PENYEMBUH derita ialah
kekuatan
Penghilang kesakitan
ialah tangisan
Penghapus kedukaan
ialah pengertian
Pengubat kesedihan
ialah pasangan
- Tetaplah jadi rusuk
kiriku, walaupun ada yang mengatakan jangan - Ahmad Rafiq
“EH, dah ada isi belum?”
“Bila nak ada anak?”
Suara Mak Lang Leha bertingkah kuat dengan suara Mak Teh Kiah.
Masing-masing memandang wajah dia dengan pertanyaan yang bertalu muntah dari
bibir.
Hayati tersenyum. Kebas dirasa bibir bila mengukir senyuman paksa.
Ya Allah… kenapa wanita sendiri tidak pernah mahu faham hati seorang wanita?
Tiada wanita di dalam dunia yang selamanya hanya ingin hidup berdua
bersama pasangan. Dia juga mahu ‘cahaya penyeri’ di dalam hidup. Insan bergelar
anak yang mampu mendoakan kesejahteraan dia suatu hari nanti.
“Tak ada rezeki Yati lagi mak lang, mak teh.” Dia pandang kedua wajah
wanita separuh baya itu. Setiap kali ternampak wajah dia, tiada benda lain yang
ditanya. Anak! Anak! Anak!
Kalaulah mampu dibutakan mata, dipekakkan telinga dan dikeraskan
hati dari melayan pertanyaan-pertanyaan itu, pastinya sudah lama dia lakukan. Cuma
rasa hormat yang kejap bertapak di dalam diri sahaja yang menahan dia dari
melakukan perkara biadap.
“Rezeki tu kita kena cari. Tak usaha ke?”
“Segala macam usaha dah Yati dengan Rafiq buat mak lang. Tak apa…
Yati dengan Rafiq boleh sambung lagi bulan madu kami.” Hayati gelak kecil. Cuba
menutup rasa pedih.
“Kau jangan Yati… karang bulan madu ke mana, madu lain pulak yang
kau dapat.” Mak Teh Kiah herot mulut.
Hayati tersentak. Doa ‘madu’ itu dikeluarkan lagi. Penat bahankan
dia pasal anak, pastinya akan dipakej kan sekali dengan doa ‘payung emas.’
Mungkin dia bukan jenis melawan, tetapi tidak bermakna dia pasrah.
Dia sedar dia belum mampu berikan Rafiq zuriat, tapi dia bukanlah terlalu
berhati mulia sampaikan sanggup melelong kasih sayang suami pada orang lain.
Kalau nak dicerita pasal usaha, berapa banyak kampung yang dia tidak
jelajah? Pantang didengar ada bidan yang mampu menolong dia mendapatkan zuriat,
diseretnya tangan si suami. Tak kira sejauh atau sedalam mana sekalipun jarak
yang perlu dirempuh, tak pernah dia ambil kisah.
Tidak cukup cara kampung, cara moden juga dia buru. Berapa banyak
hospital yang tidak dia menapak? Semuanya demi satu tujuan. ANAK!
Dia yakin, cepat atau lambat, ada atau tidak… Allah itu lebih tahu
apa yang terbaik untuk dia dan Rafiq.
Kalaulah sudah ditulis untuk mereka hidup berdua sahaja, dia akan terima. Dia yakin,
Rafiq juga begitu.
“Yati, tolong mak hantar air bagi dekat abah. Bising dah tu, air
kopi dia tak sampai-sampai.” Mak Piah tepuk perlahan bahu menantunya. Diangguk
sedikit kepala bila mata itu berkaca memandang wajah dia.
Lengan baju yang basah terkena air, disinsing sedikit naik ke
lengan. Dilabuhkan tubuh di sebelah adik-adiknya.
“Kak Piah tak teringin ke nak ada cucu? Lama sangat dah Rafiq kawin
dengan budak Yati tu. Tak jugak ada-ada isi. Katanya kerja doktor, tak kan tak
reti nak cari ubat.” Mak Lang Leha bertanya kuat. Sengaja mahu membakar hati
isteri anak saudaranya.
