Hel!O mY DarLing!

Khamis, 3 Januari 2019

CERPEN - Kasih Tak Sempurna





NUR ADIBA - Dahi menyentuh sejadah. Air mata dibiarkan berterusan mengalir. Sakit itu senjata sebuah kekuatan. Tapi untuk secebis kekuatan dia perlu meminta. Perlu merayu pada yang betul-betul berkuasa. Dan dia tahu. Allah itu sentiasa ada...


IZMI merengus kasar. Wajah Irham dipandang dengan rasa sakit hati yang bagaikan membengkak dalam dada. Tunggu masa sahaja untuk meletus.

“Kau dulu pun bukan suci sangat!” Meluncur laju ayat itu keluar dari bibir Izmi. Siap sekali dengan senyuman mengejek.

“Sekurangnya tak adalah aku buat kerja hina macam tu!” Irham tak mahu kalah. Dia tak faham kenapa Izmi tak habis-habis nak pertahankan Adiba. Rasa macam dia ditikam dari belakang. Apa guna kawan kalau tak mampu nak senangkan hati?

“Dia dah bertaubat pun. Sebelum kau kahwin dengan dia lagi kau dah tahu. Yang sekarang ni kau meracau dah kenapa?” Sumpah Izmi tak faham apa yang ada dalam fikiran, Irham.  

Sebelum ni ada juga dia terdengar kritikan Irham pada isteri sendiri. Tapi tak adalah seteruk sekarang. Makin hari makin menjadi-jadi pulak dia rasakan lelaki itu.

Kalau diberi kertas rasanya berkajang salah Adiba akan dicanang oleh Irham. Dulu dia dengar juga keluh-kesah Irham. Dia sangka itu salah satu sisi negatif Adiba yang sedang berusaha mencari makna sebuah kehidupan.

Tapi semakin hari, dia sedar sendiri. Semua itu hanya helah akal lelaki itu untuk menyelak kepincangan Adiba. Mungkin Irham terlupa, lelaki itu juga jauh dari makna kata sempurna.

“Family aku dah tahu.” Irham raup wajah sendiri.

“So?” Izmi tanya tak beriak.

“So?” Irham ulang pertanyaan ringkas Izmi. Gaya lelaki itu bercakap macam semua itu adalah perkara santai. Hanya perlu meniup untuk hilangkan di sebalik angin.  

 “Family kau kata apa?” Izmi tetap bertanya walaupun dia sudah boleh mengagak apa yang mungkin dikatakan oleh keluarga ‘terbilang’ itu.

“Dia orang suruh aku ceraikan Adiba.” Hati kuat berbolak-balik. Sampaikan dia sendiri tidak pasti sama ada rasa sayang untuk Adiba masih bersisa atau tidak. Apatah lagi tekanan dari ahli keluarga dia semakin menekan setiap hari.

Puan Zaharah tak habis-habis suruh dia lepaskan Adiba. Siap pakej sekali dengan tangisan. Takut keturunan tercela dan bersepah lagi rungutan yang dia tak mampu nak hadam. Bertambah serabut bila pendapat uminya itu mendapat sokongan penuh ahli keluarga yang lain.

“Kau chek la dalam seluar kau tu. Kau jantan ke betina? Kalau sampai isteri sendiri kau tak mampu nak pertahan, baik kau pergi Thailand sana, buang apa yang patut.” Semakin pedih kata yang Izmi lontar. Memang dia langsung tak teringin untuk menjaga hati Irham. Rasanya bicara lemah-lembut yang selama ini dia bagi, langsung tak berbekas dalam kepala otak Irham.

“Setan!”

“Dah tu... kau macam bapok aje aku tengok. Tak kan bini sendiri kena tindas kau nak buat tak tahu aje? Apa fungsi kau sebagai suami?”

Izmi kenal siapa Adiba. Wanita itu terlalu dekat dalam kehidupan dia. Bahkan dia yang kenalkan Irham kepada wanita itu, yang sekarang menjadi perkara paling dia kesalkan seumur hidup.

Kalaulah dia mampu meramal masa depan... hujung kuku Adiba pun dia jauhkan dari pandangan memuja Irham.

