Hel!O mY DarLing!

Sabtu, 25 Julai 2015

Jajans part 2 - Kasih Di Balik Awan






BULAN ramadhan, bulan yang yang berkat,
Bulan rahmat dan bulan utama,
Pahala digandakan, doa diterima,
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa…

Suara yang mendayu di corong radio membuatkan dia rasa sebak. Rintik hujan yang ramah membelai bumi bagaikan turut sama merasa bahagia meraikan kedatangan satu ramadhan.

Ramadhan. Bulan mustajab. Bulan untuk dia lebih berserah diri kepada Allah. Pahala yang berganda itu diharap mampu menjadi bekalannya saat meninggal nanti.

Tiga perkara yang kekal selepas mati. Sedekah jariah yang diberi semasa hidup. Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang semasa hidupnya, dan juga doa anak yang soleh dan solehah.

Dalam semua, hanya dua yang mampu dia kejar. Doa anak soleh... dia tidak pasti mampu dia dapatkan atau tidak.

'Allah lebih tahu dan Allah juga lebih mengerti aturan untuk kita.' Itu yang Rafiq katakan kepada dia, dan itu jugalah yang dia pegang.

“Doktor Yati…”

Suara yang tiba-tiba sahaja menyapa, buatkan dia sedikit tersentak. Wajah Hajar, pembantu di Pusat Pakar Sakit Puan Dan Perbidanan Lestari itu dipandang.

“Doktor berbuka sorang ke? Meh lah join kita orang.” Hajar menunjuk ke arah meja yang tidak jauh dari wanita itu.

Hayati larik senyum sebelum mengeleng. Sempat diangkat tangan pada sekumpulan rakan sekerjanya yang yang berada di meja yang ditunjukkan oleh Hajar.

“Saya tunggu suami saya. Dia ajak berbuka sekali tadi.” Lembut di tolak perlawaan wanita separuh baya itu.

“Oh… kalau macam itu tak apalah.” Hajar menunduk sedikit sebelum berlalu.

Jam yang membalut tangan dijengah. sudah hampir pukul tujuh. Handset dikeluarkan dari handbag. Belum pun sempat dia menekan nombor talifon suaminya, lelaki itu sudah berdiri tegak di hadapannya.

“Sorry sayang… lama dah ke tunggu? Abang habis meeting lambat tadi dengan supplier.” Kerusi bersebelahan dengan Hayati ditarik. Rambutnya yang basah dilurut. Sambil itu tak lepas wajah isterinya dipandang.

“Tak apa. Yati pun baru saja keluar. Yang abang basah habis ni kenapa? Tak bawa payung ke?” Baju suaminya yang sedikit basah, pantas dilurut-lurut dengan jemarinya.

“Ada dekat boot. Abang malas nak buka. Kalau ambil pun basahnya serupa itu lah jugak.”

“Haih… ada pulak macam itu. Lain kali letak payung dalam kereta. Kang kena lagi hujan, demam pulak nanti.”

“Apa ada hal. Isteri abangkan doktor.” Rafiq gelak kecil bila Hayati mula menjegilkan mata.

“Abang…”

“Iya… abang tahu. Balik nanti mandi. Makan siap-siap panadol. Tidur.” Belum sempat isterinya berkata, dia sudah potong dahulu. Sudah tahu benar ayat apa yang mahu keluar dari bibir Hayati.

Kalau dia terkena hujan, memang ayat itu sahajalah yang isteri kesayangannya itu ulang. Sampai ayat itu sudah kejap terpeta di dalam fikiran.

“Abang ni…” Hayati tergelak. Lawak bila suaminya itu cuba meniru gayanya.

“Yati dah order belum?” hilang tawa si isteri dia mula menyoal bila meja di hadapannya masih lagi kosong.

“Dah… kejap lagi sampailah tu… tsk… ingatkan kita boleh berbuka dekat rumah.” Bibir dicebikkan. Semalam beria dia mengarang menu untuk berbuka. Sudahnya dia terpaksa juga bekerja bila doktor Ui yang sepatutnya bertugas, ada hal yang tak dapat dielakkan.

