Hel!O mY DarLing!

Sabtu, 3 Mac 2018

Cerpen : Cinta ABC




Dang Anum
Kata orang, cinta itu ibarat ABC. Macam-macam warna ada. Kata aku, cinta ibarat chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada!

Motif? Kalau korang nak tahu, masuk kali ini dah lima kali aku putus cinta. Mak kata aku dah boleh mandi bunga. Cik Tipah Goyang sebelah rumah lagi teruk. Ada ke patut dia suruh aku mandi air masjid tujuh kolah?

Aku pun pelik sebenarnya. Nak kata aku ni memilih, memang taklah. Aku bukannya si JLo yang cun melecun tu. Jangan nak kata sama sikit, sipi dia pun jauh panggang dari api!

Kesimpulan yang aku dapat buat? Jodoh aku belum sampai. Seru belum panggil!

“Jodoh kalau tak cari, memanglah tak ada.” Great! Mak macam tahu-tahu saja apa yang aku fikir.

“Si Jiha kawan baik kau tu... anak dah dua. Esok lusa keluar lagi sorang. Katina anak Cik Tipah, dah bersusun suku-sakat dia. Kau tu bila lagi?”

Aku pandang wajah mak. Belum sempat aku balas, mak sambung lagi bicara ala-ala luahan perasaan di pagi raya.

“Mak ni bukan apa, sebelum tutup mata, nak jugak tengok kau bahagia. Ada anak. Ada suami macam orang lain. Boleh jaga sakit pening kau.”

Lima tahun dulu, kalau aku dengar ayat ni, confirm aku melalak meraung tak cukup tanah. Feeling beb! Tapi kalau dah sampai lima tahun mak aku asyik ulang benda yang sama, memang dah beku habis perasaan aku yang memang tak berapa nak cair ni.

Kalau suruh ulang balik ayat tu pun, aku boleh. Tak payah nak tengok skrip bagai!

“Bukannya Anum tak cari, tapi dah tak ada jodoh. Anum nak buat macam mana?” Kuih tepung talam yang elok berbungkus, aku buang plastik dan sumbat masuk ke dalam mulut. Heaven!

“Ala... cuba kau buat iklan dalam pesbuk tu. Ada ler nanti yang mengendeng.”

Aku pandang Cik Tipah. Tergelak aku tengok muka dia yang beria-ia. Dia kalau sekali tengok, dah macam mami jarum. Dengan gelang sampai ke lengan. Rantai dekat leher tak usah aku nak cerita. Penuh! Dari yang kecil sampai yang besar. Ini kalau letak dekat leher aku, mahu patah riuk terus!

Tapi aku tahu. Dia nampak sahaja macam itu, tapi baik orangnya. Kalau ada yang mengata aku anak dara tak laku, dialah yang jadi si tukang backup. Masa tu, terus aku angkat dia jadi Cat Woman dalam hati!

“Kalau kau tak usaha, jadi anak dara tak lakulah kau nanti Anum oii.”

Okey! Aku delete... delete... balik segala pujian tadi! 2 x 5 saja dia dengan orang lain!

“Apa kata, Cik Tipah yang tolong carikan jodoh dekat Anum. Selera Anum ni bukan besar.”

“Betul ke? Bagus la kalau macam tu. Kau dah ada calon Tipah?”

Amboi mak! Laju! Sengih mak dah sampai belakang telinga. Terus aku rasa tak sedap hati. Cik Tipah pun bukan main lagi sakan bertepuk tampar dengan mak. Ya Allah... mintak simpang segala marabahaya...

“Kalau boleh, Anum nak suami yang ada kerja tetap. Ada rumah banglo ke sebiji, ada kereta. Kalau anak yatim piatu lagi bagus. Nanti raya tak payahlah Anum nak berebut-rebut balik rumah siapa.” Syarat mengarut aku bagi. Sebelum Cik Tipah buat pakatan dengan mak, baik aku ranapkan dari awal.

Yang mulut aku ni pun satu. Gatal! Gedik! Tak ada pasal, pergi cari pasal!

“Amboi kau...deman!” Panjang muncung Cik Tipah. Agaknya menyampah dengar syarat tak sedar diri yang aku baru kasi.

“Demand ler Cik Tipah.”

“Sama ajelah.”

“Kalau ada calon yang kena dengan syarat tu, Cik Tipah jangan lupa kenalkan dekat Anum ye?” Aku tayang wajah naif. Sekejap sahaja sebelum aku rasa bagaikan nak tercabut segala isi. Tunduk bawah. Elok tersadai jari mak dekat pinggang aku. Ini mahu lekat lovebite tiga bulan.



Amir Riaz

DANG ANUM? Otak aku automatik terbayang wajah pelakon zaman dulu. Baju kebaya ketat menyendat. Bunga melur penuh kepala. Payung...

“Dah habis kau gelak? Nak mak long sumbat mulut kau dengan selipar ni?”

Aku geleng kepala. Sekejap sahaja sebelum tawa aku kembali bersambung. Sumpah lawak! Terbayang sahaja gaya si Dang Anum ala-ala gadis melayu terakhir cukup untuk buatkan aku rasa nak gelak sampai tercabut rahang!

“Tak ada orang lain ke mak long?” Hilang tawa, aku bertanya.

“Kau jumpa dengan budak Anum ni pun belum, kau dah tanya mak long calon lain?”

Aku tersengih. Mak long ketap gigi. Siap cekap pinggang bagai. Nampaknya budak Anum ni dah jadi calon afundi mak long.

“Cantik tak mak long?”

“Mata dua. Hidung satu. Gigi penuh mulut. Sempurna sifat. Lawalah.”