“Kau ni nak cari pasal dengan aku ke apa?” Irham semakin mendidih. Izmi bagaikan sengaja mahu menabur bara dekat hati dia yang memang tengah berapi.

“Aku cuma nak sedarkan kau, bro. Adiba tu tanggungjawab kau. Amanah yang kau sendiri nak galas. Aku boleh faham kalau kau kena tipu ke apa pasal kisah silam dia tu. Tapi masalahnya sekarang, kau sendiri tahu dia dulu macam mana. Jadi aku tak nampak kenapa kau nak persoal habis kisah yang dah lepas tu.”

Kalau ikutkan rasa marah, pasti sudah menjunam penumbuk dia naik ke wajah Irham. Biar lelaki itu sedar apa salah yang telah dibuat. Tapi guna kekerasan fizikal bukanlah cara dia.

Program kemasyarakatan yang dia buat, banyak membentuk siapa diri dia hari ini. Dan dia tak nak musnahkan semua tu untuk orang yang tak layak.

“Aku ingat aku boleh terima...” Irham bagaikan mengumam sendiri.

“Jadi kau nak cakap yang selama ni kau tak ikhlas pun lah terima Adiba?” Sedaya mungkin riak wajah terperanjatnya cuba disembunyikan. Sudah lebih dua tahun usia perkahwinan antara Irham dan Adiba berlangsung.

Dan yang menyedihkan, tak pernah walaupun sekali dia nampak riak sedih pada wajah Adiba setiap kali mereka bertemu. Hati jatuh hiba...pastinya penat melakonkan adegan bahagia, bila hati bersarang dengan derita.

“Aku tak cakap macam tu.”

“Bro... kau pusing lah ayat kau macam mana pun, maksud dia tetap sama. Sekarang ni, aku harap sangat kau boleh tunai semua janji kau dekat aku, masa kau merayu suruh aku kenalkan kau dengan Adiba dulu.”

Izmi bangun. Dompet dibuka. Sekeping wang kertas lima puluh ringgit ditarik dan diletak atas meja. ditepuk bahu Irham sebelum berlalu dengan wajah merah menahan amarah yang sedikit sahaja lagi mahu meledak.



PANDANGAN matanya meredup. Berharap ada kata pembelaan yang bakal muncul dari bibir Irham. Tetapi suami kesayangannya hanya diam, beku, dan bisu. Umpama merelakan setiap kata kasar yang berterusan menjadi santapan halwa telinga dia.

Sudahnya Adiba hanya mampu menunduk. Ada getaran hebat yang berdetum setiap kali mendengar ibu metuanya membuka mulut. Kata pedih bagaikan lahar yang menyambar setiap ruang tubuhnya.

Air mata sedaya mungkin ditahan. Dia tak boleh lemah!

“Aku jijik tengok muka kau! Tak sangka selama ni anak aku kutip pelacur buat bini!” Puan Zaharah bercekak pinggang. Nafasnya naik turun. Patutlah selama ni, secebis rasa suka pun tidak pernah menyinggah dalam hatinya untuk Adiba. Rupanya wanita itu memang wanita rendahan. Tak ada maruah!

Mendengar kisah asal-usul Adiba dari mulut anak saudaranya minggu lepas, hampir buatkan dia terkena serangan jantung. Tak sangka di sebalik wajah suci dan bertudung litup, rupanya Adiba menyimpan cerita busuk!

“Diba mintak maaf umi...” Tangannya cuba mengapai jemari Puan Zaharah. Tapi hanya tepisan kasar yang mejadi habuan.

“Kalau Irham sayangkan umi, Irham tinggalkan betina ni. Kalau orang tahu, mana umi nak letak muka umi ni, Irham?” Kali ini Puan Zaharah ‘menyerang’ pulak Irham. Berharap yang anaknya itu akan mendengar kata.

“Umi... janganlah nak buat kecoh. Pandailah Irham urus rumahtangga Irham macam mana nanti.” Irham hembus nafas kuat. Kepalanya rasa berserabut. Tatapan sedih Adiba dan juga suara asakan Puan Zaharah bagaikan menghentam setiap ruang fikiran dia.

