Hel!O mY DarLing!

Isnin, 22 September 2014

Special N3 KALAU SUDAH BERKENAN








“Argh…” Diusap lengannya yang terasa perit. Terkebil-kebil mata memandang ke arah mamanya yang sudah beraksi bagaikan singa lapar.


“Anak dara mana pulak kali ini? along jangan macam-macam....” Adra bengang. Gambar yang berada ditangannya diangkat tinggi. Masuk kali ini entah sudah berapa belas kali dia terjumpa gambar gadis-gadis comel di dalam beg sekolah anaknya. Yang tak boleh blah siap tulis ayat cinta lagi dekat belakang gambar…I love you Wazien…Hello my sweet-sweet segala bala…Aiii…!

“Mama..” Wazien tersengih nakal.

“Apa?” Kali ini dia sudah bercekak pinggang. Nampak kecil besar sahaja anaknya sekarang. Dalam banyak-banyak perangai dalam dunia ni, kenapalah ‘player’ tu jugak anaknya nak sandang? Wajah suaminya dijeling tajam. Ini semua salah suaminya! Perturun sangat gen tak bagus tu dekat anak-anak! 

“Ha…nak cakap apa tadi?” Semakin tajam pandangannya bila anaknya itu masih mendiamkan diri.

“Budak dalam gambar tu…..bakal menantu mama.” Dia sudah melambakkan tawa. Seronok dapat mempermainkan mamanya. Isyarat ‘Give me five’ dihantar kepada papanya yang turut ketawa mendengar kata-katanya.

“Aii budak ni…Sekolah pun tak habis lagi..Sini..Sini…jangan nak lari.” Sedikit menempik suaranya bila anaknya sudah bangun dari kerusi.

“Along bukan nak lari. Along nak ambilkan mama air, bagi sejuk sikit.” Semakin hari dirasakan mamanya semakin berbakat…Bakat berleter!

“Along sindir mama ke?” Matanya yang sudah sedia besar semakin membulat mendengar kata-kata itu.

“Mana ada..Mama tak tengok betul-betul ke sapa budak dalam gambar tu?”

“Nak tengok buat apa?” Dalam membangkang dia tetap membawa gambar yang masih berada dalam peganggannya ke hadapan mata. Kecil besar matanya cuba mengesan makhluk comel bersebelahan dengan anaknya. Humpp…

“Kenapa tak cakap awal-awal?” Nadanya masih tinggi. Cuba membuang rasa malu kerana ‘menyerang’ tanpa usul periksa.

“Budak tu nak cakap macam mana…Tak dan apa-apa lagi Adra dah serang dia.”

“Ha elok lah tu…Menangkan sangat anak-anak. Itu yang kecil-kecil dah pandai main mata dengan anak dara orang.” Air yang dihulurkan oleh anaknya disambar dan diteguk dengan berhati-hati. Risau tercekik air!

“Mama jangan lupa tau cakap dekat Mummy Love yang Cinta tu along tander.” Buku yang bertaburan diatas meja pantas dikaut sebelum dia melarikan diri. Naik kejung pipinya kerana terlalu banyak ketawa. Hailah mama….Kalutnya dari dulu tak berubah.

“Luth El-Waziennnnnnn.” Hish..Sakitnya hati!
Dijeling ke arah suaminya yang bagaikan tidak terkesan mendengar leterannya.

“Abang.” Dia memanggil geram.

“Sini. Duduk sebelah abang.” Zafry memanggil.

“Eh..Mana boleh. Mama duduk lah dekat situ.” Tak bersalah kata-kata itu terluah dari bibir anak anak bongsunya. Fatma Nour Zahra. Tangan dibawa menunjukkan ke arah single sofa.

Jumaat, 12 September 2014

Cinta Terkalih Pandang Bab 1





Tangan dibawa meraba bantal. Tersentuh sahaja dek jemarinya, pantas dicapai dan dipekup pada wajah. Cuba menghalang pendengarannya dari disapa  bunyi ketukan pada muka pintu yang belum mahu kunjung henti semenjak dari tadi.

“Aure Najua!”

Keras suara Hajah Safiyah memanggil anak gadisnya. Matahari dah terpacak atas kepala, masih jugak melengkar di atas katil. Hai! entah apa lah nak jadi...

