NUR ADIBA - Dahi
menyentuh sejadah. Air mata dibiarkan berterusan mengalir. Sakit itu senjata
sebuah kekuatan. Tapi untuk secebis kekuatan dia perlu meminta. Perlu merayu
pada yang betul-betul berkuasa. Dan dia tahu. Allah itu sentiasa ada...
IZMI merengus kasar. Wajah Irham
dipandang dengan rasa sakit hati yang bagaikan membengkak dalam dada. Tunggu
masa sahaja untuk meletus.
“Kau dulu pun bukan suci
sangat!” Meluncur laju ayat itu keluar dari bibir Izmi. Siap sekali dengan
senyuman mengejek.
“Sekurangnya tak
adalah aku buat kerja hina macam tu!” Irham tak mahu kalah. Dia tak faham
kenapa Izmi tak habis-habis nak pertahankan Adiba. Rasa macam dia ditikam dari
belakang. Apa guna kawan kalau tak mampu nak senangkan hati?
“Dia dah bertaubat
pun. Sebelum kau kahwin dengan dia lagi kau dah tahu. Yang sekarang ni kau
meracau dah kenapa?” Sumpah Izmi tak faham apa yang ada dalam fikiran, Irham.
Sebelum ni ada juga
dia terdengar kritikan Irham pada isteri sendiri. Tapi tak adalah seteruk
sekarang. Makin hari makin menjadi-jadi pulak dia rasakan lelaki itu.
Kalau diberi kertas
rasanya berkajang salah Adiba akan dicanang oleh Irham. Dulu dia dengar juga
keluh-kesah Irham. Dia sangka itu salah satu sisi negatif Adiba yang sedang
berusaha mencari makna sebuah kehidupan.
Tapi semakin hari,
dia sedar sendiri. Semua itu hanya helah akal lelaki itu untuk menyelak kepincangan
Adiba. Mungkin Irham terlupa, lelaki itu juga jauh dari makna kata sempurna.
“Family aku dah tahu.” Irham raup wajah
sendiri.
“So?” Izmi tanya tak beriak.
“So?” Irham ulang pertanyaan ringkas Izmi. Gaya
lelaki itu bercakap macam semua itu adalah perkara santai. Hanya perlu meniup
untuk hilangkan di sebalik angin.
“Family
kau kata apa?” Izmi tetap bertanya walaupun dia sudah boleh mengagak apa yang
mungkin dikatakan oleh keluarga ‘terbilang’ itu.
“Dia orang suruh aku
ceraikan Adiba.” Hati kuat berbolak-balik. Sampaikan dia sendiri tidak pasti sama
ada rasa sayang untuk Adiba masih bersisa atau tidak. Apatah lagi tekanan dari
ahli keluarga dia semakin menekan setiap hari.
Puan Zaharah tak
habis-habis suruh dia lepaskan Adiba. Siap pakej sekali dengan tangisan. Takut
keturunan tercela dan bersepah lagi rungutan yang dia tak mampu nak hadam. Bertambah
serabut bila pendapat uminya itu mendapat sokongan penuh ahli keluarga yang
lain.
“Kau chek la dalam
seluar kau tu. Kau jantan ke betina? Kalau sampai isteri sendiri kau tak mampu
nak pertahan, baik kau pergi Thailand sana, buang apa yang patut.” Semakin
pedih kata yang Izmi lontar. Memang dia langsung tak teringin untuk menjaga
hati Irham. Rasanya bicara lemah-lembut yang selama ini dia bagi, langsung tak
berbekas dalam kepala otak Irham.
“Setan!”
“Dah tu... kau macam
bapok aje aku tengok. Tak kan bini sendiri kena tindas kau nak buat tak tahu
aje? Apa fungsi kau sebagai suami?”
Izmi kenal siapa
Adiba. Wanita itu terlalu dekat dalam kehidupan dia. Bahkan dia yang kenalkan
Irham kepada wanita itu, yang sekarang menjadi perkara paling dia kesalkan
seumur hidup.
Kalaulah dia mampu
meramal masa depan... hujung kuku Adiba pun dia jauhkan dari pandangan memuja
Irham.
