BULAN
ramadhan, bulan yang yang berkat,
Bulan rahmat dan bulan utama,
Pahala digandakan, doa diterima,
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa…
Suara yang
mendayu di corong radio membuatkan dia rasa sebak. Rintik hujan yang ramah
membelai bumi bagaikan turut sama merasa bahagia meraikan kedatangan satu
ramadhan.
Ramadhan. Bulan
mustajab. Bulan untuk dia lebih berserah diri kepada Allah. Pahala yang
berganda itu diharap mampu menjadi bekalannya saat meninggal nanti.
Tiga perkara
yang kekal selepas mati. Sedekah jariah yang diberi semasa hidup. Ilmu
bermanfaat yang diajarkan kepada orang semasa hidupnya, dan juga doa anak yang
soleh dan solehah.
Dalam semua,
hanya dua yang mampu dia kejar. Doa anak soleh... dia tidak pasti mampu dia
dapatkan atau tidak.
'Allah lebih
tahu dan Allah juga lebih mengerti aturan untuk kita.' Itu yang Rafiq katakan
kepada dia, dan itu jugalah yang dia pegang.
“Doktor Yati…”
Suara yang
tiba-tiba sahaja menyapa, buatkan dia sedikit tersentak. Wajah Hajar, pembantu
di Pusat Pakar Sakit Puan Dan Perbidanan Lestari itu dipandang.
“Doktor berbuka
sorang ke? Meh lah join kita orang.”
Hajar menunjuk ke arah meja yang tidak jauh dari wanita itu.
Hayati larik
senyum sebelum mengeleng. Sempat diangkat tangan pada sekumpulan rakan
sekerjanya yang yang berada di meja yang ditunjukkan oleh Hajar.
“Saya tunggu
suami saya. Dia ajak berbuka sekali tadi.” Lembut di tolak perlawaan wanita
separuh baya itu.
“Oh… kalau
macam itu tak apalah.” Hajar menunduk sedikit sebelum berlalu.
Jam yang
membalut tangan dijengah. sudah hampir pukul tujuh. Handset dikeluarkan dari
handbag. Belum pun sempat dia menekan nombor talifon suaminya, lelaki itu sudah
berdiri tegak di hadapannya.
“Sorry sayang… lama dah ke tunggu? Abang
habis meeting lambat tadi dengan supplier.” Kerusi bersebelahan dengan
Hayati ditarik. Rambutnya yang basah dilurut. Sambil itu tak lepas wajah
isterinya dipandang.
“Tak apa. Yati
pun baru saja keluar. Yang abang basah habis ni kenapa? Tak bawa payung ke?” Baju
suaminya yang sedikit basah, pantas dilurut-lurut dengan jemarinya.
“Ada dekat boot. Abang malas nak buka. Kalau ambil
pun basahnya serupa itu lah jugak.”
“Haih… ada
pulak macam itu. Lain kali letak payung dalam kereta. Kang kena lagi hujan,
demam pulak nanti.”
“Apa ada hal.
Isteri abangkan doktor.” Rafiq gelak kecil bila Hayati mula menjegilkan mata.
“Abang…”
“Iya… abang
tahu. Balik nanti mandi. Makan siap-siap panadol. Tidur.” Belum sempat
isterinya berkata, dia sudah potong dahulu. Sudah tahu benar ayat apa yang mahu
keluar dari bibir Hayati.
Kalau dia
terkena hujan, memang ayat itu sahajalah yang isteri kesayangannya itu ulang. Sampai
ayat itu sudah kejap terpeta di dalam fikiran.
“Abang ni…”
Hayati tergelak. Lawak bila suaminya itu cuba meniru gayanya.
“Yati dah order
belum?” hilang tawa si isteri dia mula menyoal bila meja di hadapannya masih
lagi kosong.
“Dah… kejap
lagi sampailah tu… tsk… ingatkan kita
boleh berbuka dekat rumah.” Bibir dicebikkan. Semalam beria dia mengarang menu
untuk berbuka. Sudahnya dia terpaksa juga bekerja bila doktor Ui yang
sepatutnya bertugas, ada hal yang tak dapat dielakkan.
“Berbuka dekat
luar pun tak apa. Kalau dekat rumah, rasanya Yati kena berbuka sorang. Ni pun
nasib abang meeting area sini aje. Kalau nak balik rumah, memang tak
sempat.” Canggih dah aturan tuhan untuk mereka. Cuma kena sedar saja kebaikan
yang terselit disetiap garis kejadian yang jadi.
Baru sahaja
Hayati mahu menjawab, ada hidangan yang diletakkan di hadapan mereka. Dibalas
senyuman pelayan yang dia yakin masih lagi muda belia.
Hilang sahaja
gadis itu dari pandangan, wajah suaminya kembali dipandang.
"Abang.
Tadi ibu call Yati..." Dia gigit
bibir. Kenang wanita seorang itu, buatkan dia sebak sendiri.
"Ibu cakap
apa?"
"Ibu ajak
berbuka dekat rumah esok." Perlahan sahaja kata yang terluah. Bukannya dia
tak sudi, bukan jugak dia tak ingin, tapi mengenangkan apa kata yang mungkin
dia terima, kerinduannya pada wanita itu pastinya akan kuncup dengan sendiri.
Dia boleh
terima kata berbisa siapa sahaja kerana orang tidak kenal siapa dia, tetapi
ibu? wanita itu wanita yang paling dekat dengan dirinya. Wanita yang lebih
kenal dia berbanding dengan orang lain.
