Erica
Kim
Nafas
aku tarik perlahan. Terasa segar bila udara pagi merombos memasuki segenap ruang di dalam tubuh
ku. Bunyi desiran angin yang bagaikan bersenandung, sesekali menyapa
pendengaran. Tapak tangan aku tadah bila titisan dingin mula menyapa wajah.
“Berdoa kepada Allah dan meminta kebaikan kepada-Nya saat
turun hujan. Kerana saat itu termasuk waktu yang mustajab...”
Aku larik senyum setelah mendengar
kata-kata itu. Tidak perlu menoleh kerana bayangnya tidak akan mampu aku lihat.
Tetapi suara itu, lembutnya bagaikan sehelai sutera yang dihamparkan pada tapak
tangan. Suara yang mampu memberikan aku ketenangan walau dengan hanya sepatah bicara.
“Zara
Adawiyah.” Aku tersenyum bila pendengaran aku cekap mendengar tawanya yang
halus. Zara Adawiyah…Bermaksud puteri penawar. Dan sesungguhnya, dia bagaikan sang
penawar yang tuhan turunkan kepada aku untuk menghilangkan setiap galau yang sering
menyapa hati.
“Tak
nak masuk ke dalam?”
“Tak
apa. Awakkan ada untuk payungkan saya.”
“Mana
awak tahu?”
Jelas
nadanya bagaikan pelik setelah mendengar kata-kata aku. Tangan aku bawa
menyentuh tubuhnya yang berada disisi aku. Setelah itu, aku tepuk perlahan.
“Tuhan
tak benarkan saya melihat melalui mata, tetapi tuhan bagi saya mendengar
melalui telinga. Dan tuhan bagi saya tangan untuk menyentuh. Awak nak saya rasa
bersalah Adawiyah?” Aku sentuh hidung bila rasa perit mula menyapa. Sedaya
upaya aku tahan titisan air mata yang bagaikan mula berlumba mahu menyimbah
pipi.
“Tak
apa. Saya kan kuat.”
“Saya
tahu.” Aku gagau perlahan. Cuba memegang tangannya yang masih utuh memegang payung.
Menahan tubuh aku dari disirami hujan. Sedangkan dia pula sudah lecun disimbah
mutiara jernih itu
“Jom kita masuk. Nanti awak demam.”
Aku ketap bibir. Masih juga aku yang
dia utamakan. Andai kata aku masih bernafas lama, entahkan mampu aku perolehi
sahabat seperti dia. Yang pentingkan orang lain melebihi diri sendiri…Yang tidak
pernah menjadikan agama sebagai penghalang perhubungan. Yang sentiasa
memberikan aku keyakinan, bahawa ada sinar yang akan menanti.
Zara Adawiyah
Wajah putih bersih itu aku pandang
tanpa berkelip. Dia antara ciptaan terindah yang pernah Allah hadirkan
dihadapan aku. Alis matanya lentik. Hidungnya tidak terlalu mancung. Sempurna
dihiasi bibir merah basah yang sentiasa murah dengan senyuman. Tetapi aku tahu,
dalam sempurna ciptaan tuhan, akan juga diuji kita dengan sebarang bentuk
kekurangan. Dia cantik…Sayangnya, kecantikan itu tidak mampu ditatap oleh tuan
empunya diri.
“Awak cantik Erika.” Aku memuji
ikhlas. Tidak guna aku menafi andai kata kebenaran terserlah di hadapan mata. Tidak
salah aku memuji, asalkan tidak lah juga sampai aku memuja.
“Untuk orang buta macam saya, apa
yang cantiknya Adawiyah?” Dia mengeluh kecil. Tangannya pula dibawa menyentuh
mata sendiri.
Aku tarik nafas panjang setelah
mendengar kata-kata itu. Silap memujikan aku? Tidak…Aku cuma mengatakan apa
yang betul. Dia memang gadis yang rupawan.
“Melihat bukan hanya melalui mata. Macam
awak kata, Allah masih berikan awak telinga untuk mendengar. Allah juga berikan
tangan untuk awak menyentuh.”