“Kau ni nak cari
pasal dengan aku ke apa?” Irham semakin mendidih. Izmi bagaikan sengaja mahu
menabur bara dekat hati dia yang memang tengah berapi.
“Aku cuma nak sedarkan
kau, bro. Adiba tu tanggungjawab kau. Amanah yang kau sendiri nak galas. Aku
boleh faham kalau kau kena tipu ke apa pasal kisah silam dia tu. Tapi
masalahnya sekarang, kau sendiri tahu dia dulu macam mana. Jadi aku tak nampak
kenapa kau nak persoal habis kisah yang dah lepas tu.”
Kalau ikutkan rasa
marah, pasti sudah menjunam penumbuk dia naik ke wajah Irham. Biar lelaki itu
sedar apa salah yang telah dibuat. Tapi guna kekerasan fizikal bukanlah cara
dia.
Program
kemasyarakatan yang dia buat, banyak membentuk siapa diri dia hari ini. Dan dia
tak nak musnahkan semua tu untuk orang yang tak layak.
“Aku ingat aku boleh
terima...” Irham bagaikan mengumam sendiri.
“Jadi kau nak cakap
yang selama ni kau tak ikhlas pun lah terima Adiba?” Sedaya mungkin riak wajah
terperanjatnya cuba disembunyikan. Sudah lebih dua tahun usia perkahwinan
antara Irham dan Adiba berlangsung.
Dan yang menyedihkan,
tak pernah walaupun sekali dia nampak riak sedih pada wajah Adiba setiap kali mereka
bertemu. Hati jatuh hiba...pastinya penat melakonkan adegan bahagia, bila hati
bersarang dengan derita.
“Aku tak cakap macam
tu.”
“Bro... kau pusing
lah ayat kau macam mana pun, maksud dia tetap sama. Sekarang ni, aku harap
sangat kau boleh tunai semua janji kau dekat aku, masa kau merayu suruh aku
kenalkan kau dengan Adiba dulu.”
Izmi bangun. Dompet
dibuka. Sekeping wang kertas lima puluh ringgit ditarik dan diletak atas meja. ditepuk bahu Irham sebelum berlalu
dengan wajah merah menahan amarah yang sedikit sahaja lagi mahu meledak.
PANDANGAN matanya meredup.
Berharap ada kata pembelaan yang bakal muncul dari bibir Irham. Tetapi suami
kesayangannya hanya diam, beku, dan bisu. Umpama merelakan setiap kata kasar
yang berterusan menjadi santapan halwa telinga dia.
Sudahnya Adiba hanya mampu
menunduk. Ada getaran hebat yang berdetum setiap kali mendengar ibu metuanya
membuka mulut. Kata pedih bagaikan lahar yang menyambar setiap ruang tubuhnya.
Air mata sedaya
mungkin ditahan. Dia tak boleh lemah!
“Aku jijik tengok
muka kau! Tak sangka selama ni anak aku kutip pelacur buat bini!” Puan Zaharah
bercekak pinggang. Nafasnya naik turun. Patutlah selama ni, secebis rasa suka
pun tidak pernah menyinggah dalam hatinya untuk Adiba. Rupanya wanita itu
memang wanita rendahan. Tak ada maruah!
Mendengar kisah
asal-usul Adiba dari mulut anak saudaranya minggu lepas, hampir buatkan dia terkena
serangan jantung. Tak sangka di sebalik wajah suci dan bertudung litup, rupanya
Adiba menyimpan cerita busuk!
“Diba mintak maaf umi...”
Tangannya cuba mengapai jemari Puan Zaharah. Tapi hanya tepisan kasar yang
mejadi habuan.
“Kalau Irham
sayangkan umi, Irham tinggalkan betina ni. Kalau orang tahu, mana umi nak letak
muka umi ni, Irham?” Kali ini Puan Zaharah ‘menyerang’ pulak Irham. Berharap
yang anaknya itu akan mendengar kata.
“Umi... janganlah nak
buat kecoh. Pandailah Irham urus rumahtangga Irham macam mana nanti.” Irham
hembus nafas kuat. Kepalanya rasa berserabut. Tatapan sedih Adiba dan juga
suara asakan Puan Zaharah bagaikan menghentam setiap ruang fikiran dia.