Hayati diam. Pegang kuat dulang sebelum berlalu. Cuba memujuk hati
jangan terbuai dengan kata-kata ibu saudara suaminya itu. Bukan tak pernah dia
terima kata sinis, lebih dari itu juga pernah membelah masuk ke dalam
telingannya.
“Cucu aku dah ada berbelas orang dah Leha oi. Nak teringin apanya
lagi?” Mak Piah tergeleng. Tak faham sungguh dia. Dia yang mertua tak kalut,
mak saudara pulak yang lebih sudu pada kuah. Menyondol sahaja kerjanya.
Dah itu diungkit pulak kerja menantunya. Apa doktor tu bukan manusia
ke? Tak boleh nak ada kekurangan? Tak boleh nak ada silap? Tak boleh nak ada
dosa? Hai… dangkal sungguh permikiran.
“Itu Leha tahulah Kak Piah…
yang Leha tanya ni anak si Rafiq. Tak kan Kak Piah tak teringin langsung?”
“Kalau niat kau nak suruh aku desak si Rafiq terima Iklima anak
saudara suami kau tu, baik kau lupakan aje Leha.” Tak ada tapis-tapis, terus
Mak Piah ‘kecaikan’ harapan adiknya. Intro yang satu itu dia tahu sangat.
Mula-mula buat tanya pasal cucu. Kemudian mulalah pasang jaring.
Cuba sauk hati dia dengan tawaran yang kononya lumayan. Huh!
Dia bukannya kelam hati sangat. Kun fayakun! Itu yang dia pegang. Dia
siapa nak menidak rezeki tuhan? Hayati itu menantu kesayangannya. Menantu yang
sentiasa letakkan perasaan dia melebihi perasaan sendiri.
Kalaulah disebabkan satu kekurangan, dia sanggup lupakan sepuluh
kelebihan, memanglah layak dia jadi makhluk yang kufur pada nikmat yang Allah
beri. Tak mustahil kalau dia buang permata, dia terkutip pula kaca yang boleh
membuatkan hati tertusuk dan bernanah.
Baik disimpan sahaja permata yang ada dari dia kalut mengejar intan
yang belum tentu asli dan tulen isi di dalamnya.
“Iklima tu baik budaknya kak.”
“Balik nanti kau bagitahu Rahmat menantu kau tu. Kalau dia teringin
nak nikah lain, boleh dia ambik budak Iklima tu. Kau pun suka sangat dengan
budak tu kan?” Gelas berisi teh o panas ditarik dan dihirup perlahan. Sambil
itu mata tak lepas memandang wajah adiknya.
“Isy apa cakap macam tu kak? Mintak simpang anak saya nak bermadu.
Mahunya saya parangkan si Rahmat tu.” Terjegil sedikit mata Mak Lang Leha. Panas
hati dia mendengar kata-kata kakaknya tadi.
“Tahu pulak kau tak suka anak kena madu. Habis tu kau ingat mak si
Yati tu nak biar sahaja anak aku Rafiq tu kahwin lain?” Puas hatinya bila mulut
murai adik-adik kesayangannya itu terkunci terus.
Mulut-mulut ‘puaka’ seperti itulah yang banyak jadi peruntuh rumah
tangga orang. Niat yang kononnya baik disulam dengan lafas keji. Entah di manalah
naluri belas kasihan adik-adiknya itu tercampak.
Hal rumah tangga orang kalut nak diselak, padahal rumahtangga
sendiri sudah senget nak terpeluk bumi.
RAFIQ tersenyum. Bergerak perlahan sebelum disauk pinggang ramping isteri
kesayangannya ke dalam pelukan.
“Ya Allah, abang… terkejut Yati.” Lengan suaminya ditampar perlahan.
Rasa nak gugur jantung bila tangan yang terasa dingin itu menempel kuat di
pinggangnya.
“Menung apa tu?” dagu disangkutkan pada bahu isterinya. Sebelum
keluar dari bilik, isterinya termenung di tepi tingkap. Masuk kembali ke dalam
bilik, keadaan isterinya masih sama.
Hayati mengeluh. Lambat-lambat digeleng perlahan kepalanya.
“Pasal petang tadi?” Kening dijongket.
Hayati pantas toleh ke sisi. Cuba mencari wajah suaminya.