“Sebab terlebih pandailah yang Irham kahwin dengan perempuan bukan-bukan!” Puan Zaharah sudah mula menempik.

Ingatkan selepas Irham bercerai dengan Fatini dulu, dapatlah dia merasa menantu yang betul-betul menyenangkan hati. Rupanya tidak!

Bahkan kali ini lebih bawa bencana berbanding Fatini! Sungguh pun Adiba jenis pasif, patuh menurut tak seperti Fatini yang selalu membangkang apa sahaja katanya, tapi dia rela lagi berhadapan dengan Fatini dari mengadap wajah acah suci Adiba! Munafik!

“Umi boleh diam tak?” Kali ini Irham pulak yang membentak. Laju dia melangkah mendapatkan kunci kereta yang tergantung di key holder.

“Muhammad Irham!”

Suara teriakkan Puan Zahara dibuat pekak. Berdetum pintu rumah ditutup kemudiannya. Tak peduli apa yang mahu terjadi sekalipun antara Puan Zaharah dan Adiba.



ADIBA menghimpit. Tangan naik memeluk erat pinggang Irham yang sedang berbaring membelakangi dia.

“Panas lah!”

Nada Irham yang membentak, tidak memberi kesan kepada Adiba. Dia sudah biasa. Bahkan lebih dari sekadar bentakkan juga sudah dia terima. Dia hanya mampu meringis bila pautan tangannya di pinggang lelaki itu dirungkai kasar.

“Diba mintak maaf, abang.” Perlahan kata itu terluah. Terkulum dengan tangisan yang mahu memecah.

“Abang penat...”

Kata-kata Irham sudah cukup untuk fahamkan Adiba yang dia hanya perlu kunci mulut dengan rapat dan kejap.

“Diba tak boleh nak undur masa silam, abang...” Walaupun ada larangan dari pihak Irham, Adiba tetap bersuara. Berharap ada pengertian dari pihak suami kesayangannya itu.

Kisah silam dia, bukanlah kekotoran pada kertas yang mampu dia padam. Bertambah usia, atau berubah musim di dunia, kisah itu tetap tidak akan berubah. Ianya akan kekal sebagai sejarah. Tidak akan beranjak walau seinci.

Dulu Irham juga yang menyebar haruman. Memberi harapan akan ada bahagia untuk dia kalau berada di sisi lelaki itu. Tetapi kenapa setiap detik, yang dihirup hanyalah duri-duri yang menusuk? Kenapa wangian itu tak seharum seperti yang digambarkan?

Perlahan... luruh air jernih di hujung kelopak mata Adiba. Kenapa payah sangat dia nak beroleh bahagia? Tak layak ke syurga dunia untuk pendosa macam dia?

“Diba faham kalau abang nak lepaskan, Diba.” Dengar dan tidak sahaja suara yang terluah. Dia harap kisah dia dan Irham kekalnya sampai syurga. Tapi siapa dia yang mampu menghalang kehendak takdir?

Tak guna dia memaksa Irham untuk terus bersama kalau hati lelaki itu jauh untuk digapai. Dia akan semakin terluka. Begitu juga dengan Irham.

Mungkin di setiap lakaran kehidupan dia yang suram, ada lagi takdir Allah yang indah untuk dia miliki.

Irham pegang dada sendiri. Ada denyut kesakitan yang menyapa. Dan entah kenapa, dia rasa kisah dia dan Adiba bakal temui titik penamatnya.



GAMBAR Irham yang segak berbaju melayu di hari pernikahan mereka dibelai penuh kasih. Tiada paluan kompang merancakkan suasana. Juga tiada makanan mewah yang terhidang untuk santapan tetamu. Yang ada, hanya dia dan Irham. Tapi sudah cukup untuk menjadikan itu kenangan terindah yang pernah menyapa dalam kehidupan dia.

Adiba tersenyum.

Musim cinta dia dan Irham sangat indah. Untuk orang yang tidak pernah rasai erti bahagia, munculnya Irham bagaikan membawa sekali dengan dunia baru. Mengantikan dunia penuh noda yang selama ini dia bertapak.