“Sebab terlebih pandailah
yang Irham kahwin dengan perempuan bukan-bukan!” Puan Zaharah sudah mula
menempik.
Ingatkan selepas Irham
bercerai dengan Fatini dulu, dapatlah dia merasa menantu yang betul-betul
menyenangkan hati. Rupanya tidak!
Bahkan kali ini lebih
bawa bencana berbanding Fatini! Sungguh pun Adiba jenis pasif, patuh menurut
tak seperti Fatini yang selalu membangkang apa sahaja katanya, tapi dia rela
lagi berhadapan dengan Fatini dari mengadap wajah acah suci Adiba! Munafik!
“Umi boleh diam tak?”
Kali ini Irham pulak yang membentak. Laju dia melangkah mendapatkan kunci
kereta yang tergantung di key holder.
“Muhammad Irham!”
Suara teriakkan Puan
Zahara dibuat pekak. Berdetum pintu rumah ditutup kemudiannya. Tak peduli apa
yang mahu terjadi sekalipun antara Puan Zaharah dan Adiba.
ADIBA menghimpit. Tangan naik
memeluk erat pinggang Irham yang sedang berbaring membelakangi dia.
“Panas lah!”
Nada Irham yang
membentak, tidak memberi kesan kepada Adiba. Dia sudah biasa. Bahkan lebih dari
sekadar bentakkan juga sudah dia terima. Dia hanya mampu meringis bila pautan
tangannya di pinggang lelaki itu dirungkai kasar.
“Diba mintak maaf,
abang.” Perlahan kata itu terluah. Terkulum dengan tangisan yang mahu memecah.
“Abang penat...”
Kata-kata Irham sudah
cukup untuk fahamkan Adiba yang dia hanya perlu kunci mulut dengan rapat dan
kejap.
“Diba tak boleh nak
undur masa silam, abang...” Walaupun ada larangan dari pihak Irham, Adiba tetap
bersuara. Berharap ada pengertian dari pihak suami kesayangannya itu.
Kisah silam dia,
bukanlah kekotoran pada kertas yang mampu dia padam. Bertambah usia, atau
berubah musim di dunia, kisah itu tetap tidak akan berubah. Ianya akan kekal
sebagai sejarah. Tidak akan beranjak walau seinci.
Dulu Irham juga yang
menyebar haruman. Memberi harapan akan ada bahagia untuk dia kalau berada di
sisi lelaki itu. Tetapi kenapa setiap detik, yang dihirup hanyalah duri-duri
yang menusuk? Kenapa wangian itu tak seharum seperti yang digambarkan?
Perlahan... luruh air
jernih di hujung kelopak mata Adiba. Kenapa payah sangat dia nak beroleh
bahagia? Tak layak ke syurga dunia untuk pendosa macam dia?
“Diba faham kalau
abang nak lepaskan, Diba.” Dengar dan tidak sahaja suara yang terluah. Dia
harap kisah dia dan Irham kekalnya sampai syurga. Tapi siapa dia yang mampu menghalang
kehendak takdir?
Tak guna dia memaksa
Irham untuk terus bersama kalau hati lelaki itu jauh untuk digapai. Dia akan
semakin terluka. Begitu juga dengan Irham.
Mungkin di setiap lakaran
kehidupan dia yang suram, ada lagi takdir Allah yang indah untuk dia miliki.
Irham pegang dada
sendiri. Ada denyut kesakitan yang menyapa. Dan entah kenapa, dia rasa kisah
dia dan Adiba bakal temui titik penamatnya.
GAMBAR Irham yang segak berbaju
melayu di hari pernikahan mereka dibelai penuh kasih. Tiada paluan kompang
merancakkan suasana. Juga tiada makanan mewah yang terhidang untuk santapan
tetamu. Yang ada, hanya dia dan Irham. Tapi sudah cukup untuk menjadikan itu
kenangan terindah yang pernah menyapa dalam kehidupan dia.
Adiba tersenyum.
Musim cinta dia dan
Irham sangat indah. Untuk orang yang tidak pernah rasai erti bahagia, munculnya
Irham bagaikan membawa sekali dengan dunia baru. Mengantikan dunia penuh noda
yang selama ini dia bertapak.
‘I want to spend the rest of my life with you.’