“Mama masuk ni Aure.”

Bunyi tombol yang dipulas, membuatkan dia cekap melompat turun dari katil. Rambut yang kusut, galak diperbetulkan.

“Ha…dah bangun pun kamu anak dara ye?” Hajah Safiyah bagi jelingan tajam. Tergeleng kepalanya melihat senyuman nakal yang terukir pada wajah Aure.

“Morning mama.” Aure mendekat. Dipeluk tubuh Hajah Safiyah erat. Kucupan kemudiannya berlabuh pada pipi wanita kesayangannya itu.

“Isy busuk-busuk cium orang.” Ditolak sedikit wajah Aure menjauh. Dalam tidak sudi, senyuman tetap melebar juga pada wajahnya.

“Ada apa ma, pagi-pagi kejutkan Aure?” Langkah kaki kembali dibawa ke arah katil. Tubuhnya yang berbalut baju tidur, kemudiannya dihumban ke atas tilam.

“Pagi? Budak bertuah…dah pukul sepuluh tahu?” Tadi lepas mereka sembahyang subuh berjemaah, Aure masuk kembali ke dalam bilik. Dia ingatkan nak hantar telekung, rupanya bertapa terus dalam bilik.

“Sepuluh? Sepuluh?” Aure gelabah. Habis lah dia…

“Lah…yang gelabah semacam ni apasal? Bukan harini cuti ke?” Hajah Safiyah bertanya kehairanan.

“Aure nak kena jumpa model untuk produk baru kejap lagi. Alah…apasal mama tak kejutkan Aure tadi?” Tuala dicapai. Baru sahaja dia melangkah ke dalam bilik air, dia teringatkan sesuatu.

“Eh...mama pulak yang salah?” Hajah Safiyah merengus sedikit. Macam-macam perangailah anak-anaknya.

“Mama. Toilet tersumbat lagi.” Kali ini dia capai sekali dengan t-shirt sebelum melangkah keluar dari bilik.

Pintu bilik air yang berada di luar, ditolak. Malangnya terkunci pulak dari dalam. Didekatkan telinganya ke arah pintu. Cuba mengesan jika terdapat sebarang bunyi.

“Em, cepat sikit boleh tak?” Diketuk sekuat mungkin pintu bilik air. Suara lelaki itu melalak, sayup sahaja pada pendengarannya.

“Em? siapa Em?”

Diketap bibirnya sekuat mungkin dari menghemburkan seranah setelah mendengar kata-kata balasan dari ‘adik kesayangannya’ itu.   Kalau bercakap tak menyakitkan hatinya, memang tak sah!

“Cepatlah. Aku dah lambat ni.”

“Haish…sabar sikit boleh tak?” Hajah Safiyah tepuk perlahan bahu Aure.

“Aure dah lambat mama. Suruh lah dia cepat.” Kali ini diharapkan pula bantuan Hajah Safiyah. Masaklah dia kalau terlewat tiba nanti.

Model yang syarikatnya pilih bukan sebarangan. Faliq Ikbal, anak seorang hartawan dan juga ahli perniagaan berjaya. Sebulan lebih dia berusaha untuk bertemu dengan lelaki itu. Dia tidak mahu kerana kelewatannya, semuanya bakal berantakan!

“Em.”

Baru sekali Hajah Safiyah memanggil, sudah terpancul wajah itu di muka pintu bilik air. Senyuman selebar yang mungkin ditayang.

“Hai mama cantik.”

“Ada-ada saja lah.” Hajah Safiyah tergelak kecil. Em dari dulu, tak pernah gagal buatkan dia tersenyum.

“Tepi lah sikit.” Sengaja Aure merempuh tubuh itu. Dia sakit hati! Mama kalau dengan budak itu, senyumnya sampai ke telinga.

“Lawa kakak sayang kalau marah.” Em sempat menyindir sebelum melangkah keluar dari muka pintu bilik air.

Dum! Berdetum bunyi pintu dihempas. Em pegang muka. Nasib baik tak kena wajah dia. Kalau tidak, mahu kurang skala kekacakkannya. Sudah lah, muka handsome ini yang dia guna cari makan!

Dia pandang wajah Hajah safiyah, wanita itu angkat bahu. Dia turut angkat sama. Faham dah perangai tak bertamadun gadis seorang itu.