“Berbuka dekat luar pun tak apa. Kalau dekat rumah, rasanya Yati kena berbuka sorang. Ni pun nasib abang meeting area sini aje. Kalau nak balik rumah, memang tak sempat.” Canggih dah aturan tuhan untuk mereka. Cuma kena sedar saja kebaikan yang terselit disetiap garis kejadian yang jadi.

Baru sahaja Hayati mahu menjawab, ada hidangan yang diletakkan di hadapan mereka. Dibalas senyuman pelayan yang dia yakin masih lagi muda belia.

Hilang sahaja gadis itu dari pandangan, wajah suaminya kembali dipandang.

"Abang. Tadi ibu call Yati..." Dia gigit bibir. Kenang wanita seorang itu, buatkan dia sebak sendiri.

"Ibu cakap apa?"

"Ibu ajak berbuka dekat rumah esok." Perlahan sahaja kata yang terluah. Bukannya dia tak sudi, bukan jugak dia tak ingin, tapi mengenangkan apa kata yang mungkin dia terima, kerinduannya pada wanita itu pastinya akan kuncup dengan sendiri.

Dia boleh terima kata berbisa siapa sahaja kerana orang tidak kenal siapa dia, tetapi ibu? wanita itu wanita yang paling dekat dengan dirinya. Wanita yang lebih kenal dia berbanding dengan orang lain.

Tapi kenapa wanita yang diharap memahami dirinya itu, bertingkah bagaikan wanita yang tidak berperasaan?

Sentiasa menyulam kata dengan bicara setanding pedang. Tajam dan bersinar sehingga silaunya mampu menjadikan hatinya retak menjadi keping-keping halus. Sakit terhiris… tapi lukanya tak ternampak dek mata.

Hati bernanah, tetapi tak pernah dia jumpa dengan penawar. Dicari setiap pelosok dunia pun mustahil dia akan ketemu kerana ubatnya hanya ada satu sahaja. Pengertian!

Pengertian itu tidak perlu dibeli, tetapi kenapa benda percuma itu menjadi terlalu mahal nilainya untuk difahami oleh orang sekeliling?

"Esok Yati tak kerja kan?" Melihat pandangan mata si isteri, dia sudah boleh menembak ada rasa lelah terpahat di situ. Pastinya 'jemputan' ibu mertuanya itu disulami dengan pertanyaan wajib.

"Hurm..."

"Esok kita pergi."

"Abang... Yati..." Dia cuba mencari alasan. Mereka kata yang mampu elakkan dia dari berjumpa dengan wanita itu.

Bukan kerinduan tidak mengamit, cuma dia takut hatinya yang dirasakan semakin rapuh, tidak mampu lagi menahan beban. Apa guna bertemu kalau rasa gembiranya bakal dibunuh? Dan apa juga ertinya bertandang, tetapi terpaksa pulang dengan mengusung sekali dengan sengketa?

"Tak baik kita sengaja nak elak jumpa ibu, Yati..." Rafiq cuba memujuk. Kalau diikutkan, dia juga sudah tawar hati mahu bersua muka dengan ibu mertuanya itu, tetapi dia ingat satu perkara... syurga isterinya pernah ada ditelapak kaki wanita itu.

Dia tidak mahu kerana rasa terkilan, dia hapuskan terus syurga itu dari pandangan si isteri. Runtuhnya hubungan suami isteri, cukup hanya dengan sekali lafas. Tapi ikatan dengan wanita bergelar ibu, sampai ke syurga tetap akan diusung. Lari ke pelusuk dunia mana sekali pun, ikatan itu tak akan relai dan berkecai.   

"Abang pun tahu kan ibu macam mana?" Mak lang dan mak teh suaminya lancang berkata tapi bicara keduanya mana mampu melawan bisa kata yang muntah dari bibir ibunya sendiri.