Itu kata-kata yang mengubah
seluruh paksi kehidupan dia. Terasa urusan dia untuk mencari sang pencipta
dimudahkan dengan kehadiran Irham.
Huluran lelaki itu
disambut. Permulaan sebuah lakaran baru yang sangat menyenangkan. Status
‘wanita murah dilorongan gelap’ ditinggalkan dengan perasaan berbunga yang tak
mampu dia ucap.
Sayangnya, bunga
ibarat haruman. Mustahil akan kekal selamanya mewangi. Setelah sekian waktu,
kesegarannya akan memudar. Berseri dan ceria pada awalnya, tidak bermaksud akan
kekal selamanya begitu.
Pandangan penuh cinta
Irham mula berganti dengan pandangan yang paling dia benci. Pandangan
lelaki-lelaki berwajah suci dengan dosa terikat bergunung di badan.
Irham ibarat pelanggan
yang pernah merasai belaiannya. Menuturkan bicara mengoda, tapi terlupa
menghapuskan pandangan jijik mencela dirinya di ruang mata.
Sedangkan apa beza
mereka dengan dia?
Harapan yang disangka
ada, sudahnya ranap tersadai ke bumi. Dan sekali lagi dia perlu menjadi pejuang
semata-mata mahu mengejar apa yang didamba.
Tapi kudrat tak pernah
wujud di tangan dia. Kalau dulu hanya Irham sahaja yang perlu ditawan. Sekarang
semua orang bagaikan menjadi penentang. Menjatuhkan hukuman tanpa sempat untuk
dia membela diri.
Restu ibu yang
dituntut memang tidak pernah mereka dapat. Dan rahsia hidup dia yang selama ini dikepal erat antara dia dan
Irham, sudahnya terburai juga. Menambahkan lagi kebencian ahli keluarga lelaki itu
kepada dia.
Salah siapa? Salah
takdir yang mempermainkan dia atau salah hatinya yang mungkin terlebih memberi
cinta pada yang bukan tempatnya?
Dan sudahnya, Adiba
pasrah sendiri. Syurga itu mahal! Dia yakin pasti ada percaturan yang lebih
indah sudah Allah aturkan untuk dia.
Senyuman dipaksa untuk terukir
pada bibir bila mana pandangan mata redupnya bersabung dengan lelaki yang
berdiri kaku di muka pintu. Menghantar pandangan kosong dan tak beriak.
Helaian terakhir
pakaiannya digenggam erat. Urat di tangan mula menimbul, kesan dari cengkaman
kuat. Entah kenapa dia berharap akan ada kata halangan yang bakal muncul dari
bibir Irham.
‘Jangan pergi.’
‘Don’t.’
Atau apa sahaja kata bicara
yang mampu lelaki itu ungkapkan. Tetapi setiap detik yang berlalu, hanya ada
deruan nafasnya sahaja yang kedengaran membelah pendengaran. Sudahnya Adiba
pasrah. Bagasi ditutup. Dipaksa tubuh untuk bangun.
“Diba mintak maaf
kalau selama ni abang tak senang dengan kehadiran, Diba.” Tangan Irham dikait. Dia
menunduk. Sebuah kucupan mendarat pada jemari kasar Irham.
Air mata yang
disangka tidak akan tumpah walau setitis, sudahnya banjir membasahi kelopak
mata. Dan dia tahu pasti ada yang berderai menyapa genggaman lelaki itu.
Setelah sekian lama,
dia rasa nikmatnya bersalaman dengan lelaki bergelar suami. Selama ini setiap
huluran tangannya hanya disambut oleh angin. Baru sahaja menyentuh hujung jari,
Irham sudah kalut meleraikan tautan tangannya.
Jijik! Itu saja
biasan pada setiap pandangan Irham untuknya. Dan dia pasrah. Itu mungkin salah
satu hukuman Allah untuk khilaf yang dia telah lakukan. Peringatan untuk dia
selalu menunduk dengan kuasa sang pencipta yang bahagia mutlak itu bukan ada di
atas tangan dia.
“Diba harap abang
halalkan makan minum Diba selama ni...” Tak mampu untuk berterusan menahan
perasaan, kakinya diheret paksa sebelum berhenti di hadapan pintu bilik
anak-anak kesayangannya.