‘I want to spend the rest of my life with you.’

Itu kata-kata yang mengubah seluruh paksi kehidupan dia. Terasa urusan dia untuk mencari sang pencipta dimudahkan dengan kehadiran Irham.

Huluran lelaki itu disambut. Permulaan sebuah lakaran baru yang sangat menyenangkan. Status ‘wanita murah dilorongan gelap’ ditinggalkan dengan perasaan berbunga yang tak mampu dia ucap.

Sayangnya, bunga ibarat haruman. Mustahil akan kekal selamanya mewangi. Setelah sekian waktu, kesegarannya akan memudar. Berseri dan ceria pada awalnya, tidak bermaksud akan kekal selamanya begitu.

Pandangan penuh cinta Irham mula berganti dengan pandangan yang paling dia benci. Pandangan lelaki-lelaki berwajah suci dengan dosa terikat bergunung di badan.

Irham ibarat pelanggan yang pernah merasai belaiannya. Menuturkan bicara mengoda, tapi terlupa menghapuskan pandangan jijik mencela dirinya di ruang mata.

Sedangkan apa beza mereka dengan dia?

Harapan yang disangka ada, sudahnya ranap tersadai ke bumi. Dan sekali lagi dia perlu menjadi pejuang semata-mata mahu mengejar apa yang didamba.

Tapi kudrat tak pernah wujud di tangan dia. Kalau dulu hanya Irham sahaja yang perlu ditawan. Sekarang semua orang bagaikan menjadi penentang. Menjatuhkan hukuman tanpa sempat untuk dia membela diri.  

Restu ibu yang dituntut memang tidak pernah mereka dapat. Dan rahsia hidup dia  yang selama ini dikepal erat antara dia dan Irham, sudahnya terburai juga. Menambahkan lagi kebencian ahli keluarga lelaki itu kepada dia.

Salah siapa? Salah takdir yang mempermainkan dia atau salah hatinya yang mungkin terlebih memberi cinta pada yang bukan tempatnya?

Dan sudahnya, Adiba pasrah sendiri. Syurga itu mahal! Dia yakin pasti ada percaturan yang lebih indah sudah Allah aturkan untuk dia.



Senyuman dipaksa untuk terukir pada bibir bila mana pandangan mata redupnya bersabung dengan lelaki yang berdiri kaku di muka pintu. Menghantar pandangan kosong dan tak beriak.

Helaian terakhir pakaiannya digenggam erat. Urat di tangan mula menimbul, kesan dari cengkaman kuat. Entah kenapa dia berharap akan ada kata halangan yang bakal muncul dari bibir Irham.

‘Jangan pergi.’

‘Don’t.’

Atau apa sahaja kata bicara yang mampu lelaki itu ungkapkan. Tetapi setiap detik yang berlalu, hanya ada deruan nafasnya sahaja yang kedengaran membelah pendengaran. Sudahnya Adiba pasrah. Bagasi ditutup. Dipaksa tubuh untuk bangun.

“Diba mintak maaf kalau selama ni abang tak senang dengan kehadiran, Diba.” Tangan Irham dikait. Dia menunduk. Sebuah kucupan mendarat pada jemari kasar Irham.

Air mata yang disangka tidak akan tumpah walau setitis, sudahnya banjir membasahi kelopak mata. Dan dia tahu pasti ada yang berderai menyapa genggaman lelaki itu.

Setelah sekian lama, dia rasa nikmatnya bersalaman dengan lelaki bergelar suami. Selama ini setiap huluran tangannya hanya disambut oleh angin. Baru sahaja menyentuh hujung jari, Irham sudah kalut meleraikan tautan tangannya.

Jijik! Itu saja biasan pada setiap pandangan Irham untuknya. Dan dia pasrah. Itu mungkin salah satu hukuman Allah untuk khilaf yang dia telah lakukan. Peringatan untuk dia selalu menunduk dengan kuasa sang pencipta yang bahagia mutlak itu bukan ada di atas tangan dia.

“Diba harap abang halalkan makan minum Diba selama ni...” Tak mampu untuk berterusan menahan perasaan, kakinya diheret paksa sebelum berhenti di hadapan pintu bilik anak-anak kesayangannya.