Terdiam aku dengar lawak mak long yang tak berapa nak lawak. Tak agak-agak dia nak sindir!

“Jadi tak ni Riaz?” “Jadi apa mak long?” Aku garu kepala. Serabut dengan desakan mak long yang aku yakin, tak adanya nak berhenti selagi aku tak bagi jawapan yang memuaskan hati dia.

“Jadi jumpa budak nilah. Kalau tak nak jumpa pun boleh. Biar mak long masuk pinang saja terus.”

“Ya Allah, mak long. Riaz tak sedia lagilah. Riaz ni bukannya tua sangat.”

“Tak tua kau kata? Umur kau tu dah tiga puluh tiga. Mak long dulu, anak dah nak masuk sekolah menengah dah masa umur kau.”

“Tu zaman bila mak long? Sekarang ni orang dah tak kisah dah kahwin awal ke... lewat ke.”

“Mak long sedar, mak long ni bukan mak kau.” Aduhai... ini yang aku lemah. Mak long kalau tak guna ayat pasrah, memang tak sah!

“Ikut suka mak longlah. Bila mak long nak Riaz jumpa budak tu?”

“Sungguh? Betul ke nak jumpa?” Aku agak dah... tak pepasal aku terkena lagi! Hilang muka sentap mak long tadi. Ayat pasrah juga dah terbang melayang. Ceria wajah mak long macam aku baru saja hadiahkan dia cincin emas sebentuk.

Aku terbayang wajah Serena. Budak satu firma dengan aku. Setahun rasanya sudah lebih daripada cukup untuk aku cuba dapatkan dia. Dah tak sanggup aku jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.



Dang Anum

AKU pandang dia. Dia pandang aku. Rasanya sejak lima belas minit lalu, sampailah sekarang, itu sajalah benda yang aku dengan dia buat. Ini kalau mak tengok, mahunya dia menyanyi lagu R. Azmi.

Dari kerana mata, terbitnya asmara... Senyumanmu menikam jiwa... Renungan mesra menjelma segera... Aku tertawan memendam rasa...

“Saya tahu saya kacak.” Aku kerut dahi. Ayat pembuka bicara dia buatkan aku rasa nak hantuk kepala dekat dinding laju- laju. Puji diri sendiri tak agak-agak! Tetapi nak tak nak, aku kena akui. Dia memang segak. No doubt!

“Motif?”

“Sebab awak tengok saya sampai nak tembus.”

“Huh! Fitnah akhir zaman.” Aku bagi ayat itu. Tapi dia selamba sahaja ketawa. Mak aii! Sekarang aku rasa nak tutup mata kuat-kuat dengan jari. Lesung pipit dia punya dalam, dah boleh aku buat tempat tumbuk sambal belacan!

Kenapalah segak sangat makhluk ciptaan yang satu ini? Terus rasa rendah diri menyerang. Ini jangan kata berdiri sama tinggi. Kalau aku duduk pun, belum tentu dapat sama level dengan dia. Pasrah!

“Mak long saya sukakan awak, Dang Anum. Kuat dia lobi.”

“Mak long? Cik Tipah?” Lah... aku ingatkan entah anak siapalah dia sapu. Rupanya anak saudara sendiri. Kenapalah mak long tak cakap awal-awal dia ada anak sedara macam ni sikit punya kacak?

Mak long? Dah kenapa pulak dah aku panggil Cik Tipah macam tu? Dang Anum sayang... Wake up dear!

“Yup. Dari minggu lepas lagi dia asyik puji awak. Anum itu... Anum ini... teringin jugak nak tengok, hebat macam mana cik Dang Anum kesayangan mak long saya tu.”

Ini yang aku tak sedap. Senyuman dia tu macam sinis sangat. Hek eleh... ingat aku hadap sangat ke nak jadi bini dia?

Tapi tak kanlah aku nak balas biadap jugak kan? Keayuan aku yang sudah tujuh keturunan diperturun dari nenek moyang, kena jaga.

“So... apa pendapat awak?” Aku tayang sengih. Pasrah sajalah kalau dia kata rupa aku macam nenek kebayan sekali pun.

“Okey. Not bad.” Dia senyum lagi. Kali ini nampak ikhlas. Ohoii... Mak Long Tipah! I Love You!

“Dang Anum...”

“Anum cukup.” Dari tadi lagi dia panggil nama penuh aku. Kalau terberkenan nama aku sekali pun, janganlah tunjuk sangat. Kang tak pepasal aku jadi bangga. Bila bangga, mulalah aku nak riak. Lagi teruk kalau aku mula takbur... mintak simpang!

“Dang Anum.” Again? Mata aku kecilkan. Nafas aku tarik bila aku dah boleh agak hala tuju fikiran dia.

“Jangan tanya sebab apa nama saya Dang Anum.” Dia tergelak.

“Obvious sangat ke?” Aku angguk. Butalah kalau aku tak sedar dari tadi dia panggil nama penuh aku. Aku tahulah nama aku tu epik!

“Kalau jumpa mak saya nanti pun awak jangan tanya soalan tu.”

“Apasal pulak?” “Nanti mak saya jawab... bersyukur mak kasi nama tu. Kalau ikut abah kau, dia nak letak nama Hang Li Po.”

Dia ketawa lagi mendengar kelentong aku. Gasaklah. Bukannya dia tahu aku bohong ke tidak. Jujurnya, aku sendiri tak pernah tanya dekat mak dengan arwah abah, sebab apa aku dapat nama itu.