Buah hati Irham yang
sudah ‘dipeluk’ bagaikan anak sendiri. Tak pernah walau sedetik pun, kasih
sayang dia terbelah hanya kerana tiada titisan darah yang serupa. Mereka itu
buah hatinya. Pemberi kekuatan setiap kali dia rasa mahu tersungkur ke bumi.
Bibir diketap kuat. Hati
berbelah bahagi. Takut kekuatan yang masih bersisa, pecah berderai kalau
wajah-wajah polos itu menyapa pandangan matanya.
Tangan naik menyentuh
permukaan pintu. Semakin galak mutiara jernih tersimbah pada wajah. Adiba tahu
setakat mana kemampuan yang dia ada. Kali ini dia berpaling. Berterusan melangkah
tanpa menoleh lagi ke belakang.
TUBUH Adiba dikaut masuk ke
dalam pelukan. Ditepuk perlahan bahu itu bila tangisan memecah masuk ke
pendengarannya.
“Adiba...” Fahani
memanggil perlahan. Dipaksa Adiba untuk bertentang mata dengan dia.
“Kenapa ni? Cakap
dekat akak.” Fahani bertanya. Risau bila si adik tiba-tiba sahaja muncul di
hadapan rumah dia dengan tangisan.
“Diba sakit akak...
dalam ni...” Tangan dibawa menumbuk dada sendiri. Tubuhnya dibiar melolot jatuh
pada permukaan lantai bila kaki bagaikan sudah tidak mampu menampung berat pada
badannya.
“Diba rasa macam nak
mati...” Tangisan kesedihan semakin murah keluar dari bibir tipisnya.
“Allahuakbar! Kenapa
ni Diba? Jangan bagi akak takut.”
“Diba ni memang muka
tak tahu malu ke akak?” Wajah Fahani dipandang. Menanti apa sahaja jawapan yang
bakal muncul dari Fahani.
Jawapan pedih tidak
akan meninggalkan kudis. Kerana luka yang ada sekarang sudah terlalu besar
lompongnya. Dan kalau pun jawapan Fahani menyenangkan, kenyataannya langsung
tak beri walau seinci erti.
“Diba... kita masuk
dulu dalam rumah. Nanti orang tengok.” Ditarik paksa tubuh Adiba supaya kembali
berdiri. Dan bila melihat tubuh itu bergementaran walau hanya untuk
menggerakkan satu langkah kaki, Fahani faham sendiri.
Dugaan Adiba sudah
berada di hujung jurang. Hanya perlu sedikit kuisan angin sebelum tubuh itu
melayang jatuh pada curam yang paling dalam.
TEH panas yang disediakan Fahani,
dihirup perlahan. Kedua tapak tangannya dibawa menekup permukaan cawan.
Berharap kepanasan yang masih bersisa pada cawan kaca itu mampu memberikan
sedikit kehangatan.
“Diba nak kongsi
dengan akak tak?” Fahani bertanya lembut. Paksaan bukanlah cara yang dia suka. Setiap
orang pastinya mempunyai titik tergelap yang mahu diselindung.
Paha ditepuk. Memberi
isyarat untuk Adiba berbaring. Bila kepala itu berlabuh, terus tangannya naik
mengusap perlahan. Sambil itu tak putus doa dibaca supaya Allah bagi ketenangan
untuk Adiba.
“Hina sangat ke Diba
ni kak? Kenapa Diba tak pernah rasa bahagia?” Tangisan Adiba kembali berlagu.
“Irham buat apa dekat
Diba?” Fahani pusing cerita. Pertanyaan Adiba dibiarkan tergantung tak
berjawab.
“Diba perempuan
kotor...”
Perlahan kata itu
mengumam keluar dari bibir Adiba. Lebih kepada ucapan keramat untuk diri
sendiri berbanding untuk diberitahu kepada dia. Tiga perkataan itu cukup untuk
buatkan Fahani faham keseluruhan cerita.
“Irham yang kata?” Fahani
bertanya.
“Irham cakap benda
yang betul. Diba ni memang perempuan jijik.” Ayat menghukum itu keluar lancar
dari bibir Adiba.