Buah hati Irham yang sudah ‘dipeluk’ bagaikan anak sendiri. Tak pernah walau sedetik pun, kasih sayang dia terbelah hanya kerana tiada titisan darah yang serupa. Mereka itu buah hatinya. Pemberi kekuatan setiap kali dia rasa mahu tersungkur ke bumi.

Bibir diketap kuat. Hati berbelah bahagi. Takut kekuatan yang masih bersisa, pecah berderai kalau wajah-wajah polos itu menyapa pandangan matanya.

Tangan naik menyentuh permukaan pintu. Semakin galak mutiara jernih tersimbah pada wajah. Adiba tahu setakat mana kemampuan yang dia ada. Kali ini dia berpaling. Berterusan melangkah tanpa menoleh lagi ke belakang.



TUBUH Adiba dikaut masuk ke dalam pelukan. Ditepuk perlahan bahu itu bila tangisan memecah masuk ke pendengarannya.

“Adiba...” Fahani memanggil perlahan. Dipaksa Adiba untuk bertentang mata dengan dia.

“Kenapa ni? Cakap dekat akak.” Fahani bertanya. Risau bila si adik tiba-tiba sahaja muncul di hadapan rumah dia dengan tangisan.

“Diba sakit akak... dalam ni...” Tangan dibawa menumbuk dada sendiri. Tubuhnya dibiar melolot jatuh pada permukaan lantai bila kaki bagaikan sudah tidak mampu menampung berat pada badannya.

“Diba rasa macam nak mati...” Tangisan kesedihan semakin murah keluar dari bibir tipisnya.

“Allahuakbar! Kenapa ni Diba? Jangan bagi akak takut.”

“Diba ni memang muka tak tahu malu ke akak?” Wajah Fahani dipandang. Menanti apa sahaja jawapan yang bakal muncul dari Fahani.

Jawapan pedih tidak akan meninggalkan kudis. Kerana luka yang ada sekarang sudah terlalu besar lompongnya. Dan kalau pun jawapan Fahani menyenangkan, kenyataannya langsung tak beri walau seinci erti.

“Diba... kita masuk dulu dalam rumah. Nanti orang tengok.” Ditarik paksa tubuh Adiba supaya kembali berdiri. Dan bila melihat tubuh itu bergementaran walau hanya untuk menggerakkan satu langkah kaki, Fahani faham sendiri.

Dugaan Adiba sudah berada di hujung jurang. Hanya perlu sedikit kuisan angin sebelum tubuh itu melayang jatuh pada curam yang paling dalam.



TEH panas yang disediakan Fahani, dihirup perlahan. Kedua tapak tangannya dibawa menekup permukaan cawan. Berharap kepanasan yang masih bersisa pada cawan kaca itu mampu memberikan sedikit kehangatan.

“Diba nak kongsi dengan akak tak?” Fahani bertanya lembut. Paksaan bukanlah cara yang dia suka. Setiap orang pastinya mempunyai titik tergelap yang mahu diselindung.

Paha ditepuk. Memberi isyarat untuk Adiba berbaring. Bila kepala itu berlabuh, terus tangannya naik mengusap perlahan. Sambil itu tak putus doa dibaca supaya Allah bagi ketenangan untuk Adiba.

“Hina sangat ke Diba ni kak? Kenapa Diba tak pernah rasa bahagia?” Tangisan Adiba kembali berlagu.

“Irham buat apa dekat Diba?” Fahani pusing cerita. Pertanyaan Adiba dibiarkan tergantung tak berjawab.

“Diba perempuan kotor...”

Perlahan kata itu mengumam keluar dari bibir Adiba. Lebih kepada ucapan keramat untuk diri sendiri berbanding untuk diberitahu kepada dia. Tiga perkataan itu cukup untuk buatkan Fahani faham keseluruhan cerita.

“Irham yang kata?” Fahani bertanya.

“Irham cakap benda yang betul. Diba ni memang perempuan jijik.” Ayat menghukum itu keluar lancar dari bibir Adiba.