Tapi kenapa
wanita yang diharap memahami dirinya itu, bertingkah bagaikan wanita yang tidak
berperasaan?
Sentiasa
menyulam kata dengan bicara setanding pedang. Tajam dan bersinar sehingga
silaunya mampu menjadikan hatinya retak menjadi keping-keping halus. Sakit
terhiris… tapi lukanya tak ternampak dek
mata.
Hati bernanah,
tetapi tak pernah dia jumpa dengan penawar. Dicari setiap pelosok dunia pun
mustahil dia akan ketemu kerana ubatnya hanya ada satu sahaja. Pengertian!
Pengertian itu
tidak perlu dibeli, tetapi kenapa benda percuma itu menjadi terlalu mahal
nilainya untuk difahami oleh orang sekeliling?
"Esok Yati
tak kerja kan?" Melihat pandangan mata si isteri, dia sudah boleh menembak
ada rasa lelah terpahat di situ. Pastinya 'jemputan' ibu mertuanya itu disulami
dengan pertanyaan wajib.
"Hurm..."
"Esok kita
pergi."
"Abang...
Yati..." Dia cuba mencari alasan. Mereka kata yang mampu elakkan dia dari
berjumpa dengan wanita itu.
Bukan kerinduan
tidak mengamit, cuma dia takut hatinya yang dirasakan semakin rapuh, tidak
mampu lagi menahan beban. Apa guna bertemu kalau rasa gembiranya bakal dibunuh?
Dan apa juga ertinya bertandang, tetapi terpaksa pulang dengan mengusung sekali
dengan sengketa?
"Tak baik
kita sengaja nak elak jumpa ibu, Yati..." Rafiq cuba memujuk. Kalau
diikutkan, dia juga sudah tawar hati mahu bersua muka dengan ibu mertuanya itu,
tetapi dia ingat satu perkara... syurga isterinya pernah ada ditelapak kaki
wanita itu.
Dia tidak mahu
kerana rasa terkilan, dia hapuskan terus syurga itu dari pandangan si isteri. Runtuhnya
hubungan suami isteri, cukup hanya dengan sekali lafas. Tapi ikatan dengan
wanita bergelar ibu, sampai ke syurga tetap akan diusung. Lari ke pelusuk dunia
mana sekali pun, ikatan itu tak akan relai dan berkecai.
"Abang pun
tahu kan ibu macam mana?" Mak lang dan mak teh suaminya lancang berkata
tapi bicara keduanya mana mampu melawan bisa kata yang muntah dari bibir ibunya
sendiri.
Dia harap
pengertian wanita itu lebih dari sesiapa sahaja, malangnya ibu sendiri
bertingkah bagaikan tidak faham langsung apa naluri hatinya.
Anak!
Kenapa 'anak'
selalu dijadikan modal untuk menghukum? Apa salah diakah kalau keinginan yang
satu itu gagal dia penuhi? Berdosa sangat ke kalau perutnya tidak pernah
membuahkan isi?
Dia mahu jadi
ibu!
Dia mahu punya
anak!
Dia juga mahu
hadiahkan keturunan buat ibunya. Tapi kuasa bukan ada ditangan dia. Dia hanya
mampu berdoa dan berusaha. Selebihnya dia hanya mampu berserah.
"Habis tu
Yati nak terus elak diri dari dia?"
Hayati
mengeluh. Dipejam mata sebelum menggeleng perlahan.
Suasana sepi
seketika membaluti mereka, sebelum lembut panggilan lelaki itu menyeru namanya.
"Farhat
Hayati..."
Wajah Rafiq
dipandang. Jarang lelaki itu memanggilnya dengan panggilan penuh, melainkan ada
sesuatu perkara penting yang mahu disampaikan. Terkebil matanya bila sebuah
kotak dan kad bersaiz kecil ditolak ke arahnya.
"Happy
anniversary Farhat Hayati Umar."
Hayati terdiam.
Kembali matanya memandang wajah Rafiq. Bibir diketap...
"Yati
lupa..." Ya Allah, macam mana dia
boleh langsung tidak ingat hari dia dan Rafiq disatukan? Lima tahun dahulu,
tarikh yang sama menjadi saksi ikatan antara mereka termenterai.
"Tak apa.
Selalunya Yati yang ingatkan abang. Tahun ni biar abang pulak yang ingatkan
Yati." Rafiq gelak kecil melihat wajah bersalah isterinya. Jemari itu
dikait dan ditepuk perlahan.
Hayati
tersenyum. Sebak yang rasa mendesak di dada sedaya upaya ditahan. Kad berwarna
biru yang diserahkan oleh Rafiq tadi dicapai dan dibuka.
Bait kata yang
dilakar membuatkan air mata yang tadinya ditahan, menitis juga. Kalaulah
sekarang mereka tidak berada di khalayak ramai, pasti sudah disembam wajah ke
dada lelaki itu.
Rusuk kiri yang
dia pinjam itu terlalu tinggi ertinya. Berharga dan mahal nilainya. Tak perlu
diminta, pasti akan dia jaga dengan sebaik mungkin.
Tetaplah jadi rusuk kiriku, walaupun ada
yang mengatakan jangan…
SCUD - Sorry dah lama x berupdate.... sy kan spesis suka mengua...hehe... kot ada salah ejaan mohon ampun bu...malas nak mengedit... (boleh macam tu? ahaks!)