Pahanya terasa
hangat. Pasti ada tumpahan air mata yang tersadai di situ. Fahani merengus.
Sakit hati bila membayangkan wajah Irham. Adiba bagaikan sudah terjatuh pada
pesona cercaan yang diucap oleh bibir kotor Irham. Hatinya mula membara
sendiri.
“Apa yang jadi dulu,
khilaf yang sampai mati Diba tak boleh undur. Tapi Diba dah bertaubatkan?
Sebaik orang berdosa, bila kita kembali bersujud dan mohon ampun pada Allah
untuk setiap salah kita, Diba.”
Kisah silam Adiba
bagaikan sebuah layar hitam yang langsung tak diberi cahaya. Sentiasa berlegar
pada ruang kelam yang sama. Sampailah Allah mula menyuluh sedikit demi sedikit
pancaran untuk Adiba.
Dan setiap suluhan
itu disambut dengan langkah kaki yang mengejar laju. Adiba bagaikan manusia
yang kelaparan. Menyambar setiap apa sahaja peluang yang diberikan.
“Satu yang akak nak
Diba ingat. Irham bukan tuhan nak menghukum dosa silam Diba.”
Fahani tahu setiap
inci jalan cerita hidup wanita itu. Keazaman Adiba dalam mencari makna hidup
sentiasa menjadi inspirasi kepada dia. Membuahkan rasa takjub yang sampai
sekarang masih bersarang kejap dalam diri dia.
Dan siapa Irham untuk
mengatakan Adiba perempuan hina? Setinggi
apa martabat seorang Irham?
FAHANI berdiri tegak di hadapan
Irham. Tak gentar dan kelihatan tegas. Sekilas dia melirik ke sebelah lelaki
itu. Puan Zaharah nampak gembira dengan senyuman kemenangan terukir megah pada
bibir. Fahani ketawa kecil. Jelas kedengaran mengejek.
“Nak cari permata
mudah, Irham. Tapi yang betul-betul berkualiti tu payah. Akak sedih sebab yg
berkualiti tu Irham dah berjaya pegang. Sayangnya Irham tak pandai nak jaga.” Ikatan
antara Irham dengan Adiba dah pun terurai. Dan peliknya, kesakitan Adiba dia
turut terasa sama.
“Tak payah nak ajar
Irham, Hani. Dia tahu apa yang dia buat.” Puan Zaharah merengus. Rasa nak
sangat jemarinya naik menunjal kepala Fahani. Biar tahu rasa.
“Umi...” Fahani
memanggil kecewa.
“Hani tak faham
kenapa umi sanggup buat Diba macam tu. Apa salah dia dekat umi?” Kalau
diikutkan rasa hati, pasti sudah melengking suara dia naik membentak. Tapi yang
berada di hadapan dia sekarang, wanita yang melahirkan dia.
Seburuk mana sekalipun
wanita itu, ‘Ibu selamanya akan kekal menjadi ibu.’ Tak akan berubah status itu
walaupun hatinya memberontak mahu.
“Umi lagi tak faham
Hani, macam mana Hani tergamak sokong Irham usung perempuan tu masuk dalam
rumah kita? Kenapa Hani tak cakap pasal Adiba dekat umi masa Irham nak kahwin
dengan dia dulu? Kenapa?” Suara Puan Zaharah semakin meninggi. Berpasang mata
yang memerhati tidak diambil peduli. Rasa sakit di hati perlu dilepaskan.
Bila Fahani beria-ia
mempertahankan menantu setannya itu, dia sedar sendiri yang anak sulungnya itu
sudah lama tahu tentang rahsia hidup Adiba.
“Sebab dia perempuan
yang dah bertaubat...” Katanya dituju pada Puan Zaharah. Tapi pandangan mata
beradu pandang dengan Irham yang mengelisah.
“Dia nak kejar syurga,
Irham. Tak teruk pun Irham nak bimbing dia. Tapi yelah... pahala Irham dah
banyak kan? Dah boleh pilih dah mana syurga nak masuk nanti. Ye tak?” Bahu si
adik ditepuk perlahan.
Kali ini dia kalih
pandang. Merenung penuh sayang wajah Puan Zahirah. Dia tahu wanita itu baik.