Pahanya terasa hangat. Pasti ada tumpahan air mata yang tersadai di situ. Fahani merengus. Sakit hati bila membayangkan wajah Irham. Adiba bagaikan sudah terjatuh pada pesona cercaan yang diucap oleh bibir kotor Irham. Hatinya mula membara sendiri.

“Apa yang jadi dulu, khilaf yang sampai mati Diba tak boleh undur. Tapi Diba dah bertaubatkan? Sebaik orang berdosa, bila kita kembali bersujud dan mohon ampun pada Allah untuk setiap salah kita, Diba.”

Kisah silam Adiba bagaikan sebuah layar hitam yang langsung tak diberi cahaya. Sentiasa berlegar pada ruang kelam yang sama. Sampailah Allah mula menyuluh sedikit demi sedikit pancaran untuk Adiba.

Dan setiap suluhan itu disambut dengan langkah kaki yang mengejar laju. Adiba bagaikan manusia yang kelaparan. Menyambar setiap apa sahaja peluang yang diberikan.  

“Satu yang akak nak Diba ingat. Irham bukan tuhan nak menghukum dosa silam Diba.”

Fahani tahu setiap inci jalan cerita hidup wanita itu. Keazaman Adiba dalam mencari makna hidup sentiasa menjadi inspirasi kepada dia. Membuahkan rasa takjub yang sampai sekarang masih bersarang kejap dalam diri dia.

Dan siapa Irham untuk mengatakan Adiba perempuan hina?  Setinggi apa martabat seorang Irham?



FAHANI berdiri tegak di hadapan Irham. Tak gentar dan kelihatan tegas. Sekilas dia melirik ke sebelah lelaki itu. Puan Zaharah nampak gembira dengan senyuman kemenangan terukir megah pada bibir. Fahani ketawa kecil. Jelas kedengaran mengejek.

“Nak cari permata mudah, Irham. Tapi yang betul-betul berkualiti tu payah. Akak sedih sebab yg berkualiti tu Irham dah berjaya pegang. Sayangnya Irham tak pandai nak jaga.” Ikatan antara Irham dengan Adiba dah pun terurai. Dan peliknya, kesakitan Adiba dia turut terasa sama.

“Tak payah nak ajar Irham, Hani. Dia tahu apa yang dia buat.” Puan Zaharah merengus. Rasa nak sangat jemarinya naik menunjal kepala Fahani. Biar tahu rasa.

“Umi...” Fahani memanggil kecewa.

“Hani tak faham kenapa umi sanggup buat Diba macam tu. Apa salah dia dekat umi?” Kalau diikutkan rasa hati, pasti sudah melengking suara dia naik membentak. Tapi yang berada di hadapan dia sekarang, wanita yang melahirkan dia.

Seburuk mana sekalipun wanita itu, ‘Ibu selamanya akan kekal menjadi ibu.’ Tak akan berubah status itu walaupun hatinya memberontak mahu.

“Umi lagi tak faham Hani, macam mana Hani tergamak sokong Irham usung perempuan tu masuk dalam rumah kita? Kenapa Hani tak cakap pasal Adiba dekat umi masa Irham nak kahwin dengan dia dulu? Kenapa?” Suara Puan Zaharah semakin meninggi. Berpasang mata yang memerhati tidak diambil peduli. Rasa sakit di hati perlu dilepaskan.

Bila Fahani beria-ia mempertahankan menantu setannya itu, dia sedar sendiri yang anak sulungnya itu sudah lama tahu tentang rahsia hidup Adiba.

“Sebab dia perempuan yang dah bertaubat...” Katanya dituju pada Puan Zaharah. Tapi pandangan mata beradu pandang dengan Irham yang mengelisah.

“Dia nak kejar syurga, Irham. Tak teruk pun Irham nak bimbing dia. Tapi yelah... pahala Irham dah banyak kan? Dah boleh pilih dah mana syurga nak masuk nanti. Ye tak?” Bahu si adik ditepuk perlahan.

Kali ini dia kalih pandang. Merenung penuh sayang wajah Puan Zahirah. Dia tahu wanita itu baik. Tapi ada tikanya wanita itu terlalu meletakkan diri pada tempat mulia.