Dia harap pengertian wanita itu lebih dari sesiapa sahaja, malangnya ibu sendiri bertingkah bagaikan tidak faham langsung apa naluri hatinya.

Anak!

Kenapa 'anak' selalu dijadikan modal untuk menghukum? Apa salah diakah kalau keinginan yang satu itu gagal dia penuhi? Berdosa sangat ke kalau perutnya tidak pernah membuahkan isi?

Dia mahu jadi ibu!

Dia mahu punya anak!

Dia juga mahu hadiahkan keturunan buat ibunya. Tapi kuasa bukan ada ditangan dia. Dia hanya mampu berdoa dan berusaha. Selebihnya dia hanya mampu berserah.

"Habis tu Yati nak terus elak diri dari dia?"

Hayati mengeluh. Dipejam mata sebelum menggeleng perlahan.

Suasana sepi seketika membaluti mereka, sebelum lembut panggilan lelaki itu menyeru namanya.

"Farhat Hayati..."

Wajah Rafiq dipandang. Jarang lelaki itu memanggilnya dengan panggilan penuh, melainkan ada sesuatu perkara penting yang mahu disampaikan. Terkebil matanya bila sebuah kotak dan kad bersaiz kecil ditolak ke arahnya.

"Happy anniversary Farhat Hayati Umar."

Hayati terdiam. Kembali matanya memandang wajah Rafiq. Bibir diketap...

"Yati lupa..."  Ya Allah, macam mana dia boleh langsung tidak ingat hari dia dan Rafiq disatukan? Lima tahun dahulu, tarikh yang sama menjadi saksi ikatan antara mereka termenterai.

"Tak apa. Selalunya Yati yang ingatkan abang. Tahun ni biar abang pulak yang ingatkan Yati." Rafiq gelak kecil melihat wajah bersalah isterinya. Jemari itu dikait dan ditepuk perlahan.

Hayati tersenyum. Sebak yang rasa mendesak di dada sedaya upaya ditahan. Kad berwarna biru yang diserahkan oleh Rafiq tadi dicapai dan dibuka.

Bait kata yang dilakar membuatkan air mata yang tadinya ditahan, menitis juga. Kalaulah sekarang mereka tidak berada di khalayak ramai, pasti sudah disembam wajah ke dada lelaki itu.

Rusuk kiri yang dia pinjam itu terlalu tinggi ertinya. Berharga dan mahal nilainya. Tak perlu diminta, pasti akan dia jaga dengan sebaik mungkin.

Tetaplah jadi rusuk kiriku, walaupun ada yang mengatakan jangan… 


 SCUD - Sorry dah lama x berupdate.... sy kan spesis suka mengua...hehe... kot ada salah ejaan mohon ampun bu...malas nak mengedit... (boleh macam tu? ahaks!) 



Sabtu, 20 Jun 2015

Jajans Cerpen - Kasih Di Balik Awan



PENYEMBUH derita ialah kekuatan
Penghilang kesakitan ialah tangisan
Penghapus kedukaan ialah pengertian
Pengubat kesedihan ialah pasangan

- Tetaplah jadi rusuk kiriku, walaupun ada yang mengatakan jangan - Ahmad Rafiq

“EH, dah ada isi belum?”

“Bila nak ada anak?”

Suara Mak Lang Leha bertingkah kuat dengan suara Mak Teh Kiah. Masing-masing memandang wajah dia dengan pertanyaan yang bertalu muntah dari bibir.

Hayati tersenyum. Kebas dirasa bibir bila mengukir senyuman paksa. Ya Allah… kenapa wanita sendiri tidak pernah mahu faham hati seorang wanita?

Tiada wanita di dalam dunia yang selamanya hanya ingin hidup berdua bersama pasangan. Dia juga mahu ‘cahaya penyeri’ di dalam hidup. Insan bergelar anak yang mampu mendoakan kesejahteraan dia suatu hari nanti.

“Tak ada rezeki Yati lagi mak lang, mak teh.” Dia pandang kedua wajah wanita separuh baya itu. Setiap kali ternampak wajah dia, tiada benda lain yang ditanya. Anak! Anak! Anak!