Tapi ada tikanya wanita itu terlalu meletakkan diri pada tempat mulia.
“Nak selak salah
orang tu seronok umi... tapi kita kena ingat satu benda... salah kita Allah
tolong tutup, tapi sampai bila kita tak tahu.” Sumpah! Rasa sedih dia dengan
tindakan Irham dan Puan Zaharah tebalnya menggunung. Dia yakin, sampai satu
saat nanti pasti akan ada rasa kesal yang mengintai. Lambat atau cepat dia
tidak pasti.
“Jangan nak biadap
dengan umi, Hani!” Pedih! Terasa bagaikan Fahani sedang menuduh yang dosanya
sekarang ada menimbun! Salah ke kalau dia sebagai ibu mahukan yang terbaik
untuk Irham?
“Hani tak ada niat
pun nak biadap dengan umi. Tapi umi lupa ke, masa umi sakit dulu siapa yang
jaga umi? Sedikit pun jadilah, umi. Ingat balik apa yang Adiba dah tabur untuk
keluarga kita.” Fahani sebak sendiri.
“Tu dah memang tugas
dia. Dah dia sendiri yang pilih nak kahwin dengan Irham.” Puan Zaharah tidak
mahu kalah.
“Salah tu umi... jaga
umi, tu tugas kita orang adik-beradik. Apa yang Adiba buat tu ihsan aje umi. Kalau
tak mampu kita nak kenang budi orang, ucap terima kasih pun dah cukup.” Fahani
mendekat. Tubuh Puan Zaharah di peluk erat. Walaupun ketegangan terasa, tetap
juga pautannya pada tubuh itu tidak dilepaskan.
“Hani mintak maaf
kalau umi terasa.” Tubuh itu dilepaskan. Wajah Irham dipandang.
“Irham dah buat
keputusan. Akak harap apa yang Irham buat sekarang ni, pilihan tepat.” Baru
sahaja dia mahu membuka langkah, kakinya pegun sendiri.
“Adiba pernah cakap
dekat akak dulu... ‘kali pertama adalah pilihan. Kali kedua akan jadi
kebodohan.’ Jadi dia tak kan ulang yang pertama semata-mata untuk kutip
kebodohan.” Fahani tersenyum. Melihat
air muka Irham yang berubah, Fahani yakin Irham faham apa yang dia mahu
sampaikan.
TUBUHNYA dilabuh bersebelahan
dengan Adiba. Sekilas dia melirik. Cuba membaca gerak-geri wanita itu.
“Diba okey ke?” Ketenangan
yang Adiba tunjuk, tak mampu untuk menyenangkan hati Fahani. Sekurangnya dia
perlu mendengar sendiri jawapan dari bibir wanita itu.
“Inshaallah... Diba
okey.” Semalam tempoh edah sudah tamat. Menjadikan dia wanita yang kembali
bebas tanpa ikatan. Bohonglah kalau langsung tidak bersisa rasa sedih. Tapi
sampai bila dia mahu biarkan diri terus terjerut dengan mainan perasaan? Mahu
atau tidak, dia kena menyusun langkah baru.
“KOS nak cari pekerja.
Diba nak tak kerja dengan kami?” KOS singkatan untuk Keep On Smiling.
Organisasi bebas yang memperjuangkan hak wanita dan anak jalanan. Organisasi
yang dia, Izmi dan beberapa rakan lain tubuhkan sejak bertahun dulu lagi.
Disebabkan KOS
jugalah dia kenal dengan Adiba. Setiap kali mereka muncul, kelibat Adiba pasti ada
memandang dari jauh dengan riak wajah yang sukar untuk ditafsirkan.
Izmi lah yang membuka
langkah dahulu. Mendekati Adiba. Bersahabat dan seterusnya mula mencungkil
sedikit demi sedikit kisah hidup wanita itu.
Adiba, anak wanita
lorong gelap yang dibesarkan dengan lingkaran yang keras. Dan apa yang
membuatkan hati dia sakit, pekerjaan haram itu diturunkan pulak kepada Adiba. Satu
tradisi yang membuatkan dia mual. Siapa sangka, di dunia memang wujud wanita
celaka yang sanggup memperdagangkan anak sendiri!