“Tapi saya tak boleh tatap wajah
orang yang saya sayang Adawiyah.” Dia tersenyum hambar.
Aku sentuh dan genggam tangannya
erat. Kemudian aku bawa tangan itu menyentuh matanya sendiri. Bukan hanya
dengan kata-kata kita boleh berbicara. Gerak tubuh juga mampu menyampaikan naluri
rasa, asalkan kena dengan gaya.
“Pandangan mata ini…telah Allah
tutup. Tapi Allah tak pernah tutup pandang kedua ini, untuk awak terus melihat…
Melihat bukan hanya melalui mata Erika, tapi awak boleh melihat juga melalui
hati.” Aku bawa pula tangannya menyentuh dada. Kali ini aku lihat bibirnya
bergetar. Dia bagaikan cuba mengatakan sesuatu. Tetapi kemudian, yang lahir
hanyalah senyuman manis yang kembali menghiasi wajahnya.
“Awak tahu Adawiyah…. Awak bagaikan
pari-pari untuk saya.”
Tergelak kecil aku mendengar
kata-kata itu. Pari-pari? Itu hadirnya melalui kisah dongeng. Pari-pari yang
bisa melakukan apa sahaja untuk memenuhi permintaan anak kecil. Dan aku
bukanlah sang pari-pari itu. Aku hanya manusia biasa yang entah bila Allah kembali
menarikku untuk mengadapnya.
Entahkan mampu sampai esok untukku
bernafas. Mungkin juga saatnya bakal tiba sebentar nanti… Tiada siapa boleh melawan
takdir yang telah Allah atur dengan sususan yang begitu indah. Ada manis untuk
kita senyum, ada pahit untuk kita beringat, ada juga masam untuk kita kenang.
“Adawiyah…” Lanjut suara itu
memanggil perlahan namaku. Bagaikan ada sebuah pengharapan yang dipinta
disebalik nada itu.
“Ada apa Erika?”
“Boleh saya sentuh wajah awak? Saya nak
rakam wajah awak, kemas dalam hati saya.”
Naif kata-kata itu membuatkan aku tersenyum
kecil. Sekali lagi tangannya aku sentuh. Kali ini aku daratkan tangan itu pada
kedua belah pipiku.
“Apa ni?” Erika sudah berkerut dahi.
“Maaf Erika. Saya terlupa.” Aku
tarik perlahan Niqab yang sekian lama menjadi penghalang si mata nakal yang
ingin menjamah wajahku. Aku bukanlah wanita cantik. Hanya wanita biasa yang
Allah anugerahkan kesempurnaan anggota sebagai seorang manusia.
“Ada apa dekat muka awak?”
“Niqab…Purdah.” Aku lihat Erika terangguk.
Gayanya bagaikan tahu sahaja apa yang sedang aku katakan.
“Awak tak panas?” Berkerut sedikit
dahi itu ketika melontar pertanyaan.
“Saya dah biasa Erika. Mula-mula
dulu mungkin panas. Tapi sekarang Allah bagi saya kedinginan.” Pernah aku
dikatakan berlebihan ketika pertama kali menyarung Niqab diwajah. Tetapi
kenyataannya hanya aku dan Dia sahaja yang mengetahui.
“Saya pernah pakai tudung.”
Terkelu seketika aku mendengar
kata-kata Erika. Entah mengapa, sedikit bisikan jahat mula menghasut hati untuk
menidakkan apa yang dikata. Seketika aku beristifar….
“Serius?” Aku bertanya meminta
kepastian. Tidak mahu lagi meneka yang tidak-tidak.
“Yup. Dulu sebelum saya kemalangan,
saya pernah jadi model sambilan. Ada sekali saya jadi model untuk tudung. Tapi
sekali saja sebab saya tak tahan panas.” Tenang kata-kata itu meluncur dari
bibir Erika.