“Nak selak salah orang tu seronok umi... tapi kita kena ingat satu benda... salah kita Allah tolong tutup, tapi sampai bila kita tak tahu.” Sumpah! Rasa sedih dia dengan tindakan Irham dan Puan Zaharah tebalnya menggunung. Dia yakin, sampai satu saat nanti pasti akan ada rasa kesal yang mengintai. Lambat atau cepat dia tidak pasti.

“Jangan nak biadap dengan umi, Hani!” Pedih! Terasa bagaikan Fahani sedang menuduh yang dosanya sekarang ada menimbun! Salah ke kalau dia sebagai ibu mahukan yang terbaik untuk Irham?

“Hani tak ada niat pun nak biadap dengan umi. Tapi umi lupa ke, masa umi sakit dulu siapa yang jaga umi? Sedikit pun jadilah, umi. Ingat balik apa yang Adiba dah tabur untuk keluarga kita.” Fahani sebak sendiri.

“Tu dah memang tugas dia. Dah dia sendiri yang pilih nak kahwin dengan Irham.” Puan Zaharah tidak mahu kalah.

“Salah tu umi... jaga umi, tu tugas kita orang adik-beradik. Apa yang Adiba buat tu ihsan aje umi. Kalau tak mampu kita nak kenang budi orang, ucap terima kasih pun dah cukup.” Fahani mendekat. Tubuh Puan Zaharah di peluk erat. Walaupun ketegangan terasa, tetap juga pautannya pada tubuh itu tidak dilepaskan.

“Hani mintak maaf kalau umi terasa.” Tubuh itu dilepaskan. Wajah Irham dipandang.

“Irham dah buat keputusan. Akak harap apa yang Irham buat sekarang ni, pilihan tepat.” Baru sahaja dia mahu membuka langkah, kakinya pegun sendiri.

“Adiba pernah cakap dekat akak dulu... ‘kali pertama adalah pilihan. Kali kedua akan jadi kebodohan.’ Jadi dia tak kan ulang yang pertama semata-mata untuk kutip kebodohan.”  Fahani tersenyum. Melihat air muka Irham yang berubah, Fahani yakin Irham faham apa yang dia mahu sampaikan.



TUBUHNYA dilabuh bersebelahan dengan Adiba. Sekilas dia melirik. Cuba membaca gerak-geri wanita itu.

“Diba okey ke?” Ketenangan yang Adiba tunjuk, tak mampu untuk menyenangkan hati Fahani. Sekurangnya dia perlu mendengar sendiri jawapan dari bibir wanita itu.

“Inshaallah... Diba okey.” Semalam tempoh edah sudah tamat. Menjadikan dia wanita yang kembali bebas tanpa ikatan. Bohonglah kalau langsung tidak bersisa rasa sedih. Tapi sampai bila dia mahu biarkan diri terus terjerut dengan mainan perasaan? Mahu atau tidak, dia kena menyusun langkah baru.

“KOS nak cari pekerja. Diba nak tak kerja dengan kami?” KOS singkatan untuk Keep On Smiling. Organisasi bebas yang memperjuangkan hak wanita dan anak jalanan. Organisasi yang dia, Izmi dan beberapa rakan lain tubuhkan sejak bertahun dulu lagi.

Disebabkan KOS jugalah dia kenal dengan Adiba. Setiap kali mereka muncul, kelibat Adiba pasti ada memandang dari jauh dengan riak wajah yang sukar untuk ditafsirkan.

Izmi lah yang membuka langkah dahulu. Mendekati Adiba. Bersahabat dan seterusnya mula mencungkil sedikit demi sedikit kisah hidup wanita itu.

Adiba, anak wanita lorong gelap yang dibesarkan dengan lingkaran yang keras. Dan apa yang membuatkan hati dia sakit, pekerjaan haram itu diturunkan pulak kepada Adiba. Satu tradisi yang membuatkan dia mual. Siapa sangka, di dunia memang wujud wanita celaka yang sanggup memperdagangkan anak sendiri!

Apa yang lagi menyedihkan, tiada satu pun cerita indah yang menjadi santapan mereka. Semuanya cerita yang menyesakkan dada.