Apa yang lagi menyedihkan,
tiada satu pun cerita indah yang menjadi santapan mereka. Semuanya cerita yang
menyesakkan dada.
Dan bermula dari situ
persahabatan antara mereka dan Adiba terjalin. Adiba juga bagaikan menjadi tali
yang menghubungan mereka dengan golongan yang senasib dengan wanita itu.
Ada yang berjaya
diselamatkan. Dan ada juga yang berdegil mahu meneruskan kerjaya yang sudah
dianggap sebati dalam diri. Mereka sendiri hanya mampu memujuk, selebihnya
tetap terpulang pada tuan empunya badan.
“Kalau akak bagi
peluang... mestilah Diba nak.” Mata Adiba berbinar girang. Rasa teruja tidak
mampu dia sembunyikan.
Fahani hanya ketawa.
Senang melihat reaksi Adiba.
ADIBA tersenyum. Wajah-wajah
comel yang memandang ke arah dia dengan tatapan bahagia, membuahkan rasa indah
yang selama ini dia kejar.
Sudah lebih tiga
tahun perpisahan berlaku antara dia dengan Irham. Dan dalam waktu ruang
perpisahan tersebut, bermacam perkara yang terjadi dalam kehidupan dia.
Antaranya, kemunculan
kembali Irham dengan mengusung ungkapan sayang. Tapi dia bukanlah Adiba dulu
yang mudah terbeli dengan pujukan manis. Pengalaman sudah terlalu banyak
mengajar dia.
Tapi tidak pulak dia
anggap penyesalan Irham itu satu kemenangan. Walau apa sekalipun yang terjadi,
Irham tetap pernah hadir membawa bahagia dalam hidup dia. Walaupun bahagia itu wujudnya
terlalu sekejap.
Dulu dia sendiri yang
terleka. Cinta manusia difikir mampu membawa dia mencari sebahagian cebisan
diri yang hilang. Tapi kesudahannya dia tersungkur lagi untuk sekian kali.
Kun fayakun!
Itu yang kemudiannya dia
pegang. Mengingatkan diri yang segala kekuasaan hanya terletak pada keagungan
Allah. Dan ternyata kasih-sayang Allah tak pernah terpadam untuk dia. Satu demi
satu warna baru terukir dalam kehidupan dia. Mengantikan warna yang dulunya
suram dan kusam.
TERATAK KASIH
Wujudnya untuk menjaga
dan mendidik anak-anak lorong gelap seperti dia. Memperbaiki fikiran usang. Penghambaan
wanita bukanlah untuk diwarisi. Cukuplah hanya dia yang dididik dengan fahaman
songsang.
Bermula dari seorang
dan sekarang sudah mencecah tiga puluh lima orang. Anak yang mereka didik
dengan penuh kasih sayang untuk mengenal permulaan sebuah dunia, dan penamat abadi
kehidupan akhirat.
Mungkin kasih yang
dihulur tidaklah sempurna. Tapi sedikit tidak Adiba yakin, ketidak-sempurnaan
itulah yang membuatkan sesuatu cerita itu menjadi indah.
Tamat
Surat Cinta untuk di sana –
Maaf kalau cerita saya tak seindah mana... maaf kalau tak sama macam yang
diharapkan...dah lama saya tak menulis. Nak pulak guna bahasa yang agak
berat... Apa pun doakan saya tahun ni
mampu keluarkan walaupun hanya sebuah karya... hehe
Kalau rajin, tinggalkan
kan komen. Nak kritik pun boleh... jangan risau...saya tak makan orang... ahaks!
Bestt...sy suka watak izmi..ingatkan ending adiba dgn Izmi. :(
BalasPadampadan muke irham.. ending 02..ade x..haha
BalasPadamSedih tp happy ending. Teruskan berkarya ��
BalasPadamAllahu.. sedih sangat
BalasPadam👍🏻
BalasPadamSedih, betapa sakitnya jika masa silam kita juga orang pandang. Sedangkan, itu semua sudah menjadi sejarah hidup orang itu. Moga Allah menutup aib-aib kita, di dunia & di akhirat.
BalasPadammenarik
BalasPadamSedihnya kalau masa silam yg di simpan d ungkit balik
BalasPadam