Amir Riaz

DIA cantik? Tak! Kalau dengan Serena, bagai langit dengan bumi. Bagai tanah dengan pelangi. Tapi ada sesuatu yang ada dekat dia yang tak ada dekat Sarena.

Dia kelakar. Apa yang penting, dia berjaya buatkan aku berasa selesa. Sesuatu yang payah untuk aku alami dengan orang lain.

“Jadi bersedia nak jadi isteri saya?” Wajah dia aku pandang.

“Semudah tu?”

Jelas matanya terbuka luas tanda tidak percaya. Aku angguk. Yes! Semudah itu. Aku malas nak fikir banyak. Rasanya calon mak long yang seorang ini tak adalah teruk sangat.

“Tak rasa macam kita ni terdesak ke?” Dia tanya lagi.

“Apasal? Awak rasa macam kita terdesak ke?” Soalan berbalas soalan.

Dia geleng. Jemarinya naik membetulkan tudung yang sedikit kelepek. Kemudian dia pandang wajah aku dengan mulut yang termuncung-muncung. Adalah benda yang dia nak tanya lagi tu.

“Kita nak buat kisah kahwin paksa ke?”

“Kahwin paksa dan calon pilihan keluarga, dua benda yang berlainan Anum.” Sama ada dia banyak baca novel ataupun dia banyak tengok telenovela. Tak faham betul aku kalau orang kata pilihan keluarga itu, masuk dalam kategori kahwin paksa.

“Bukan eh?” Aku geleng.

“Awak memang tak ada calon ke? Saya tak suka rampas hak orang.”

“Jujur... saya ada calon.”



Dang Anum

ACI tak kalau aku simbah air dekat muka dia? Rampas hak orang? Hell no!

“Saya nak balik.” Dia kacak, tapi kacak saja tak cukup untuk buatkan perut aku kenyang. Kalau kacak dia aku kena kongsi dengan orang lain, nak buat apa? Buat sakit hati saja.

“Duduk dulu Anum.” Ewah! Boleh pulak dia senyum. Ingat benda macam ni main-main ke?

“Saya ada calon. Tapi dia tak sukakan saya. Maybe, I should move on.”

“Maybe?”

“Yes... maybe.”

“Maybe awak tu tak cukup senangkan hati saya. Saya tak suka berkongsi. Hari ini awak pilih saya. Tak mustahil esok awak teruskan lagi angan-angan nak tawan calon yang tak sukakan awak tu.”

Aku bukan jenis orang yang mudah anguk- anguk, geleng-geleng. Dan aku juga bukan jenis wanita lemah tidak kena tempat.

“Saya jugak bukannya layang-layang, Anum. Kalau saya setuju berkahwin dengan awak, bermakna saya pilih awak and of course, saya akan lupakan dia.”

“Awak yakin?”

“Absolutely... yes!” Kata-kata dia berjaya buatkan aku tersenyum. Mungkin pilihan keluarga lebih baik dari pilihan sendiri. Teruk atau baik, kami sendiri yang akan coretkan. Dan hanya Dia sahaja yang mengetahui apa yang bakal jadi dikemudian hari.

“Nama saya Dang Anum. Umur dua puluh sembilan. Kerja sebagai clerk of work dengan syarikat consultant.”

Dia jelas tercengang mendengar kata-kata aku.

“Sesi suai kenal. Awak tak nak tahu pasal calon isteri awak?”

“Awak kelakar, Anum.”

“Saya anggap itu pujian. Thanks!” Dia tergelak lagi. Agaknya makhluk bernama Riaz ini, memang suka ketawa.

“Tinggi? Berat?”

“Tu soalan sensitif.” Aku cebikkan bibir. Tapi aku tetap beri jawapan untuk pertanyaan itu.

“Tinggi saya seratus lima puluh tujuh. Jangan awak berani kata saya katik! Eva Longoria pun sama tinggi saja dengan saya.” Sensitif betul aku kalau ada yang berani kata aku tak cukup inci.

“Sepatutnya awak yang kena jadi lawyer, Anum. Ada saja jawapan awak.”

Dia letak tangan bawah dagu. Dengan kemeja yang disinsing, oh yeah! Dia nampak sangat mengancam!

“Berat saya empat puluh lapan...” Tiga tahun yang lepas, aku sambung dalam hati. Sekarang kalau timbang, mahunya jarum penimbang naik mencanak.

“Serius?” Dia kecilkan mata.

 “Erkk... maybe.” Oh, dia tersenyum lagi. Rasanya aku bakal kenyang kalau dapat tengok senyuman dia hari- hari. Cis! Aku propa lagi! Kalaulah senyum boleh kenyangkan perut, pasti sudah tak ada gelandangan di dalam dunia.

“How about you?”

“Amir Riaz. Umur tiga puluh tiga. I‟m a lawyer. Ada rumah. Ada kereta dan anak yatim piatu.”

Pijar pipi aku rasa. Nada dia biasa. Tetapi aku rasa bagaikan disindir. Aduhai Mak Long Tipah sayang, apasalah rapikan aku tu dia bagi tahu sekali? Sekarang nampak macam aku ni perempuan mata duitan pulak. Hurmm...

“Tinggi seratus lapan puluh lima... and yes, awak bakal nampak katik kalau berdiri sebelah saya... so macam mana? Lepas syarat jadi calon suami awak?”

Lebih daripada lepas. Tapi takkanlah aku nak bagi tahu dia pulak kan? Kang ada pulak yang kembang hidung tak nak kempis.

“Okeylah.”

“Okeylah saja?” Dia jongket kening. Aku angkat bahu. Tayang wajah stonecold.