Kalaulah mampu dibutakan mata, dipekakkan telinga dan dikeraskan hati dari melayan pertanyaan-pertanyaan itu, pastinya sudah lama dia lakukan. Cuma rasa hormat yang kejap bertapak di dalam diri sahaja yang menahan dia dari melakukan perkara biadap.

“Rezeki tu kita kena cari. Tak usaha ke?”

“Segala macam usaha dah Yati dengan Rafiq buat mak lang. Tak apa… Yati dengan Rafiq boleh sambung lagi bulan madu kami.” Hayati gelak kecil. Cuba menutup rasa pedih.

“Kau jangan Yati… karang bulan madu ke mana, madu lain pulak yang kau dapat.” Mak Teh Kiah herot mulut.

Hayati tersentak. Doa ‘madu’ itu dikeluarkan lagi. Penat bahankan dia pasal anak, pastinya akan dipakej kan sekali dengan doa ‘payung emas.’

Mungkin dia bukan jenis melawan, tetapi tidak bermakna dia pasrah. Dia sedar dia belum mampu berikan Rafiq zuriat, tapi dia bukanlah terlalu berhati mulia sampaikan sanggup melelong kasih sayang suami pada orang lain.

Kalau nak dicerita pasal usaha, berapa banyak kampung yang dia tidak jelajah? Pantang didengar ada bidan yang mampu menolong dia mendapatkan zuriat, diseretnya tangan si suami. Tak kira sejauh atau sedalam mana sekalipun jarak yang perlu dirempuh, tak pernah dia ambil kisah.

Tidak cukup cara kampung, cara moden juga dia buru. Berapa banyak hospital yang tidak dia menapak? Semuanya demi satu tujuan. ANAK!

Dia yakin, cepat atau lambat, ada atau tidak… Allah itu lebih tahu apa yang terbaik untuk dia dan Rafiq.

Kalaulah sudah ditulis untuk mereka hidup  berdua sahaja, dia akan terima. Dia yakin, Rafiq juga begitu.

“Yati, tolong mak hantar air bagi dekat abah. Bising dah tu, air kopi dia tak sampai-sampai.” Mak Piah tepuk perlahan bahu menantunya. Diangguk sedikit kepala bila mata itu berkaca memandang wajah dia.

Lengan baju yang basah terkena air, disinsing sedikit naik ke lengan. Dilabuhkan tubuh di sebelah adik-adiknya.

“Kak Piah tak teringin ke nak ada cucu? Lama sangat dah Rafiq kawin dengan budak Yati tu. Tak jugak ada-ada isi. Katanya kerja doktor, tak kan tak reti nak cari ubat.” Mak Lang Leha bertanya kuat. Sengaja mahu membakar hati isteri anak saudaranya.

Hayati diam. Pegang kuat dulang sebelum berlalu. Cuba memujuk hati jangan terbuai dengan kata-kata ibu saudara suaminya itu. Bukan tak pernah dia terima kata sinis, lebih dari itu juga pernah membelah masuk ke dalam telingannya.

“Cucu aku dah ada berbelas orang dah Leha oi. Nak teringin apanya lagi?” Mak Piah tergeleng. Tak faham sungguh dia. Dia yang mertua tak kalut, mak saudara pulak yang lebih sudu pada kuah. Menyondol sahaja kerjanya.

Dah itu diungkit pulak kerja menantunya. Apa doktor tu bukan manusia ke? Tak boleh nak ada kekurangan? Tak boleh nak ada silap? Tak boleh nak ada dosa? Hai… dangkal sungguh permikiran.

 “Itu Leha tahulah Kak Piah… yang Leha tanya ni anak si Rafiq. Tak kan Kak Piah tak teringin langsung?”

“Kalau niat kau nak suruh aku desak si Rafiq terima Iklima anak saudara suami kau tu, baik kau lupakan aje Leha.” Tak ada tapis-tapis, terus Mak Piah ‘kecaikan’ harapan adiknya. Intro yang satu itu dia tahu sangat.