Aku pula hanya mampu tersenyum. Itulah
juga yang pernah aku rasai dulu. Aku pernah rasai bertapa panasnya lilitan itu
menjerut leher. Aku juga pernah merasai bertapa rimasnya saat pakaian menutup
aurat aku sarungkan ke tubuh.
Tetapi siapa sangka, pakaian yang
dulu aku katakan rimas, sudah menjadi pakaian yang membuatkan aku selesa untuk
bergerak. Pakaian yang membuatkan aku rasa dihormati sebagai seorang wanita.
“Adawiyah. Terima kasih sebab sudi
jadi kawan saya. Dah lebih dua bulan kan kita kenal?”
Kata-kata Erika mematikan lamunanku.
Perlahan aku mengiyakan kata-katanya. Bilik yang aku huni, sentiasa bersilih
ganti pesakit. Tiada yang kekal. Hanya dua bulan dahulu aku mula mendapat Erika
sebagai teman sebilik. Teman yang pada mulanya dingin. Sepatah ditanya, sepatah
lah juga dijawab. Ada kalanya sepi tanpa jawapan.
Aku yang mendengar saat tangisan Erika pecah
semasa mula-mula dia hilang penglihatan. Saban malam yang menyapa pendengaran,
hanyalah tangisan pilunya yang sesekali diiringi rintihan kerana diduga dengan
ujian sebesar itu. Hanya seminggu….Sebelum segalanya kembali pulih.
Ketabahan Erika kadang-kala
mengangumkan aku. Walaupun sesekali terselit juga kata-katanya yang bagaikan
menyesali takdir yang tersurat, tetapi aku tahu dia lebih kuat dari apa yang
aku bayangkan.
“Dia tak datang hari ni?”
Dia…Tidak mampu aku sembunyikan
senyuman mendengar pertanyaan Erika. Dia suami aku. Suami yang sentiasa ada disaat
aku perlukan dia. Suami yang tidak pernah kenal erti berputus asa… Suami yang
mengajarkan aku erti sebuah ketabahan. Suami yang juga telah mengenalkan aku
dengan sebuah kehidupan.
Dia juga suami yang telah aku
nafikan haknya. Suami yang tidak dapat aku penuhi fitrahnya sebagai manusia. Suami
yang tidak dapat aku layan selayaknya sebagai seorang isteri. Dan untuk semua
khilaf itu, aku harapkan keampunan Allah. Sungguh…Bukan pernah aku sengaja…
“Sekejap lagi kot. Dia ada mesyuarat
hari ini.”
“Beruntung awak dapat dia sebagai
suami.” Selimut Erika tarik ke paras leher. Terus jam aku jengah. Sudah pukul
tiga. Waktu yang selalu digunakan Erika untuk berehat. Setiap hari…Rutinnya
masih sama. Kadang-kala aku terasa bagaikan dia tidak hilang penglihatan,
Setelah aku lihat Erika bagaikan
sudah hanyut di dalam mimpi, pantas aku bangun dan bergerak ke arah bilik air
yang terletak di penjuru bilik. Aku buka paip dan perlahan-lahan aku basahkan
tangan.
Al-Quran yang lengkap dengan
terjemahan aku buka. Tanpa dipinta, kolam mataku mula berair. Dalam bersedia,
sungguh aku gementar. Kalaulah ini kali terakhir aku bisa menyentuh kitab suci
itu…Kalaulah ini juga terakhir kali aku dapat mengalunkannya, aku pasrah…
“Assalamualaikum sayang.” Terhenti
pembacaanku setelah disapa satu suara garau. Aku angkat tangan, tanda
menyuruhnya menanti. Sesudah itu aku tamatkan bacaan dan aku bawa kitab suci
itu dan kupeluk erat.
“Waalaikumusalam
abang.” Aku tayang senyuman Tangan aku hulurkan kepadanya untuk bersalaman. Saat
aku angkat kepala, sebuah kucupan menyapa dahiku.
“Sihat
hari ini?”
Tangan
kasar itu cekap sahaja menyapa dahiku, sebelum turun perlahan-lahan masuk
dibalik tudung yang menutup auratku. Kali ini tangannya menyapa pula leherku.