Amir Riaz

SEBULAN lagi status aku bakal berubah. Apa yang tak bestnya...

“You dah makan, Riaz?”

“Dah... dengan my fiance.” Aku ukir senyum. Dulu, bagaikan nak gila aku kejar dia. Tapi sikit pun dia tak pandang. Bila tahu aku bertunang, pandai pula dia mengendeng bagaikan anak kucing mintak dibelai.

“Oh... I tak makan lagi. Boleh you temankan I?”

 “Maaf Serena. I‟ve got to go. Nak jumpa Datuk Rahim.” Fail di tangan, aku layang di hadapan wajahnya. Riak kecewa terpampang jelas membuatkan aku menjadi serba-salah.

“I jumpa Datuk kejap. Nanti I temankan you.” Senyuman dia aku balas sebelum berlalu.

“Pak ngah.” Aku jengah kepala di balik pintu bilik Datuk Rahim yang selama ini memang sentiasa terbuka luas.

Hampir tergelak aku melihat permandangan di hadapan mata. Rambut lelaki itu sudah berselerakkan dengan getah pelbagai warna. Jari pula dipenuhi plastisin yang dipakaikan seperti inai.

“Masuk Riaz.”

“Jaga cucu ke Pak Ngah?” Aku bertanya. Lelaki itu hanya tersenyum.

“Uncle Leyas nak pakai?” Wajah comel itu aku pandang. Tersengih nakal sambil menarik-narik plastisine di tangan. Laju aku geleng kepala.

Pipi tembam budak kecil yang dipanggil Baby itu, aku cubit geram. Asal dia datang sahaja, pasti haru-biru firma dengan telatah nakal dia.

“Baby tak pergi sekolah ke?”

“Tak. Baby demam.”

“Betul ke demam?” Puas aku tahan senyum bila tangan aku ditarik dan diletakkan di atas dahinya. Sejuk! Auta lebih dari fakta dah ni.

Telatah comel itu benar-benar buatkan aku rasa tak sabar nak ada anak sendiri. Pastinya akan nakal dan ceria sama seperti cucu kesayangan lelaki itu.

“Baby dah makan ubat?”

“Dah. Baby makan ubat oren.”

“Vitamin.”

Mendengar kata-kata Datuk Rahim, aku hanya mengangguk. Faham-fahamlah sendiri.

“Fail yang pak ngah mintak.” Aku hulurkan kepada dia.

“Letak saja hujung tu Riaz. Duduklah. Yang kau berdiri tu kenapa?”

Mendengar kata-kata itu, kerusi di hadapannya aku tarik.

“Pak ngah ada benda ke nak cakap dengan Riaz?” Wajah Datuk Rahim aku pandang. Lelaki itu sejak akhir-akhir ini, cerianya lain macam. Pastinya disebabkan kehadiran budak comel yang keletah itu.

“Bila nak langsung majlis?” “Kalau tak ada aral, awal bulan depan. Nanti Riaz nak mintak tolong pak ngah jadi wakil belah Riaz.”

Aku pandang wajah dia. Lepas ayah dengan ibu aku meninggal, lelaki inilah yang banyak hulurkan bantuan. Tak pernah lokek dengan tenaga dan wang ringgit kalau aku perlukan bantuan.

“Boleh! Boleh! Pak ngah panggil kau pun sebab benda nilah. Pak ngah cadang nak buat sikit majlis sebelah lelaki. Kita buat dekat rumah pak ngah. Kalau tak nak, buat dekat hotel pun boleh.”

“Riaz ingat nak buat sebelah perempuan saja.” Aku pandang serba salah. Baru beberapa hari lepas aku bincang dengan Anum. Wanita itu juga tak banyak songeh. Faham dengan situasi aku.

“Haish... mana boleh. Buatlah. Jangan risau pasal duit. Semua pak ngah tanggung.”

“Bukan pasal duit pak ngah.”

“Habis itu? Pasal kau tak ada mak ayah? Pak Ngah dah anggap kau macam anak sendiri. Kau pun tahu, masa Rhea dengan Xander dulu, bukannya pak ngah boleh buat semua ni.”

Pelipis aku urut perlahan. Tersepit dengan harapan lelaki itu.

“Mak ngah kau pun dah bersemangat nak buat kenduri. Rasanya dia dah talifon Mak Long Tipah kau bincang pasal ni.”

Aduh! Ini yang aku lemah. Kedua-dua wanita itu memang tak akan faham erti mengalah. Kalau tak setuju, pastinya akan buat ayat pasrah.

“Biar Riaz bincang dengan Anum dulu, pak ngah.”

“Okey. Nanti bagi tahu pak ngah.” Aku angguk dan perlahan-lahan bangun.

“One more thing. Tak payah nak layan sangat langau. Waktu-waktu macam nilah dugaan macam- macam datang.”

Serena! Pastinya lelaki itu maksudkan wanita yang seorang itu.



Dang Anum

“MAJLIS dah dekat.”

“Saya tahu.”

“Baju akad nikah kita tak beli lagi.” Wajah Riaz aku pandang. Entah mengapa, sehari dua ini aku rasa bagaikan ada yang tidak kena dengan lelaki itu.

“Nanti kita beli.”

“Nanti tu bila?” Minggu lepas, soalan sama juga aku tanya. Dan jawapan yang sama juga aku terima.

“Sekejap lagi kita pergi cari.” Nada dia jelas bagaikan terpaksa. Aku tarik nafas panjang. Sejak dari awal lagi aku sudah beritahu dia. Kalau tak sudi, katakan tak sudi.

“Awak menyesal pilih saya?” Pertanyaan aku jelas buatkan dia tercengang. Mungkin tidak menyangka aku akan bertanya soalan seperti itu.