Mula-mula buat tanya pasal cucu. Kemudian mulalah pasang jaring. Cuba sauk hati dia dengan tawaran yang kononya lumayan. Huh!

Dia bukannya kelam hati sangat. Kun fayakun! Itu yang dia pegang. Dia siapa nak menidak rezeki tuhan? Hayati itu menantu kesayangannya. Menantu yang sentiasa letakkan perasaan dia melebihi perasaan sendiri.

Kalaulah disebabkan satu kekurangan, dia sanggup lupakan sepuluh kelebihan, memanglah layak dia jadi makhluk yang kufur pada nikmat yang Allah beri. Tak mustahil kalau dia buang permata, dia terkutip pula kaca yang boleh membuatkan hati tertusuk dan bernanah.

Baik disimpan sahaja permata yang ada dari dia kalut mengejar intan yang belum tentu asli dan tulen isi di dalamnya.

“Iklima tu baik budaknya kak.”

“Balik nanti kau bagitahu Rahmat menantu kau tu. Kalau dia teringin nak nikah lain, boleh dia ambik budak Iklima tu. Kau pun suka sangat dengan budak tu kan?” Gelas berisi teh o panas ditarik dan dihirup perlahan. Sambil itu mata tak lepas memandang wajah adiknya.

“Isy apa cakap macam tu kak? Mintak simpang anak saya nak bermadu. Mahunya saya parangkan si Rahmat tu.” Terjegil sedikit mata Mak Lang Leha. Panas hati dia mendengar kata-kata kakaknya tadi.

“Tahu pulak kau tak suka anak kena madu. Habis tu kau ingat mak si Yati tu nak biar sahaja anak aku Rafiq tu kahwin lain?” Puas hatinya bila mulut murai adik-adik kesayangannya itu terkunci terus.

Mulut-mulut ‘puaka’ seperti itulah yang banyak jadi peruntuh rumah tangga orang. Niat yang kononnya baik disulam dengan lafas keji. Entah di manalah naluri belas kasihan adik-adiknya itu tercampak.

Hal rumah tangga orang kalut nak diselak, padahal rumahtangga sendiri sudah senget nak terpeluk bumi.



RAFIQ tersenyum. Bergerak perlahan sebelum disauk pinggang ramping isteri kesayangannya ke dalam pelukan.

“Ya Allah, abang… terkejut Yati.” Lengan suaminya ditampar perlahan. Rasa nak gugur jantung bila tangan yang terasa dingin itu menempel kuat di pinggangnya.

“Menung apa tu?” dagu disangkutkan pada bahu isterinya. Sebelum keluar dari bilik, isterinya termenung di tepi tingkap. Masuk kembali ke dalam bilik, keadaan isterinya masih sama.

Hayati mengeluh. Lambat-lambat digeleng perlahan kepalanya.

“Pasal petang tadi?” Kening dijongket.

Hayati pantas toleh ke sisi. Cuba mencari wajah suaminya.

“Abang dengar?” Argh! Air mata tiba-tiba sahaja galak mahu membasahi kolam matanya. Dia jadi sensetif tiba-tiba.

Rafiq diam. Diusap perlahan rambut Hayati. Kemudian kucupan hangatnya turut singgah di situ.  

“Jangan layan kata-kata mak saudara abang tu. Yati bukannya tak tahu mulut dia orang macam mana.” Niat hati dia tadi, mahu bertegur sapa. Tapi terbantut bila terdengar pertanyaan Mak Lang Leha.

Rasa sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Apatah lagi bila wajah mendung isterinya menyapa pandangan mata.

Kalau ikutkan rasa marah, pasti sudah disemburnya habis-habisan. Cuma yang menahan ialah ketenangan isterinya semasa membalas kata-kata ibu saudaranya. Hayati sentiasa mahu mendahulukan perasaan orang lain dari perasaan sendiri.