“Makin hari, makin melampau.” Hajah Safiyah merengus. Entah silap ibu mengandung atau apa. Degil dan baran Aure, makin hari makin tak terduga.

“Biar lah dia mama. Gerhana bulan kot!” Dia tergelak kecil bila Hajah Safiyah menampar lengannya lembut.

“Mama masak apa?” Tuala yang digunakan untuk mengeringkan rambut, dia baling ke arah kerusi. Kemudian, kalut diikut langkah Hajah Safiyah yang sudah melangkah turun ke bawah.

“Nasi lemak. Makan tengah hari mama tak masak lagi. Em nak makan apa?” Hajah Safiyah bertanya lembut.

“Masak apa pun tak apa. Mama kalau goreng telur pun dah cukup sedap.” Em gelak kecil. Bukan dia menipu…Sungguh, apa sahaja yang dimasak oleh wanita itu, tak pernah tak kena dengan seleranya.

“Cukup-cukup lah kamu bodek mama kamu tu Em.” Haji Arif letak surat khabar di atas meja. Air kopi yang dibancuh oleh isterinya tadi, dicapai dan diteguk berhati-hati kerana masih panas.

“Eh, cemburu pulak abang ni.”

“Jangan tarik muncung Piyah. Biar anak awak seorang tu sudah. Tak terlayan saya kalau semua perangai macam dengan dia.” Haji Arif ketawa perlahan. Aure…anak itu ada sahaja kerenah yang mampu buatkan darah tingginya mencanak naik!

“Bukan bodek abah. Kenyataan.”

“Hemm…” Haji Arif jongket bahu. Em sahaja yang puji masakan isterinya sedap. Pelik lidah anak itu. Dia yang hidup berpuluh tahun dengan wanita itu pun, kadang-kadang tak tertelan apa yang dimasak. Ada harinya terlebih garam. Ada hari manis ya ampun. Ada hari…langsung tak ada rasa!

“Tak ada latihan hari ni?”

“Tak ada abah.” Em geleng perlahan.

“Baguslah kalau macam itu. Boleh ikut abah pergi kedai Uncle Lim kamu malam ni. Hari-hari tanya pasal kamu.” Keramahan Em, buatkan dia mudah disenangi sesiapa sahaja. Bangga dia bila ada yang memuji dia pandai didik anak.

“Isy abang ni. Biarlah dia rehat. Minggu ni mana pernah dia lekat dekat rumah.” Hajah Safiyah menegur. Sepanjang minggu dia tengok Em terkejar-kejar. Mana dengan nak pergi kelas, pergi training lagi. Dia yang memandang pun sudah terasa semput.

“Eh. Tak apa mama. Em pun dah rindu nak jumpa kawan-kawan abah.” Kalau ikutkan letih, memang dia sudah terbungkang sahaja di atas katil. Cumanya…dia malas nak melayan rasa letih itu. Bimbang tubuhnya semakin melemau.

“Mama…abah. Aure pergi dulu.”

Suara Aure yang kedengaran, menganggu perbualan mereka bertiga. Terus mereka memusing kepala mengadap ke arah gadis itu.

“Aure.” Belum pun Aure sempat melangkah keluar, Haji Arif sudah memanggil.

“Ada apa abah?”

“Nak pergi mana tu?”

“Aure kena kerja hari ni. Tadi dah cakap dekat mama.” Aure tarik nafas panjang. Dia pandang wajah mama dan abahnya sebelum terus berlari keluar. Dia dah lambat!

“Bertuah betul anak awak tu. Kotnya nak disalam kita dulu.” Haji Arif berkata tidak puas hati.

“Dia lewat betul lah tu abah.” Em cuba meredakan kemarahan lelaki itu.

Merengus kasar Haji Arif. Kalau tak terlewat pun, memang tak adanya Aure nak bersalam dengan dia dan isterinya selagi tak ditegur. Memang jauh bezanya anak itu dengan Em dan Aria. Betul lah orang kata. Setandan nyiur, belum tentu semuanya elok. 