“Awak jangan nak mengarut, Anum.” Nadanya jelas tidak senang mendengar pertanyaan aku.

“Habis itu?”

“Saya sibuk sehari dua ni. Tak sempat nak buat semua benda dalam satu masa.”

Aku angguk. Cuba memahami keadaan dia walau hakikatnya, fikiran aku sudah berfikir perkara bukan- bukan.

“Saya harap awak tak menyesal pilih saya, Riaz. Awak ada masa sampai hari nak lafazkan akad. Saya tak kan marah kalau awak ubah fikiran saat akhir. Tapi saya tak suka kalau lepas kahwin, baru awak nak buat perangai.”

“Awak terlalu jujur Anum.”

“Yes! Saya memang jenis jujur. Dan saya harap orang yang nak jadi imam saya juga, jujur dengan saya.”

“Kalau saya buat perangai lepas kahwin?”

“Saya akan bunuh awak.” Dia terpingga-pingga. Melambak tawa muntah dari bibir aku.

“Ya Allah, Riaz. I‟m just kidding! Saya tak adalah segila itu.”

“Thank god! Awak buatkan saya takut, Anum.” Dia tersenyum. Sama sinarnya seperti hari pertama aku bertemu dengan dia beberapa bulan lalu.



Dang Anum
KAMI ibarat kucing dan anjing yang dipaksa tinggal serumah. Dugaan selepas berkahwin rupanya, lebih daripada apa yang aku jangkakan.

Perbezaan! Sepatah perkataan itu sudah cukup untuk menerangkan apa yang aku dan Riaz alami. Perbezaan selalunya akan membuatkan hidup bewarna- warni. Tetapi perbezaan juga akan buatkan hidup hura- hara.

Antara kedua pilihan itu, nampaknya, huru-hara lebih mendekati kehidupan aku dan Riaz. Semuanya serba tidak kena.

Riaz sukakan makanan pedas, aku pula sebaliknya.

Riaz suka sepahkan benda, sedangkan aku memang tak boleh hidup dalam suasana yang semak.

Riaz tak suka benda berbulu. Aku pula memang pencinta haiwan jenis fluffy. Disebabkan alergik Riaz, Cik Kitty yang sudah bertahun menjadi peneman aku, terpaksa aku tinggalkan pada emak.

Kalau nak senaraikan perbezaan antara aku dan Riaz, rasanya berkajang kertas pun belum tentu cukup.

“Buat apa tu?”

Aku pantas panggung kepala. Senyuman seikhlas yang mungkin aku cuba ukir di bibir.

“Tak buat apalah.” Sofa sebelah aku tepuk. Menyuruh dia duduk di situ.

“Abang nak makan sekarang?”

            “Kejap lagi.” Lengannya aku kaut sebelum kepala aku lentokkan di situ. Cuba mencipta suasana yang menyenangkan antara kami.

“Esok abang kena outstation.”

“Dekat mana?”

“Langkawi.”

Langkawi? Membuak rasa teruja dalam hati. Seumur hidup, sekalipun aku tidak pernah jejakkan kaki ke pulau lagenda itu.

“Anum ikut abang boleh? Lagipun, kita tak pernah lagi pergi honeymoon.” Aku pandang wajah dia. Sengaja aku tayang puppy eyes. Sumpah! Aku rasa nak lempang muka sendiri laju-laju!

“Tak payahlah. Anum kerja kan?”

“Anum boleh mintak cuti.” Lengan dia aku usap lembut. Cuba lagi merayu.

“Abang pergi sebab ada kerja. Takut tak sempat nak layan Anum. Nantilah ye?”

Aku mengeluh kecewa. Sebelum mengangguk pasrah. Bye-bye Mahsuri. Dang Anum belum boleh datang melawat.



Amir Riaz
DON‟T do this! Don‟t do that!

Aku rasa bagaikan budak tadika yang sedang diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan betul. Anum, wanita itu bagaikan „pemadam‟ kesalahan. Semua benda nak ditegur.

Kadang kala celoteh dia menyenangkan hati. Ada kalanya pula, bebelannya hampir membuatkan kesabaran aku terbang melayang.

“Ya Allah, abang. Berapa kali Anum cakap, tuala ni sangkutlah balik lepas guna.”

Aku buat tak dengar. Earphone aku sumbat masuk ke dalam telinga. Aku pandang wajah dia. Entah apalah lagi yang dibebelkan. Mulut itu terkumit-kumit. Tangan pula menunjuk ke sana sini.

Mata aku pejam. Cuba mencipta ketenangan dalam dunia sendiri.

“Bertuah sungguh abang ni. Anum cakap dengan abang, boleh pulak abang pergi tidur.”

Mata aku buka sekecil yang boleh. Aku lihat dia tersenyum. Earphone yang ada di telinga aku, ditarik perlahan. Kemudian dia menarik comforter naik menyelimuti tubuh aku.

Baru sahaja dia mahu melangkah turun dari katil, pantas tubuh dia aku sambar dan sengaja aku peluk erat.

“Abang tak tidur lagi ke?”

“Hurmm...” Kepalanya aku tekan rapat ke dada.

“Anum sayangkan abang.”

“Hurmm.” Aku masih mengumam. Kelu lidah mahu membalas ucapan sayang dia. Anum tak pernah tahu sembunyikan apa yang dia rasa. Marah, suka, benci, ataupun sedih, mudah sahaja dibaca melalui air muka.

“Abang pergi outstation esok berapa hari?”

“Lima hari.”

“Lima? Lamanya...”