Itu yang membuatkan dia sentiasa berdoa mintak ditahankan diri dari memikirkan yang tidak-tidak. Lukakan hati Hayati, itu perkara terakhir yang dia mahu lakukan.

“Dah nak dekat lima tahun Yati kenal dia orang, abang.” Hayati gelak kecil. Lima tahun, perangainya masih juga sama. Langsung tak berubah.

“Lain kali, Yati jangan bagi muka. Dah naik lemak dah abang tengok mak lang dengan mak teh tu.”

“Hai… abang nak ajar isteri abang jadi kurang ajar ke ni?” Pinggang suaminya dicucuk-cucuk. Tergelak dia bila lelaki itu melarikan sedikit tubuh.

“Bukan kurang ajar, tapi tak salah kalau kita tegur yang mana kita tak berkenan. Yati ikut sangat rentak dia orang, itu yang sampai dah tak reti nak jaga air muka orang.” Tubuh Hayati dipusing mengadap ke arah dia.

Diusap lembut wajah yang tak pernah kering dengan senyuman. Farhat Hayati…

Farhat itu maksudnya kegembiraan. Hayati pula ialah jiwa dan hidup. Lima tahun Hayati jadi milik dia, tak pernah lekang wanita itu berikan dia rasa bahagia dan rasa teruja menjadi seorang suami.

Bohonglah kalau dia kata tak pernah wujud perselisihan faham. Dah namanya pun manusia, mana ada yang sempurna. Sedikit tidak, pasti ada juga sedikit celanya.

Tapi sungguh, dia tak dapat bayangkan 'hidup' yang bagaimana perlu dia tempuh kalau ‘jiwanya’ itu hilang dari sisi. Hidup tanpa jiwa ibarat bernafas tanpa udara. Tidak sempurna kitarannya kerana tiada gabungan untuk saling melengkapi.

Mungkin Hayati hanya ratu kedua selepas ibunya, tapi tidak bermakna ratu kedua itu kurang nilainya berbanding yang pertama.  

“Abang…” Tangan Rafiq yang masih galak membelai pipinya ditangkap dan digenggam erat.

“Hurm…” Tangan dihalang, kali ini bibir pula yang singgah pada wajah mulus isterinya.

“Kita ambil anak angkat nak?”

“Yati tahu kan jawapan abang?” Rafiq hembus nafas berat. Sejak bertahun dahulu, tak habis-habis Hayati dengan cerita anak angkat.

Dia bukannya sengaja mahu menolak, tetapi dia ada alasan sendiri. Banyak perkara yang perlu difikir. Hal aurat, nasab dan keturunan semua itu bukannya hal yang remeh. Kalau pun tiada rezeki dia dan Hayati untuk menimang cahaya mata, dia yakin… dia masih mampu untuk bahagia.

Surat Cinta Untuk di sana - Part 1 Okey tak? Lama x main ayat rasa macam kaku sikit…. Sebulan dua ni terbiasa dengan POv 1… bila buat POv3 rasa keras kejung jari n otak. Huhu… harapnya siap lah nanti cerpen ni… korang hembus kuat2 angin rajin dekat sy…mana tau berkesan nanti… ahaks!


Selasa, 5 Mei 2015

Part 3 - Cinta Price Tag





“Dah lama you buka hair salon tu?” Cubaan dia untuk beramah mesra. Harapnya adalah balasan yang menyenangkan dari wanita itu.

“Bukan I lagi famous dari artis ke dekat club tu?” Afke menyindir. Rasanya soalan tu bukanlah masalah yang besar untuk Gibran dapatkan sendiri jawapan.

“Apa jadi dengan cita-cita you dulu?” Tak terkesan mendengar sindiran Afke, dia beralih pula pada persoalan lain. Sungguh dia mahu cari tahu apa yang wanita itu lakukan selama lapan tahun mereka ‘berpisah.’

“I tak ingat pun I pernah ada cita-cita.” Masih juga tiada hati dia mahu menjawab. Buat apa dia nak ingat pada impian yang sudah menjadi sejarah? Kalau dikenang balik pun, tak adanya ‘kerja yang diidamkam’ itu berada dalam genggaman.