Dan bermula dari situ persahabatan antara mereka dan Adiba terjalin. Adiba juga bagaikan menjadi tali yang menghubungan mereka dengan golongan yang senasib dengan wanita itu.

Ada yang berjaya diselamatkan. Dan ada juga yang berdegil mahu meneruskan kerjaya yang sudah dianggap sebati dalam diri. Mereka sendiri hanya mampu memujuk, selebihnya tetap terpulang pada tuan empunya badan.

“Kalau akak bagi peluang... mestilah Diba nak.” Mata Adiba berbinar girang. Rasa teruja tidak mampu dia sembunyikan.  

Fahani hanya ketawa. Senang melihat reaksi Adiba.


ADIBA tersenyum. Wajah-wajah comel yang memandang ke arah dia dengan tatapan bahagia, membuahkan rasa indah yang selama ini dia kejar.  

Sudah lebih tiga tahun perpisahan berlaku antara dia dengan Irham. Dan dalam waktu ruang perpisahan tersebut, bermacam perkara yang terjadi dalam kehidupan dia.

Antaranya, kemunculan kembali Irham dengan mengusung ungkapan sayang. Tapi dia bukanlah Adiba dulu yang mudah terbeli dengan pujukan manis. Pengalaman sudah terlalu banyak mengajar dia.

Tapi tidak pulak dia anggap penyesalan Irham itu satu kemenangan. Walau apa sekalipun yang terjadi, Irham tetap pernah hadir membawa bahagia dalam hidup dia. Walaupun bahagia itu wujudnya terlalu sekejap.

Dulu dia sendiri yang terleka. Cinta manusia difikir mampu membawa dia mencari sebahagian cebisan diri yang hilang. Tapi kesudahannya dia tersungkur lagi untuk sekian kali.

Kun fayakun!

Itu yang kemudiannya dia pegang. Mengingatkan diri yang segala kekuasaan hanya terletak pada keagungan Allah. Dan ternyata kasih-sayang Allah tak pernah terpadam untuk dia. Satu demi satu warna baru terukir dalam kehidupan dia. Mengantikan warna yang dulunya suram dan kusam.

TERATAK KASIH

Wujudnya untuk menjaga dan mendidik anak-anak lorong gelap seperti dia. Memperbaiki fikiran usang. Penghambaan wanita bukanlah untuk diwarisi. Cukuplah hanya dia yang dididik dengan fahaman songsang.

Bermula dari seorang dan sekarang sudah mencecah tiga puluh lima orang. Anak yang mereka didik dengan penuh kasih sayang untuk mengenal permulaan sebuah dunia, dan penamat abadi kehidupan akhirat.

Mungkin kasih yang dihulur tidaklah sempurna. Tapi sedikit tidak Adiba yakin, ketidak-sempurnaan itulah yang membuatkan sesuatu cerita itu menjadi indah.

Tamat


Surat Cinta untuk di sana – Maaf kalau cerita saya tak seindah mana... maaf kalau tak sama macam yang diharapkan...dah lama saya tak menulis. Nak pulak guna bahasa yang agak berat...  Apa pun doakan saya tahun ni mampu keluarkan walaupun hanya sebuah karya... hehe

Kalau rajin, tinggalkan kan komen. Nak kritik pun boleh... jangan risau...saya tak makan orang... ahaks!



8 ulasan:

  1. Bestt...sy suka watak izmi..ingatkan ending adiba dgn Izmi. :(

    BalasPadam
  2. padan muke irham.. ending 02..ade x..haha

    BalasPadam
  3. Sedih tp happy ending. Teruskan berkarya ��

    BalasPadam
  4. Sedih, betapa sakitnya jika masa silam kita juga orang pandang. Sedangkan, itu semua sudah menjadi sejarah hidup orang itu. Moga Allah menutup aib-aib kita, di dunia & di akhirat.

    BalasPadam
  5. Sedihnya kalau masa silam yg di simpan d ungkit balik

    BalasPadam

Baca sUdah, benCi, gEraM, sUka pUn sUdah. CeRajiNkaN TanGan, MeNgOmeN siKit :)