“Adawiyah
demam ke?”
Gusar suara itu menyapa
pendengaranku. Terharu yang menyapa membuatkan tubuh sasanya aku paut erat. Dia
jelas tergamam melihat tingkahku. Lama…Barulah pelukanku kembali dibalas.
Setelah itu tangan aku bawa meraup
kedua belah pipinya. Aku pejamkan mata. Aku sentuh mata yang tidak pernah
sesaat lupa memancarkan sinar kasihnya buat aku. Perlahan-lahan turun menyentuh
hidungnya yang mancung. Terhela nafasnya bermula disitu. Nafas yang telah Allah
pinjamkan untuk aku untuk merasa nikmatnya dikasihani. Sedetik kemudian turun
pula ke arah bibirnya. Bibir yang mula-mula mengajar aku untuk menyebut kalimah
suci. Bibir yang tidak pernah culas mahu menyedarkan aku tentang hakikat sebuah
kehidupan.
“Kenapa ni?” Resah suara itu menyapa
pendengaran.
Perlahan-lahan mata aku buka. Aku
pandang wajahnya penuh kasih. Bertapa beruntungnya aku mendapatkan dia sebagai
seorang suami. Dan aku berdoa, wanita yang bakal Allah hadiahkan untuknya nanti
juga, akan merasai selautan kasih seperti mana yang telah aku rasai.
“Adawiyah minta maaf untuk segala
salah silap yang Adawiyah buat selama Adawiyah jadi isteri abang.” Merembas
perlahan air mata membasahi segenap ruang wajahku. Puas aku menahan, tetapi
murahnya ia keluar, tidak mampu untuk aku sekat.
“Setiap apa yang sayang buat, abang
sentiasa ampunkan. Dah jangan cakap lagi benda-benda macam ni.”
Aku lihat matanya juga sudah mula
bergenang dengan mutiara jernih. Kali ini dia pulak yang memeluk tubuhku erat.
“Tolong cari bidadari lain untuk
abang cintai.” Aku berbisik perlahan di telinganya. Semakin murah air mataku mengalir,
bila disapa esakan kecil yang tidak pernah sekalipun aku dengar selama aku
menjadi bidadarinya…Dan aku harap, itu kali terakhir aku mendengarnya…Kerana….
aku hanya inginkan dia tersenyum….
Surat Cinta Untuk Disana : Jangan
tanya saya bila siapnya….sy x ada jawapan untuk pertanyaan tu…Mungkin
esok..mungkin lusa…atau mungkin x siap langsung sama seperti beberapa cerpen
saya yang terbengkalai…. :) Cerpen ni saya ketuk saat otak sudah sesak dengan
perkara santai. Rasa macam dah lama sangat tak menaip benda berat…. Benda yang
boleh bagi kesedaran pada diri sendiri….Perkataan yang silap…ejaan yang salah
dan penggunaan bahasa yang tak betul harap dimaafkan….sy x sempat mengedit….
cr.. Air mata sy dah menitis walaupun cerpen ni x siap lagi. Suka dengan mainan kata yang awak guna. Harapnya akan siap jugak nanti. Awal-awal pun dah rasa best sangat.
BalasPadam-Aisyah-
Cerita ni memberi kesedaran betapa beruntungnya sy dpt melihat dan kesihatan yg baik , , alhamdulillah.....
BalasPadamAlhamdulillah juga sy di kurniakan suami yg sentiasa mengutamakan 1) allah 2) ibubapa nya dan saya . Cerpen ni buat sy berfikir mengapa sy di tmpt ke3 dan sy faham dn berasa bersyukur. Thanks write
Titanium Road Bike from MTN - Tire & Scratchboard
BalasPadamThe Bicycle - Tinted Tire nano titanium by babyliss pro & Scratchboard is a Bicycle Tinted Tire price of titanium and Scratchboard. Its a genuine ecm titanium brand-new design, with a cerakote titanium chrome finish and strong Rating: 4.9 · 1,074 reviews · revlon titanium max edition $34.00 · In stock