 “Sebab I you lupakan cita-cita you tu?”

“Hidup I tak ada kena mengena dengan you pun Gibran. I tak rasa yang I perlu report semua benda yang jadi dekat I, pada you.” Afke mengeluh. Gibran sikit lagi sahaja bakal menjadi wartawan tidak berbayar. Dan sungguh, dia bencikannya!

“You serius sangat Afke. Cuba relaks sikit. I tak harap you kena blood pressure disebabkan I.” Agaknya, melenting sudah menjadi makanan harian Afke. Pantang dicuit terus buat tunjuk perasaan.

Kalaulah yang ada di hadapannya sekarang bukan Afke, pasti dah lama dia angkat kaki. Bukan jenis dialah nak melayan kerenah perempuan emo tak tentu pasal.

Kalau masa bercinta pun meragam, cuba bayangkan kalau dah berkahwin? Umur yang nak panjang setahun pun boleh pendek sepuluh tahun!

Tapi sekarang, dia kena sedar diri. Emo Afke, emo bertempat. Banyak perkara yang dia kena mulakan dengan perkataan ‘sudah cukup baik’ untuk mengambarkan keunikan hubungan antara dia dan Afke.

Sudah cukup baik Afke masih sudi mengadap wajah dia walaupun selepas onar yang dia buat.

Sudah cukup baik Afke tak cuba nak letupkan dia dengan bom walaupun bisa dari kata-kata Afke sudah setanding peluru berpandu!

Sudah cukup baik…

“Boleh tak kalau you duduk diam-diam? Enjoy your coffee…”

Gibran mengangguk. Lain kalilah dia sambung lagi senarai ‘sudah cukup baik’ itu. Itupun kalau dia masih cukup baik dapat menyedut udara di atas muka bumi. Wajah Afke dipandang.

“Gibran…” Afke ketap bibir. Gibran memang jenis tak faham bahasa atau apa, dia pun tak pasti. Larang jangan bercakap, lelaki itu buat pulak aktiviti baru. Renung wajah dia bagaikan nak tembus!

“Hidup you baik-baik aje kan Afke?”

“Oh god! Just shut up, Gibran. I letih nak jawab semua soalan you tu.” Dari dulu lagi dia memang tak suka lelaki jenis banyak bercakap. Dia rimas dan rasa semak!

Gibran hanya tergelak. Dia pun tak tahu kenapa dia suka sangat mendesak kalau bersama dengan Afke. Dari dulu lagi tabiat yang satu itu sukar sungguh untuk dibuang. Padahal kalau dengan orang lain, boleh sahaja dia berkrompomi.

Selesai menghirup habis minumannya, Afke terus bangun. Kalaulah dia ada sepasang sayap untuk terbang, pasti sudah dikepaknya sekuat hati bagi melarikan diri sejauh yang mungkin dari Gibran.

Masalahnya sekarang, dia hanya ada sepasang kaki. Dan kaki itu juga yang tanpa silu, membawanya kembali menapak menghampiri kenangan silam.

Sejauh mana pun dia melangkah, dia sentiasa sedar. Lambat atau cepat, benci atau tidak, kenangan yang cuba dielakkan itu, pasti tetap akan muncul untuk merobek kembali hari-hari tenangnya. Dan apa yang dia ada sekarang, cuma sedikit keberanian yang diharap bakal dia gunakan untuk mempertahankan diri sendiri nanti.

Gibran bangun. Kunci kereta yang ada di atas meja dicapai sebelum dia melangkah beriringan dengan Afke. Ditoleh sekilas ke arah wajah wanita itu.

Oh… good job, Gibran! Bengang dia dengan diri sendiri bila melihat riak mendung Afke.

‘I’m truly sorry Afke, for what I did.’  

Sungguh dia mahu mengungkapkan perkataan itu. Tetapi dia yakin, kata maaf bukanlah apa yang mahu Afke dengar sekarang.