“Pejam celik, pejam celik... dah cukup lima hari.” Aku buka mata. Rambut dia yang menutup sebahagian wajah, aku selitkan di celah telinga. Dahinya yang licin tanpa cela, aku kucup lembut.



Amir Riaz

RIMAS!

Rasa menyesal pula aku ambil keputusan bodoh seperti sekarang. Jemari lembut yang singgah dalam genggaman, aku tolak kasar.

Baru sesaat terlepas, tangan itu naik pula memaut lengan. Sumpah aku rasa sebal!

“Serena... please.”

“You dah berubah Riaz.” Nada itu kedengaran begitu sedih, tetapi belum cukup untuk buatkan aku rasa tersentuh.

“I dah ada kehidupan sendiri Serena.”

“You love me, remember?” Aku tergelak kecil mendengar kata-kata penuh yakin yang terluah dari bibir wanita itu.

“Pernah, Serena... pernah.”

            “I sukakan you, Riaz.”

“Kenapa baru sekarang?” Kalaulah aku dengar kata-kata itu sebelum aku jumpa Anum, pastinya aku makhluk paling gembira dalam muka bumi. Tetapi sekarang, kosong. Langsung rasa gembira tak menjengah.

“I ingat you jenis setia. I tak sangka, you baru usaha sikit, then... terus give up.”

Tergelak aku mendengar kata-kata Serena. Setia? Atas alasan apa aku kena setia? Antara kami memang tak pernah wujud sebarang ikatan. Aku sukakan dia, tapi dia tak pernah pun balas rasa suka aku tu. Kenapa sekarang dia perlu meroyan?

“I dah ada isteri.”

“Lelaki boleh kahwin empat.” Terkedu aku mendengar kata-kata Serena. Terus aku terbayang wajah Anum. Beza Serena dengan Anum, bagaikan langit dengan bumi.

“I tak mampu nak beristeri lebih dari seorang.” Sekali lagi tangan dia hinggap pada jemari aku. Agaknya wanita seorang ini memang jenis tak faham bahasa.

“Serena. Listen... I tak suka nak ulang benda yang sama banyak kali.”

Aku telan liur. Belum sempat aku memuntahkan kata, mata aku cekap menangkap kelibat seseorang yang cukup aku kenal. Anum!



Dang Anum

 AGAKNYA, aku memang jenis wanita yang senang orang perbodohkan. Disebabkan itu, hubungan cinta aku dengan lima orang ‘jantan’ hancur lebur tengah jalan disebabkan wanita lain.

Amir Riaz, aku sangkakan lelaki yang sudah dua bulan menjadi imam aku itu berlainan tingkahnya berbanding lelaki lain, rupanya aku silap. Tersalah meletak kepercayaan pada orang yang tidak kena.

“Anum.”

“Anum tak suka kena bohong.” Wajah Riaz aku pandang. Air mata yang mahu menitis, sedaya upaya aku tahan.

“Anum dah salah faham.”

“Salah faham?” Aku tergelak sinis.

“Abang kata, abang kena pergi Langkawi.”

“Abang...”

“Tolong jangan cari alasan. Anum paling benci kalau kena tipu.” Bicara Riaz aku pangkas. Sekarang yang aku harapkan cuma sikap berterus terang. Aku tak akan mampu hadap, kalau sekali lagi Riaz cuba berbohong.

“Abang tak pergi outstation.” Aku pandang wajah Riaz. Menitis air mata bila akal mula mengarang cerita sendiri.

“No... no... bukan yang macam Anum fikir.” Dia kelihatan gelabah. Bahu aku dipaut erat.

“Abang jumpa Serena tadi...I mean...kebetulan.”

“Pegang tangan pun, kebetulan jugak?”

Argh!”

Aku tersentak mendengar bentakkan Riaz. Dia raut rambut ke belakang.

“Anum kena dengar apa abang nak kata.”

 “Kalau abang rasa nak lepaskan Anum, cakap aje. Anum tak suka nak paksa orang hidup dengan Anum kalau hati tak sudi.”

“Abang sayangkan Anum.”

“Kalau tak ikhlas, tolong jangan bagi harapan palsu macam itu.”

“Abang memang sayangkan Anum. Tapi kita ni berbeza sangat.”

Aku pandang Riaz. Perbezaan antara kami memang terlalu banyak. Aku sudah cuba buat yang terbaik bagi menjayakan hubungan kami. Tapi kalau aku seorang sahaja yang berusaha, apa gunanya.

“Dua puluh sembilan tahun Anum biasa hidup sendiri. Anum tak risau, kalau sekali lagi Anum kena lalui benda yang sama.”

Mungkin ada yang akan kata aku pasrah tak kena tempat. Hakikatnya bukan begitu. Kalaulah ‘wanita itu’ berdiri di hadapan aku meminta Riaz untuk diri dia, pastinya sudah aku ganyang habis-habisan.

Tetapi yang ada di hadapan aku sekarang, adalah Riaz. Aku tidak mahu Riaz tersepit. Kalau aku mahu, tetapi dia tidak sudi, pastinya tak akan ke mana hubungan kami.



Amir Riaz

TANGAN Anum aku genggam erat. Jelas dia kelihatan terluka. Air mata yang mengalir di atas pipinya, membuatkan perasaan bersalah menyerbu di hati.

Aku tarik tangan Anum menuju ke sofa. Hari ini, aku sedar sesuatu. Yang aku memang tak salah memilih dia sebagai isteri.

Anum tak mengamuk di hadapan orang. Bahkan dia juga langsung tak menghampiri aku dan Serena tadi. Dia hanya memandang dari jauh, sebelum berlalu. Sesuatu yang aku yakin, tak akan dilakukan oleh wanita normal lain.

