Hel!O mY DarLing!

Sabtu, 25 Julai 2015

Jajans part 2 - Kasih Di Balik Awan






BULAN ramadhan, bulan yang yang berkat,
Bulan rahmat dan bulan utama,
Pahala digandakan, doa diterima,
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa…

Suara yang mendayu di corong radio membuatkan dia rasa sebak. Rintik hujan yang ramah membelai bumi bagaikan turut sama merasa bahagia meraikan kedatangan satu ramadhan.

Ramadhan. Bulan mustajab. Bulan untuk dia lebih berserah diri kepada Allah. Pahala yang berganda itu diharap mampu menjadi bekalannya saat meninggal nanti.

Tiga perkara yang kekal selepas mati. Sedekah jariah yang diberi semasa hidup. Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang semasa hidupnya, dan juga doa anak yang soleh dan solehah.

Dalam semua, hanya dua yang mampu dia kejar. Doa anak soleh... dia tidak pasti mampu dia dapatkan atau tidak.

'Allah lebih tahu dan Allah juga lebih mengerti aturan untuk kita.' Itu yang Rafiq katakan kepada dia, dan itu jugalah yang dia pegang.

“Doktor Yati…”

Suara yang tiba-tiba sahaja menyapa, buatkan dia sedikit tersentak. Wajah Hajar, pembantu di Pusat Pakar Sakit Puan Dan Perbidanan Lestari itu dipandang.

“Doktor berbuka sorang ke? Meh lah join kita orang.” Hajar menunjuk ke arah meja yang tidak jauh dari wanita itu.

Hayati larik senyum sebelum mengeleng. Sempat diangkat tangan pada sekumpulan rakan sekerjanya yang yang berada di meja yang ditunjukkan oleh Hajar.

“Saya tunggu suami saya. Dia ajak berbuka sekali tadi.” Lembut di tolak perlawaan wanita separuh baya itu.

“Oh… kalau macam itu tak apalah.” Hajar menunduk sedikit sebelum berlalu.

Jam yang membalut tangan dijengah. sudah hampir pukul tujuh. Handset dikeluarkan dari handbag. Belum pun sempat dia menekan nombor talifon suaminya, lelaki itu sudah berdiri tegak di hadapannya.

“Sorry sayang… lama dah ke tunggu? Abang habis meeting lambat tadi dengan supplier.” Kerusi bersebelahan dengan Hayati ditarik. Rambutnya yang basah dilurut. Sambil itu tak lepas wajah isterinya dipandang.

“Tak apa. Yati pun baru saja keluar. Yang abang basah habis ni kenapa? Tak bawa payung ke?” Baju suaminya yang sedikit basah, pantas dilurut-lurut dengan jemarinya.

“Ada dekat boot. Abang malas nak buka. Kalau ambil pun basahnya serupa itu lah jugak.”

“Haih… ada pulak macam itu. Lain kali letak payung dalam kereta. Kang kena lagi hujan, demam pulak nanti.”

“Apa ada hal. Isteri abangkan doktor.” Rafiq gelak kecil bila Hayati mula menjegilkan mata.

“Abang…”

“Iya… abang tahu. Balik nanti mandi. Makan siap-siap panadol. Tidur.” Belum sempat isterinya berkata, dia sudah potong dahulu. Sudah tahu benar ayat apa yang mahu keluar dari bibir Hayati.

Kalau dia terkena hujan, memang ayat itu sahajalah yang isteri kesayangannya itu ulang. Sampai ayat itu sudah kejap terpeta di dalam fikiran.

“Abang ni…” Hayati tergelak. Lawak bila suaminya itu cuba meniru gayanya.

“Yati dah order belum?” hilang tawa si isteri dia mula menyoal bila meja di hadapannya masih lagi kosong.

“Dah… kejap lagi sampailah tu… tsk… ingatkan kita boleh berbuka dekat rumah.” Bibir dicebikkan. Semalam beria dia mengarang menu untuk berbuka. Sudahnya dia terpaksa juga bekerja bila doktor Ui yang sepatutnya bertugas, ada hal yang tak dapat dielakkan.

“Berbuka dekat luar pun tak apa. Kalau dekat rumah, rasanya Yati kena berbuka sorang. Ni pun nasib abang meeting area sini aje. Kalau nak balik rumah, memang tak sempat.” Canggih dah aturan tuhan untuk mereka. Cuma kena sedar saja kebaikan yang terselit disetiap garis kejadian yang jadi.

Baru sahaja Hayati mahu menjawab, ada hidangan yang diletakkan di hadapan mereka. Dibalas senyuman pelayan yang dia yakin masih lagi muda belia.

Hilang sahaja gadis itu dari pandangan, wajah suaminya kembali dipandang.

"Abang. Tadi ibu call Yati..." Dia gigit bibir. Kenang wanita seorang itu, buatkan dia sebak sendiri.

"Ibu cakap apa?"

"Ibu ajak berbuka dekat rumah esok." Perlahan sahaja kata yang terluah. Bukannya dia tak sudi, bukan jugak dia tak ingin, tapi mengenangkan apa kata yang mungkin dia terima, kerinduannya pada wanita itu pastinya akan kuncup dengan sendiri.

Dia boleh terima kata berbisa siapa sahaja kerana orang tidak kenal siapa dia, tetapi ibu? wanita itu wanita yang paling dekat dengan dirinya. Wanita yang lebih kenal dia berbanding dengan orang lain.