Surat Cinta Untuk Di sana : Soli mehh…. x sempat nak update… erkk…bukan x sempat… ekceli…mood malas bertandang lagi…. huhu…. papaiii…muahhhhhhhhhhh



Khamis, 9 April 2015

Cinta Price Tag : Part 2





EYE bag tebal berkilo! Afke merengus kasar. Cepat sahaja mata panda menyerang kalau dia tak cukup rehat. Seminggu dia berkampung halaman di rumah keluarga Wilma, seminggu juga masa tidurnya jadi tak menentu.

Teman Wilma Fitting baju.

Beli barang untuk goodies bag dan hantaran.

Gila! Dia ingatkan Wilma sudah sediakan semua barang. Rupanya satu habuk pun tak dibeli lagi. Mujurlah dulang hantaran termasuk sekali dalam pakej perkahwinan yang wanita itu ambil. Kalau tidak… memang masaklah!

Ingatkan sikap ‘last minutes’ wanita itu hilang kalau membabitkan hal perkahwinan, rupanya dia silap. Kalau tahu, dari awal lagi dibebelnya Wilma.

Hurm!

Air disimbah pada wajah. tissue roll yang ada pada dinding ditarik. Mula-mula tarik satu. Lepas itu semakin banyak ditarik keluar. Benda free kan? Terlupa langsung dia pasal cukai segala cukai yang selama ini dibayar.

 Dikesat wajah dengan tisu. Beg dibuka. Aquara Essence Spray dari jenama Giffarine dicapai. Digoncang botol sebelum disembur pada wajah.

Satu-satunya jenama kosmetik yang sesuai dengan wajah dia. Yang penting langsung tak mencekik darah! Dan untuk itu para lelaki di luar sana kena bersyukur. Kalaulah dia jenis pakai Sk11 memang masaklah siapa yang berani menghimpit. Ahaks!  

Lip balm dioles pada bibir yang sudah mula kering. Kemudian dicapai pula bedak compact. Niat hati nak ditouch up muka yang layu.

Dua kali tengok muka di cermin, terus dihumban kembali bedak masuk ke dalam beg. Dia bersiap lawa-lawa pun nak bagi siapa tengok? Gibran? Huh! Buang masa!

Setelah selesai semua benda, terus dia melangkah keluar. Dari jauh kelibat Gibran sudah kelihatan. Tersenyum memandang ke arah dia.

Tadi, langsung dia tak pasang niat nak ‘berkereta’ sekali dengan lelaki itu. Masalahnya, tiket kapal yang disimpan di dalam travel bag, tiba-tiba sahaja lesap. Pelik sungguh. Dah diselongkar habis barang pun, tetap juga tak jumpa. Padahal dia yakin benar yang dia tak tersalah letak.

Rasa nak menangis, meraung semua ada. Nak pula hari ini hari lahir Faiq. Sudah banyak benda dia karang untuk dibuat bersama adik kesayangannya itu.  

Lepas itu, Wilma dan suku-sakat tercinta wanita itu, bagi cadangan yang sangat… sangatlah bernas. Tumpang Gibran!

Dia memang tak ingin dan tak sudi! Tapi bila umi Wilma yang sudah dianggap seperti ibu sendiri bersuara, dia terus jadi segan. Takut bila dia banyak songeh, orang ingat dia mengada-ngada pulak.

And now… here I am! Tubuh dilabuhkan di hadapan Gibran.

“Horlicks... Less sugar.” Ditolak gelas berisi air Horlicks yang masih panas berasap ke arah Afke.

“I harap you tak kata, selera you dah berubah.”  

Afke tarik nafas panjang. Memang ayat itu yang mahu dia keluarkan. Nampaknya Gibran memang alergik dengan ayat klise!

Tingkah Afke dipandang. Lambat sahaja wanita itu menarik gelas mendekati bibir. Nampak teragak-agak dan berhati-hati.

Surat Cinta Untuk Di sana : Nak part 3? Solan mintak lempang! ahahah