“I need a break.” Aku mengeluh. Pastinya apa yang bakal aku katakan nanti, semakin melukakan hati Anum.

“Abang ambil cuti. Tapi abang tak pergi Langkawi. Abang sewa hotel dekat sini jugak.”

Rasanya inilah kesilapan terbesar dan terbodoh yang pernah aku buat. Niat aku hanya untuk melupakan sejenak ketidaksefahaman antara aku dan Anum. Tetapi lain pula yang berlaku.

“Abang perlukan waktu untuk diri sendiri.” Aku lihat Anum mengangguk.

“Anum tak senangkan hati abang?” Pertanyaan Anum membuatkan aku mengetap bibir. Cuba mencari ayat yang tidak akan membuatkan dia terluka.

“Bukan macam tu. Lepas kita kahwin, banyak sangat benda yang tak kena. Abang jadi letih.”

“Anum puncanya?”

“No!” Cepat aku menafikan.

Bila dalam keadaan terdesak, aku mula sedar sesuatu. Anum sentiasa berterus-terang. Apa yang dia suka dan dia tidak suka, selalunya akan diberitahu secara berhadapan. Sedangkan aku?

Pendam, dan terus pendam. Natijahnya sekarang, semuanya mungkin bakal berantakan.

“Kalau ada benda yang Anum buat tak kena dekat mata abang, bagi tahu. Anum bukannya gila sampai tak boleh nak terima kritikan.”

Aku mengangguk. Air matanya aku kesat sebelum aku bawa dia ke dalam pelukan.

“Silap abang sebab tak boleh jadi sejujur Anum.”

“Hidup berkeluarga kena ada give and take. Anum tak nak nanti abang ingat Anum jenis queen control. Kalau tak puas hati, bagi tahu Anum. Hati abang, Anum tak boleh nak baca.”

Dang Anum, dia terlalu istimewa.

 “Abang dengan Serena memang tak ada apa-apa. Abang tak sangka terserempak dengan dia tadi.” Sekali lagi aku cuba meyakinkan Anum.

“Believe me. Abang memang dah tak ada perasaan pada dia.”

“Anum harap abang jujur.” Aku eratkan pelukan. Berharap Anum faham sendiri.



Dang Anum

“KALAU nak bawa diri sekalipun, tak boleh ke abang pilih tempat jauh sikit? Sarawak ke? Tak pun Sabah.”

“Tak cukup jauh ke ni?”

“Sepuluh minit dari rumah kita? Jauh sangat.” Riaz sudah tergelak mendengar sindiran aku.

“Alang-alang abang dah sewa, kita honeymoon saja dekat sini.”

Riaz sudah tayang wajah nakal. Aku geleng perlahan. Tak kuasa. Buang duit sahaja. Baik aku balik tidur dekat rumah. Rasanya tilam bilik kami lagi empuk dari tilam hotel.

“Dah siap kemas ke belum?” Remote aku capai. Cuba mencari rancangan yang kena dengan jiwa.

“Sikit lagi. Kalau Anum tolong abang, cepatlah siapnya.”

“Siapa yang bawa diri sebenarnya ni? Anum ke abang?” Ah! Tak kuasa aku nak tolong. Sendiri cari pasal, sendirilah kemas.

“Berkira.”

“Haruslah.” Bantal aku capai dan aku peluk erat.

“Ya Allah.” Aku beristighfar panjang. Terpaku mata pada skrin tv. Bantal aku tolak ke tepi. Tubuh aku tegakkan.

“Apasal?” “Kawasan pantai timur kena banjir.”

“Teruk?” Riaz bertanya. Sesekali dia menjengah ke arah skrin.

“Sangat. Ada yang sampai tenggelam rumah.” Apa yang terpampang, membuatkan aku disapa rasa hiba. Gambaran anak kecil dan golongan warga emas dalam keadaan kesejukkan, yang tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran, cukup untuk membuatkan air mata aku mengalir.

“Nanti kita tolong setakat yang kita mampu.” Kata-kata Riaz membuatkan aku tersedar. Kepala aku angguk perlahan. Terus aku terbayang beberapa page di Facebook yang rajin membantu orang yang memerlukan. Mungkin ada yang boleh aku hubungi nanti.

Dang Anum

ROTI - √

Biskut - √

Maggi - √

Beras- √

Ikan bilis - √

Telur - √

Sardin - √

Ubat-ubatan - √

Keperluan wanita dan kanak-kanak - √

Pakaian - √

Okey! Done!

“Ada lagi tak barang?” Wajah Farah aku pandang. Wanita itu tersenyum sambil menggeleng.

“Thanks Anum sudi tolong kami.”

“Tak ada hal.” Aku tersenyum. Pertolongan yang tak sebesar mana. Tetapi aku harap mampu berikan senyuman pada yang memerlukan.

Bila Riaz bagitahu yang Rhea tengah mencari sukarelawan, terus sahaja aku bersetuju untuk membantu. Apatah lagi aku tengah bercuti sekarang.

Perlahan-lahan aku bangun. Cuba menghilangkan lenguh pada pinggang kerana terlalu lama berada dalam keadaan duduk.

“Dah lama dah Farah buat team ni?” Wajah pensyarah dalam bidang psikologi itu aku pandang.

“Tak adalah lama sangat. Bila Rhea kita buat?”

“Bulan sebelas tahun lepas.”

Aku mengangguk.

Let’s Smile Together. Stiker yang dipelekat pada kotak, menarik perhatian aku. Nama yang diberikan pada team itu bagaikan kena dengan apa yang diusahakan.