“Abang dengar?” Argh! Air mata tiba-tiba sahaja galak mahu membasahi
kolam matanya. Dia jadi sensetif tiba-tiba.
Rafiq diam. Diusap perlahan rambut Hayati. Kemudian kucupan
hangatnya turut singgah di situ.
“Jangan layan kata-kata mak saudara abang tu. Yati bukannya tak tahu
mulut dia orang macam mana.” Niat hati dia tadi, mahu bertegur sapa. Tapi
terbantut bila terdengar pertanyaan Mak Lang Leha.
Rasa sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Apatah lagi bila wajah
mendung isterinya menyapa pandangan mata.
Kalau ikutkan rasa marah, pasti sudah disemburnya habis-habisan. Cuma
yang menahan ialah ketenangan isterinya semasa membalas kata-kata ibu
saudaranya. Hayati sentiasa mahu mendahulukan perasaan orang lain dari perasaan
sendiri.
Itu yang membuatkan dia sentiasa berdoa mintak ditahankan diri dari
memikirkan yang tidak-tidak. Lukakan hati Hayati, itu perkara terakhir yang dia
mahu lakukan.
“Dah nak dekat lima tahun Yati kenal dia orang, abang.” Hayati gelak
kecil. Lima tahun, perangainya masih juga sama. Langsung tak berubah.
“Lain kali, Yati jangan bagi muka. Dah naik lemak dah abang tengok
mak lang dengan mak teh tu.”
“Hai… abang nak ajar isteri abang jadi kurang ajar ke ni?” Pinggang
suaminya dicucuk-cucuk. Tergelak dia bila lelaki itu melarikan sedikit tubuh.
“Bukan kurang ajar, tapi tak salah kalau kita tegur yang mana kita
tak berkenan. Yati ikut sangat rentak dia orang, itu yang sampai dah tak reti
nak jaga air muka orang.” Tubuh Hayati dipusing mengadap ke arah dia.
Diusap lembut wajah yang tak pernah kering dengan senyuman. Farhat Hayati…
Farhat itu maksudnya kegembiraan. Hayati pula ialah jiwa dan hidup. Lima
tahun Hayati jadi milik dia, tak pernah lekang wanita itu berikan dia rasa
bahagia dan rasa teruja menjadi seorang suami.
Bohonglah kalau dia kata tak pernah wujud perselisihan faham. Dah
namanya pun manusia, mana ada yang sempurna. Sedikit tidak, pasti ada juga
sedikit celanya.
Tapi sungguh, dia tak dapat bayangkan 'hidup' yang bagaimana perlu
dia tempuh kalau ‘jiwanya’ itu hilang dari sisi. Hidup tanpa jiwa ibarat bernafas
tanpa udara. Tidak sempurna kitarannya kerana tiada gabungan untuk saling
melengkapi.
Mungkin Hayati hanya ratu kedua selepas ibunya, tapi tidak bermakna
ratu kedua itu kurang nilainya berbanding yang pertama.
“Abang…” Tangan Rafiq yang masih galak membelai pipinya ditangkap
dan digenggam erat.
“Hurm…” Tangan dihalang, kali ini bibir pula yang singgah pada wajah
mulus isterinya.
“Kita ambil anak angkat nak?”
“Yati tahu kan jawapan abang?” Rafiq hembus nafas berat. Sejak
bertahun dahulu, tak habis-habis Hayati dengan cerita anak angkat.
Dia bukannya sengaja mahu menolak, tetapi dia ada alasan sendiri. Banyak
perkara yang perlu difikir. Hal aurat, nasab dan keturunan semua itu bukannya
hal yang remeh. Kalau pun tiada rezeki dia dan Hayati untuk menimang cahaya
mata, dia yakin… dia masih mampu untuk bahagia.
Surat Cinta Untuk di sana - Part 1 Okey tak? Lama
x main ayat rasa macam kaku sikit…. Sebulan dua ni terbiasa dengan POv 1… bila
buat POv3 rasa keras kejung jari n otak. Huhu… harapnya siap lah nanti cerpen
ni… korang hembus kuat2 angin rajin dekat sy…mana tau berkesan nanti… ahaks!