Tapi kenapa wanita yang diharap memahami dirinya itu, bertingkah bagaikan wanita yang tidak berperasaan?

Sentiasa menyulam kata dengan bicara setanding pedang. Tajam dan bersinar sehingga silaunya mampu menjadikan hatinya retak menjadi keping-keping halus. Sakit terhiris… tapi lukanya tak ternampak dek mata.

Hati bernanah, tetapi tak pernah dia jumpa dengan penawar. Dicari setiap pelosok dunia pun mustahil dia akan ketemu kerana ubatnya hanya ada satu sahaja. Pengertian!

Pengertian itu tidak perlu dibeli, tetapi kenapa benda percuma itu menjadi terlalu mahal nilainya untuk difahami oleh orang sekeliling?

"Esok Yati tak kerja kan?" Melihat pandangan mata si isteri, dia sudah boleh menembak ada rasa lelah terpahat di situ. Pastinya 'jemputan' ibu mertuanya itu disulami dengan pertanyaan wajib.

"Hurm..."

"Esok kita pergi."

"Abang... Yati..." Dia cuba mencari alasan. Mereka kata yang mampu elakkan dia dari berjumpa dengan wanita itu.

Bukan kerinduan tidak mengamit, cuma dia takut hatinya yang dirasakan semakin rapuh, tidak mampu lagi menahan beban. Apa guna bertemu kalau rasa gembiranya bakal dibunuh? Dan apa juga ertinya bertandang, tetapi terpaksa pulang dengan mengusung sekali dengan sengketa?

"Tak baik kita sengaja nak elak jumpa ibu, Yati..." Rafiq cuba memujuk. Kalau diikutkan, dia juga sudah tawar hati mahu bersua muka dengan ibu mertuanya itu, tetapi dia ingat satu perkara... syurga isterinya pernah ada ditelapak kaki wanita itu.

Dia tidak mahu kerana rasa terkilan, dia hapuskan terus syurga itu dari pandangan si isteri. Runtuhnya hubungan suami isteri, cukup hanya dengan sekali lafas. Tapi ikatan dengan wanita bergelar ibu, sampai ke syurga tetap akan diusung. Lari ke pelusuk dunia mana sekali pun, ikatan itu tak akan relai dan berkecai.   

"Abang pun tahu kan ibu macam mana?" Mak lang dan mak teh suaminya lancang berkata tapi bicara keduanya mana mampu melawan bisa kata yang muntah dari bibir ibunya sendiri.

Dia harap pengertian wanita itu lebih dari sesiapa sahaja, malangnya ibu sendiri bertingkah bagaikan tidak faham langsung apa naluri hatinya.

Anak!

Kenapa 'anak' selalu dijadikan modal untuk menghukum? Apa salah diakah kalau keinginan yang satu itu gagal dia penuhi? Berdosa sangat ke kalau perutnya tidak pernah membuahkan isi?

Dia mahu jadi ibu!

Dia mahu punya anak!

Dia juga mahu hadiahkan keturunan buat ibunya. Tapi kuasa bukan ada ditangan dia. Dia hanya mampu berdoa dan berusaha. Selebihnya dia hanya mampu berserah.

"Habis tu Yati nak terus elak diri dari dia?"

Hayati mengeluh. Dipejam mata sebelum menggeleng perlahan.

Suasana sepi seketika membaluti mereka, sebelum lembut panggilan lelaki itu menyeru namanya.

"Farhat Hayati..."

Wajah Rafiq dipandang. Jarang lelaki itu memanggilnya dengan panggilan penuh, melainkan ada sesuatu perkara penting yang mahu disampaikan. Terkebil matanya bila sebuah kotak dan kad bersaiz kecil ditolak ke arahnya.

"Happy anniversary Farhat Hayati Umar."

Hayati terdiam. Kembali matanya memandang wajah Rafiq. Bibir diketap...

"Yati lupa..."  Ya Allah, macam mana dia boleh langsung tidak ingat hari dia dan Rafiq disatukan? Lima tahun dahulu, tarikh yang sama menjadi saksi ikatan antara mereka termenterai.

"Tak apa. Selalunya Yati yang ingatkan abang. Tahun ni biar abang pulak yang ingatkan Yati." Rafiq gelak kecil melihat wajah bersalah isterinya. Jemari itu dikait dan ditepuk perlahan.

Hayati tersenyum. Sebak yang rasa mendesak di dada sedaya upaya ditahan. Kad berwarna biru yang diserahkan oleh Rafiq tadi dicapai dan dibuka.

Bait kata yang dilakar membuatkan air mata yang tadinya ditahan, menitis juga. Kalaulah sekarang mereka tidak berada di khalayak ramai, pasti sudah disembam wajah ke dada lelaki itu.

Rusuk kiri yang dia pinjam itu terlalu tinggi ertinya. Berharga dan mahal nilainya. Tak perlu diminta, pasti akan dia jaga dengan sebaik mungkin.

Tetaplah jadi rusuk kiriku, walaupun ada yang mengatakan jangan… 


 SCUD - Sorry dah lama x berupdate.... sy kan spesis suka mengua...hehe... kot ada salah ejaan mohon ampun bu...malas nak mengedit... (boleh macam tu? ahaks!)