“Tak nak jadi ahli?”

“Boleh ke?” Aku bertanya teruja. Wajah Farah aku pandang.

“Mestilah boleh. Lagi ramai lagi bagus. Nanti tanyalah kawan-kawan tempat kerja, kot ada yang nak join. Sekarang ni yang ada, majoritinya di kalangan student.”

Aku pandang senyuman Farah. Jelas nampak riak penuh bangga bila dia memandang ke arah beberapa orang pelajar yang tidak lokek menghulurkan bantuan. Pastinya sebagai pendidik, wanita itu berpuas hati dengan tingkah anak didiknya.



Amir Riaz

WAJAH berkerut Anum, aku pandang. Sesekali dia berdesis perlahan.

“Apasal? Anum tak sihat ke?” Tubuh dia aku hampiri. Berlabuh jemari aku pada dahinya. Panas!

“Anum demam ni. Kita pergi klinik ye?” Aku cuba memujuk. Dahinya aku picit perlahan.

“Tak apa. Nanti baiklah ni. Anum nak rehat kejap.”

“Anak abang meragam ke hari ni?” Perut Anum yang sedikit berubah bentuk, aku sentuh lembut.

“Anak abang baik aje dekat dalam tu. Mak dia ni saja yang meragam.”

Aku tergelak kecil mendengar kata Anum. Hai... ada saja yang nak dijawabnya.

“Nak makan apa-apa tak?”

“Nak makan abang.”

“Haish! Main-main pulak dia.” Aku tergelak lagi. Sakit-sakit pun masih jugak nak buat lawak sengal.

“Anum nak makan nasi goreng and please... please... jangan letak cili sekilo.” Rasanya penangan nasi goreng Riaz minggu lepas, masih terasa di lidah. Pedasnya hanya Allah sahaja yang tahu.

“Tak pedas bukannya sedap.”

“Abang cakap nak cuba belajar suka apa yang Anum suka.”

“Anum mengungkit.”

“Bukan mengungkit. Anum cuba mengenang kembali janji abang.”

Aku angkat tangan. Beralah. Rasanya semakin hari, tingkah Anum sudah boleh aku terima sedikit demi sedikit. Dan pengajaran terbesar yang aku dapat, jangan sesekali elakkan diri dari masalah. Kerana tak mustahil akan ada masalah besar lagi yang menanti di sebalik masalah yang baru timbul. Dah sudah! Apa aku merepek ni?

“Cinta manusia macam ABC.”

Aku pandang Anum. Tahu mana hala tuju yang mahu dia pergi.

“Air batu campur. Sedap kalau boleh dapat waktu-waktu macam ni.” Aku tersengih.

“Abang makin hari makin teruk loyar buruk.” Anum menjeling. Aku buat tak peduli. Bahunya aku paut erat.

“Bukan macam chipsmore ke?” Aku ungkit kembali kata-kata Anum. Terbayang lagi mimik muka dia semasa beria-ia bagi tahu yang cinta manusia sama macam chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada.

“Sekali sekala, yes, macam chipsmore. Tapi bila dah lama, Anum baru sedar. Cinta manusia ni macam ABC. Ada macam-macam warna dalam satu mangkuk. Tak sedap pun kalau makan asing-asing. Tapi pelik. Bila dah campur sekali, rasa dia... perfect!”

“So... Anum nak bagitahu abanglah ni, yang cinta kita macam ABC?”

“Abang rasa?”

“Abang lagi suka pilih ABC dari Chipsmore...”

“Sebab?”

“Anum nak kalau cinta abang dekat Anum, sekejap ada, sekejap tak ada?”

“Eh, mestilah tak nak!”

“Ha... tahu pun.” Hidung dia yang kecil, aku tarik perlahan.

“Abang menyesal tak pilih Anum?”

“Buat apa nak menyesal? Kalau menyesal pun bukan boleh undur balik.” Aku masih seronok mengusik.

“Abang ni!” Bahu aku ditampar lembut.
|
“Ke Anum yang menyesal sebab abang ni bukan Laksamana Megat Seri Rama?”

“Sekali lagi abang mengarut, abang tidur luar!”

Aku tergelak kecil. Tangan Anum aku tarik dan aku letakkan di atas dada.

“Anum.”

 “Apa lagi?”

“Abang tak pernah menyesal pilih Anum. Tolong jaga rusuk kiri abang yang Anum pinjam tu, sampai habis hayat Anum.”

Dia pandang aku.

            “Mestilah Anum jaga. Jangan mimpi abang nak bagi orang lain guna.”

Aku tergelak. Yup! Anum milik aku, memang istimewa!

Tamat




Surat Cinta Untuk Di sana : Selamat membaca dan mengomen. Kopi pasta cuba elakkan okay…


7 ulasan:

  1. Sis.....nk novel isteri milik aku!!!!😫😫😫

    BalasPadam
  2. Sis nk beli kt mane nvel rhea n xander.. Plis2 bls.. Byk kali dh repeat bca bab dlm blog je.

    BalasPadam
  3. Saya pon nak beli kalau ada novel rhea dan xanderrr. .Lamaaa sgt dahh nak baca..

    BalasPadam
  4. akak cempaka...tolonglh update..semua tgh tertanya tanya ni termasuklh saya .novel isteri milik aku dh keluar pasaran ke?tolong ah jawab akak...kitaorg dh addicted sgt ni.

    BalasPadam

Baca sUdah, benCi, gEraM, sUka pUn sUdah. CeRajiNkaN TanGan, MeNgOmeN siKit :)