayati jadi milik dia, tak pernah lekang wanita itu berikan dia rasa bahagia dan rasa teruja menjadi seorang suami.

Bohonglah kalau dia kata tak pernah wujud perselisihan faham. Dah namanya pun manusia, mana ada yang sempurna. Sedikit tidak, pasti ada juga sedikit celanya.

Tapi sungguh, dia tak dapat bayangkan 'hidup' yang bagaimana perlu dia tempuh kalau ‘jiwanya’ itu hilang dari sisi. Hidup tanpa jiwa ibarat bernafas tanpa udara. Tidak sempurna kitarannya kerana tiada gabungan untuk saling melengkapi.

Mungkin Hayati hanya ratu kedua selepas ibunya, tapi tidak bermakna ratu kedua itu kurang nilainya berbanding yang pertama.  

“Abang…” Tangan Rafiq yang masih galak membelai pipinya ditangkap dan digenggam erat.

“Hurm…” Tangan dihalang, kali ini bibir pula yang singgah pada wajah mulus isterinya.

“Kita ambil anak angkat nak?”

“Yati tahu kan jawapan abang?” Rafiq hembus nafas berat. Sejak bertahun dahulu, tak habis-habis Hayati dengan cerita anak angkat.

Dia bukannya sengaja mahu menolak, tetapi dia ada alasan sendiri. Banyak perkara yang perlu difikir. Hal aurat, nasab dan keturunan semua itu bukannya hal yang remeh. Kalau pun tiada rezeki dia dan Hayati untuk menimang cahaya mata, dia yakin… dia masih mampu untuk bahagia.

Surat Cinta Untuk di sana - Part 1 Okey tak? Lama x main ayat rasa macam kaku sikit…. Sebulan dua ni terbiasa dengan POv 1… bila buat POv3 rasa keras kejung jari n otak. Huhu… harapnya siap lah nanti cerpen ni… korang hembus kuat2 angin rajin dekat sy…mana tau berkesan nanti… ahaks!