...........
Surat Cinta Untuk Di sana : selamat membaca..... mcm yg saya bgitahu...cerita ni sangat biasa.... oh ya.,...yg haritu....sila jdkan epilog.... rasa mcm berjela pulak kalau buat dr dia orang kecil.. :) 



Ahad, 7 September 2014

Cinta Terkalih Pandang : Jajans Bab 1






“Aure tak suka lah abah!” Naik turun nafasnya menahan amarah. Budak lelaki yang berada di sisi abahnya direnung tajam. Nampak bersahaja dengan wajah yang langsung tidak beriak.

“Aure Najua!” Melengking sedikit suara Haji Arif. Sakit hati memandang gelagat anak perempuannya, yang galak menghentak kaki ke atas lantai.

“Payah-payah sangat, abah hantar saja dia dekat rumah anak yatim. Aure tak suka lah abah bawa balik orang kita tak kenal dalam rumah ni.” Mendatar sedikit nadanya kali ini. Takut nak dipandang, wajah abahnya yang sudah berubah warna. Merah padam!

“Siapa cakap abah tak kenal? Em ni anak kawan baik abah.” Dia bukannya gila nak diheret anak orang sesuka hati balik rumah, tapi rasa tanggungjawab yang mendesak… membuatkan dia mengambil keputusan drastik itu. Isterinya juga terima dengan senang hati. Tak disangka, anak gadisnya pula yang lebih sudu dari kuah!

“Em, jom mama tunjukan bilik.” Hajah Safiyah berkata teruja. Ditarik lengan remaja 13 tahun itu, supaya mengikut langkahnya.

Aure tayang wajah cemberut. Agaknya, abah dengan mama dah terkena ubat guna-guna! Entah apa budak itu hembus sampai, cakapnya pun dah tak didengar!

Mama pun satu. Teruja sangat macam tak pernah ada anak! Mengeletar seluruh tubuhnya menahan geram.

“Mulai hari ini, suka tak suka…abah nak Aure anggap Em macam adik Aure sendiri. Faham?” Haji Arif berkata tegas.

“Adik Aure ada sorang saja. Aria!” Semakin kuat kaki dihentak sebelum dia berlalu pergi.

Haji Arif, urut dada. Aduhai anak…Aure dari dulu lagi keras kepala. Entah perangai siapalah yang diikut. Dengan barannya lagi. Kadang-kadang, tak terlayan dia dengan kerenah anaknya yang seorang itu.

“Abang Em, nak tinggal dengan kita ke abah?” Aria yang hanya berdiam diri melihat sandiwara yang dimainkan si kakak, mula bersuara.

“Ha. Nanti Aria layan Abang Em elok-elok. Jangan buat perangai macam kakak pulak.” Haji Arif labuhkan tubuh di sebelah anaknya. Cakap dengan Aria yang berumur 10 tahun lagi bagus dari dia buang suara membentak pada anak daranya yang dah berusia 14 tahun.

“Okey…tapi, apasal Abang Em tak duduk dengan family dia je?” Aria garu kepala. Tak faham betul lah. Rumah tak ada ke, sampai kena menumpang rumah dia?

“Mak dengan ayah Abang Em dah meninggal. Nanti Aria jangan tanya dia tau.” Haji Arif memberi pesanan. Aria bukan boleh, becoknya mengalahkan mak nenek! Semua benda nak ditanya. Lagi tak dapat jawapan, selagi itulah dia menyoal!

“Kiranya, Abang Em tu nak jadi anak abah dengan mama jugak lah ye?” Aria bertanya teruja. Hemm…Bagus jugak tu! Lepas ni, adalah orang nak teman dia main masak-masak!

“Iya lah.” Kali ini, Haji Arif turut teruja sama. Dah lama dia teringin nak ada anak lelaki…tetapi rezeki tak memihak kepada dia dan isteri. Kedatangan Em dalam keluarganya pulak, bagaikan memenuhi impiannya!

Dalam fikirannya, beberapa angan-angan sudah dikarang. Bermain bola sepak pada waktu petang. Tengok movie Terminator tengah malam. Memancing masa hujung minggu! 

.............................
Surat Cinta Untuk Disana : Kisah ni...kisah biasa..sangat biasa sebenarnya.... Hero dan heroin yang juga biasa-biasa.... Harapnya, korang sudi lah baca kisah biasa yang ditulis oleh saya yang juga biasa-biasa.... (Apa kehalnya 'biasa' keluar banyak ni? heheh....) Oh ya!! Korang nak full n3????